Mantan guru, Cik Khadijah Ibrahim, tidak pernah membiarkan dugaan hidup menentukan masa depannya.

Sama ada meninggalkan kerjaya tetap dalam bidang pendidikan demi mengejar minat dalam fesyen pengantin, mengharungi ketidaktentuan perniagaan atau berdepan diagnosis barah baru-baru ini, pengasas The Wedding Brocade dan Katt & Co. itu terus melangkah dengan penuh ketabahan dan tekad.

Usahawan berusia 43 tahun itu, yang kini menjalani kemoterapi selepas disahkan menghidap barah awal 2026, kekal optimis terhadap masa hadapan.

Sebelum menceburi bidang perniagaan, Cik Khadijah mengajar Bahasa Melayu selama lapan tahun.

Minatnya terhadap seni dan fesyen sebenarnya telah berputik sejak kecil, malah beliau pernah ditawarkan mengikuti diploma fesyen di politeknik.

Namun, beliau memilih bidang pendidikan kerana menganggapnya sebagai laluan yang lebih selamat.

Selepas mendirikan rumah tangga, rasa tertarik melihat perubahan wajah sebelum dan selepas solekan mendorongnya mempelajari solekan pengantin.

Beliau kemudian menjadi pembantu pengantin sebelum menyedari terdapat ruang untuk menawarkan gaya yang lebih segar dan kontemporari.

Pada 2012, beliau meninggalkan kerjaya perguruan lalu memulakan The Wedding Brocade dari flatnya dengan hanya sekitar 30 persalinan pengantin.

Cik Khadijah memulakan The Wedding Brocade dari rumahnya pada 2012 dengan hanya dua rak baju, 20 persalinan daripada Fatima Mohsin dan 10 persalinan dari jenamanya sendiri. Kini, beliau jaya mengembangkan perniagaan itu sehingga mempunyai pasukan kira-kira lapan jurusolek.
Cik Khadijah memulakan The Wedding Brocade dari rumahnya pada 2012 dengan hanya dua rak baju, 20 persalinan daripada Fatima Mohsin dan 10 persalinan dari jenamanya sendiri. Kini, beliau jaya mengembangkan perniagaan itu sehingga mempunyai pasukan kira-kira lapan jurusolek. - Foto BH oleh KHALID BABA

Pada masa yang sama, beliau mengajar tuisyen kepada lima hingga enam pelajar sebagai sumber pendapatan sambil membangunkan perniagaan sedikit demi sedikit.

“Perniagaan itu benar-benar bermula daripada kecil,” katanya.

Daripada hanya dibantu seorang tukang jahit, pasukannya berkembang sehingga mempunyai kira-kira lapan jurusolek dan mampu mengendalikan lapan hingga 10 majlis perkahwinan seminggu pada waktu sibuk.

Pada 2017, beliau pula melancarkan Katt & Co. selepas memanfaatkan tempoh musim Ramadan untuk menghasilkan koleksi Hari Raya.

Koleksi pertamanya habis dijual, sekali gus membuka jalan kepada jenama pakaian siap pakai itu untuk berkembang kepada kasut dan, tidak lama lagi, beg.

Sokongan keluarga, termasuk suami dan tiga orang anaknya, menjadi sumber kekuatan Cik Khadijah untuk terus melangkah dan tidak membiarkan penyakit menentukan kehidupannya.
Sokongan keluarga, termasuk suami dan tiga orang anaknya, menjadi sumber kekuatan Cik Khadijah untuk terus melangkah dan tidak membiarkan penyakit menentukan kehidupannya. - Foto BH oleh KHALID BABA

Namun, perjalanan tersebut tidak sentiasa lancar.

Selepas pandemik Covid-19, perubahan corak perbelanjaan dan kenaikan kos menyebabkan perniagaannya merosot buat kali pertama. 

Beliau terpaksa belajar menyesuaikan strategi dan “mengharungi gelombang” bagi memastikan perniagaan terus bertahan.

Dugaan terbesarnya datang pada penghujung Syawal lalu apabila beliau mengalami sakit perut yang teruk serta demam.

Imbasan CT menemukan ketumbuhan pada ususnya, yang kemudian dibuang menerusi pembedahan terbuka.

Hasil biopsi mengesahkan ia barah.

Selepas 12 hari di hospital dan enam minggu berehat, beliau memulakan rawatan kemoterapi bagi memastikan sel mikroskopik yang masih ada dapat dihapuskan.

Ibu kepada tiga anak itu lebih memikirkan nasib mereka, masing-masing di menengah satu, darjah tiga dan tadika, sekali gus menguatkan semangat dan tekadnya untuk melawan penyakit itu. 

“Saya sedar saya perlu berjuang. Kita tidak boleh ditentukan oleh barah. Barah hanyalah satu detik kecil dalam kehidupan,” katanya. 

Kini, beliau mengurangkan beban kerja dan memberi lebih perhatian kepada keluarga, kesihatan mental serta hubungannya dengan Tuhan. 

Baginya, semangat yang membantunya membina perniagaan dari bawah ialah semangat sama yang akan dibawa sepanjang rawatan.

“Kalau saya boleh terus bertahan membina perniagaan, saya mahu membawa semangat itu dalam perjalanan menghadapi barah,” katanya.

Buat masa ini, beliau mahu mengekalkan kedua-dua jenamanya sebelum meneruskan rancangan memasuki pasaran Malaysia.

Walaupun diuji, Cik Khadijah percaya hidup harus diteruskan, dengan rasa syukur, sokongan keluarga dan keyakinan bahawa dirinya jauh lebih besar daripada penyakit yang sedang dihadapi.