Editor Berita Harian (BH), Encik Nazry Mokhtar, mengumumkan langkah akhbar ini beralih ke saiz kompak di majlis Anugerah Jauhari yang diadakan di Four Seasons Hotel Singapore pada 7 November. Berikut pandangan tiga mantan Editor BH mengenai format kompak itu, yang dijangka dilancarkan pada suku pertama 2026.
“
Memandangkan rasional dan justifikasi bagi perubahan tersebut, saya mengalu-alukan kelahiran Berita Harian (dan Berita Minggu) yang baru. Diharapkan perubahan daripada format lebar kepada format padat ini bukan sekadar perubahan luaran. Pada pandangan saya, apa yang lebih penting ialah perubahan dalam cara penyampaian kandungan serta semangat yang terkandung dalam akhbar tersebut.“
Transformasi ini sudah saya jangkakan akan berlaku, memandangkan perubahan sikap dan dunia pembaca serta pengalihan penyebaran maklumat ke wadah digital yang kini telah menjadi kebiasaan. Saya gembira melihat BH memenuhi keperluan transformasi ini dengan pendekatan digital yang lebih menyeluruh. Tahniah BH. Namun, dalam arus perubahan ini, amat penting bagi BH untuk terus mengekalkan peranannya sebagai wadah yang memastikan masyarakat dan para pembacanya tidak kehilangan nilai serta budaya yang dekat di hati masyarakat Melayu/Islam – sesuatu yang semakin relevan dalam konteks Singapura yang semakin global dan pesat berubah.“
Selain berdepan dengan cabaran dan persaingan dunia digital, BH juga terjejas dengan satu lagi gelombang perubahan. Inggeris adalah bahasa utama sebahagian besar masyarakat kita, terutama dalam kalangan generasi muda. Jadi, tentunya wajar bagi BH sentiasa membuat perubahan dan penyesuaian, untuk terus memikat seramai mungkin pembaca Melayu. Dari segi aliran kerja ke arah ‘digital first’ atau digital didahulukan, ini satu langkah tepat dalam era digital. Ini sesuatu yang sememangnya pasukan BH fikirkan sejak sekian lama, terutama dalam kalangan wartawan muda. Mereka gigih memikirkan idea baru era digital. Ini kerana saluran maklumat yang boleh diperolehi pembaca semakin pelbagai. Jadi wajar bagi BH sentiasa membuat penyesuaian.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg