Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mantan pegawai kanan khidmat awam yang terajui pembangunan AirBaru meninggal dunia

Apr 9, 2025 | 4:44 PM
Tokoh perintis perkhidmatan awam, Encik Lee Ek Tieng, yang banyak berjasa termasuk mengetuai beberapa projek prasarana penting di Singapura, meninggal dunia pada 6 April, pada usia 91 tahun.
Tokoh perintis perkhidmatan awam, Encik Lee Ek Tieng, yang banyak berjasa termasuk mengetuai beberapa projek prasarana penting di Singapura, meninggal dunia pada 6 April, pada usia 91 tahun. - Foto ST

Mantan pegawai perkhidmatan awam perintis, Encik Lee Ek Tieng, seorang tokoh penting dalam pembangunan gerakan Singapura Hijau dan Bersih, telah meninggal dunia pada 6 April pada usia 91 tahun.

Mayat beliau telah dibakar pada 8 April menyusuli upacara penghormatan terakhir dan pengebumian tertutup yang diadakan oleh keluarganya, lapor The Straits Times (ST).

Dalam satu hantaran di Facebook pada 9 April, Perdana Menteri Encik Lawrence Wong, berkata:

“Bakti Encik Lee yang penuh dedikasi dan rendah hati telah meninggalkan kesan mendalam kepada negara kita”.

Dalam hantaran tersebut, Encik Wong memperingati sumbangan mendiang Encik Lee, termasuk penyeliaan projek prasarana penting pada zaman awal kemerdekaan Singapura – antaranya sistem pembetungan di seluruh pulau dan usaha mengubah sistem laluan air negara.

Encik Lee juga menerajui pembangunan AirBaru, yang menjadi asas kepada ketahanan sumber air Singapura, tambah Encik Wong.

Di luar bidang alam sekitar, Encik Lee pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan (MOF), Penguasa Kewangan Singapura (MAS), dan sebagai ketua perkhidmatan awam. 

Beliau meneruskan khidmat menyumbang kepada pembentukan masa depan negara menerusi peranannya di syarikat pelaburan milik negara, GIC.

“Meski banyak pencapaian yang diraih, Encik Lee kekal sebagai seorang yang rendah hati dan baik budi,” tulis Encik Wong. 

“Wawasan, kewibawaan dan komitmen seumur hidup beliau terhadap khidmat awam terus menjadi inspirasi.

“Semoga kita dapat memberi penghormatan kepada legasi beliau dengan menegakkan semangat khidmat dan kepimpinan yang sama.”

Pada 27 Februari, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, menyifatkan Encik Lee sebagai “seorang pemimpin, perintis dan arkitek sejati dalam mengubah alam sekitar moden Singapura”.

“Mereka yang pernah bekerja dengan beliau pasti akan mengakui beliau seorang yang teliti, inovatif dan tidak bertolak ansur dengan kecuaian,” kata Cik Fu semasa pelancaran buku yang menekankan sumbangan Encik Lee kepada alam sekitar Singapura, Lee Ek Tieng: The Green General Of Lee Kuan Yew.

“Dalam sebuah pemerintah yang menuntut kecemerlangan, beliau bukan sahaja mampu bertahan – malah cemerlang,” tambah Cik Fu.

Encik Lee menyertai perkhidmatan awam pada 1958 sebagai jurutera di Majlis Bandaran Singapura, sebelum berpindah ke Jabatan Kerja Raya pada 1962.

Beliau berkhidmat sebagai Pemangku Setiausaha Tetap (Kesihatan Awam) dari 1971 hingga 1972, kemudian sebagai Setiausaha Tetap (Sekitaran) dari 1975 hingga 1986.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Perkhidmatan Awam Singapura pada Jun 1994, sebelum mengambil alih jawatan ketua pada Oktober 1994.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg