Mantan pengarah urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Ravi Menon, akan menjadi duta pertama Singapura bagi tindakan iklim.
Dalam menjalankan peranan tersebut, beliau akan mendorong kerjasama sektor awam-swasta dengan pihak berkepentingan tempatan, khususnya masyarakat perniagaan, untuk membantu mereka menyumbang kepada wacana di peringkat sedunia mengenai cara menangani pelbagai cabaran iklim.
Encik Menon juga akan mewakili Singapura di beberapa wadah tindakan iklim antarabangsa, menurut Sekretariat Perubahan Iklim Nasional (NCCS) dalam satu kenyataan pada 26 Mac.
Beliau akan menasihati NCCS mengenai pelbagai dasar dan tindakan iklim yang melibatkan seluruh pemerintah, lapor The Straits Times (ST).
Pelantikan beliau sebagai Duta Singapura bagi Tindakan Iklim dan penasihat kanan (NCSS) akan berkuat kuasa mulai 1 April.
Mantan ketua MAS tersebut memikul peranan baru itu sedang soal pembiayaan menjadi semakin penting dalam rundingan iklim di peringkat sejagat.
Lebih banyak pembiayaan diperlukan untuk membantu pelbagai negara mengurangkan pelepasan gas rumah hijau mereka dan membuat penyesuaian kepada perubahan iklim.
Menurut NCCS, sebagai pengarah urusan MAS, Encik Menon telah membantu membina ekosistem kewangan hijau dan menyokong peralihan Singapura dan Asia kepada masa depan rendah karbon.
Contohnya, beliau mengetuai usaha membangun sebuah wadah kewangan campuran – Kerjasama Pembiayaan Peralihan Asia (Fast-P) – untuk menangani jurang pembiayaan iklim dan membantu menyalur lebih banyak dana kepada projek hijau atau peralihan di Asia.
Berdasarkan sejarah, projek sedemikian sukar mengumpul modal kerana masalah seperti kurangnya kepakaran dalam pembangunan projek, di samping risiko kawal selia, politik dan tukaran wang asing.
Diumumkan pada persidangan iklim COP28 di Dubai pada Disember 2023, wadah Fast-P bertujuan mengumpul pembiayaan sehingga AS$5 bilion ($6.7 bilion), antara lain bagi projek berkaitan tenaga hijau dan untuk menambah baik prasarana kuasa elektrik.
Pemerintah menyatakan pada 2023 bahawa ia bersedia menyumbang modal dalam bentuk geran atau pinjaman dengan kadar faedah lebih rendah, dengan harapan usaha sedemikian akan memberi keyakinan kepada bank dan sektor swasta agar menyalur lebih banyak pelaburan kepada bidang tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg