Hormati legasi mendiang mantan Perdana Menteri Lee Kuan Yew memandangkan Singapura sekarang berdiri sebagai sebuah negara kota bersih, hijau, “dikagumi dan dihormati di seluruh dunia” hasil wawasan bapa pengasas Singapura itu, seru Perdana Menteri Lawrence Wong.
Dalam satu catatan di Facebooknya pada 23 Mac, sempena ulang tahun ke-10 kematian mantan Perdana Menteri itu, Encik Wong berkata kisah Singapura masih ditulis, lantas beliau menggesa rakyat menempa masa depan yang lebih cerah, sesuai dengan asas yang mendiang Lee telah letakkan.
“Bersama-sama dengan pasukan perintisnya, (mendiang) Encik Lee menentang pelbagai kesukaran bagi membina sebuah negara yang bertunjangkan meritokrasi, diperkukuh oleh daya tahan ekonomi, dan dirangkul bersama oleh komitmen mendalam terhadap keharmonian,” kata beliau.
Beliau menambah: “Kisah Singapura masih ditulis. Bersama-sama, mari kita tempa masa depan lebih cerah dan sesuai dengan asas yang beliau telah letakkan.”
Mendiang Lee menjadi perdana menteri Singapura pada 1959 hingga beliau berundur pada 1990.
Beliau kemudian menjadi menteri kanan dan menteri mentor hingga bersara pada Mei 2011. Mendiang kemudian dilantik sebagai penasihat kanan kepada Perbadanan Pelaburan Pemerintah Singapura.
Beliau meninggal dunia pada 23 Mac 2015, pada usia 91 tahun.
“Selama 10 tahun sudah berlalu. Hujan baru-baru ini mengingatkan kita pada satu hari yang syahdu pada Mac 2015, apabila Singapura bersatu di bawah awan mendung untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Perdana Menteri Pengasas kita, Encik Lee Kuan Yew,” kata Encik Wong.
Menteri Kanan (SM) Lee Hsien Loong, anak sulung mendiang Lee, juga mengingati 10 tahun pemergian ayahnya dengan satu catatan Facebook pada 23 Mac.
“Rakyat Singapura mengingati beliau atas semua yang beliau lakukan buat negara. Bagi saya dan keluarga saya, beliau ialah ayah atau datuk kami, dan seorang yang sangat penting buat kami. Semoga kita memenuhi harapan dan jangkaannya dan sentiasa membanggakan beliau,” kata SM Lee.
Presiden Tharman Shanmugaratnam pula memberi penghormatan kepada pertumbuhan Singapura di bawah pimpinan mendiang Lee dan berkata negara akan kelihatan sangat berbeza jika tidak kerana beliau.
“Kita bertahan sebagai sebuah negara kecil, menjadi masyarakat berbilang kaum, dan terus mendaki dunia kerana beliau, pasukan yang dipimpinnya, dan desakan beliau bahawa setiap generasi harus mempunyai pemimpin sendiri – dan cita-cita serta aspirasi mereka sendiri bagi masa depan,” kata beliau di Facebooknya pada 23 Mac.
Pada 22 Mac, satu upacara diadakan di Duxton Plain Park, di GRC Tanjong Pagar, bagi memperingati pemergian mendiang Lee, AP Tanjong Pagar dari 1955 hingga kematiannya.
Upacara itu dihadiri tiga daripada lima Anggota Parlimen (AP) Tanjong Pagar: Menteri Pendidikan Chan Chun Sing, Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah, dan Cik Joan Pereira.
Turut hadir ialah Encik Koo Tsai Kee, mantan AP GRC Tanjong Pagar, dan Cik Rachel Ong, AP GRC West Coast.
Mereka meletak sejambak bunga kekwa kuning dan putih di pangkal Pokok Peringatan Lee Kuan Yew, yang ditanam sebulan selepas kematian beliau dengan disaksikan SM Lee iaitu Perdana Menteri ketika itu, dan kira-kira 500 penduduk kawasan undi tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg