Seorang mantan Komander Divisyen Polis Tanglin telah dibenarkan keluar dari Singapura setelah dikenakan tuduhan berkaitan kes pencabulan pada 10 Ogos.
Paul Lim Choon Wui, 52 tahun, dituduh menampar punggung kiri seorang wanita berusia 25 tahun dengan tangan kirinya di sebuah unit bangunan di Bukit Merah sekitar 9 malam pada 7 Julai 2022.
Dia telah meninggalkan pasukan polis pada masa kejadian itu berlaku.
Setelah persidangan sebelum perbicaraan pada Rabu, Lim dibenarkan untuk pergi ke Thailand dan Hong Kong mulai Jumaat hingga 18 September bagi urusan pekerjaan.
Lim seorang mantan ketua eksekutif khidmat huraian keselamatan Kumpulan Secura.
Menurut Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Kawal Korporat (Acra), Lim kini menjadi pengarah di beberapa syarikat termasuk Fidelium Group, sebuah syarikat pengurusan konsultasi, dan Livinwall, sebuah kontraktor ubah suai.
Wang jaminan Lim telah ditetapkan sebanyak $15,000 dan antara syarat yang ditetapkan ialah dia harus menyediakan jadual perjalanan lengkap sebelum berangkat, kepada pegawai penyiasat atau pegawai yang bertindak di bawah arahan IO.
Lim juga harus memastikan dia sentiasa dapat dihubungi oleh IO.
Akhbar The Business Times (BT) melaporkan pada 2017 bahawa dia memegang pelbagai jawatan dalam Pasukan Polis Singapura (SPF) antara 1990 dengan 2010.
BT juga melaporkan bahawa selain menjadi komander divisyen, dia juga menjadi timbalan pengarah dalam pelbagai jabatan pasukan polis.
Dalam kesnya, Lim diwakili peguam Encik Adrian Wee daripada Lighthouse Law dan persidangan sebelum perbicaraan akan diadakan pada 6 September.
Pesalah yang disabitkan pencabulan boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda, atau dirotan, atau gabungan hukuman tersebut. Lim tidak boleh dirotan kerana usianya sudah melampaui 50 tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg