Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, mengirim ucapan takziah kepada keluarga mantan pengerusi emeritus dan penasihat kehormat bank UOB, Dr Wee Cho Yaw, yang meninggal dunia pada usia 95 tahun pada 3 Februari.
Dalam hantaran di Facebook pada 4 Februari, Encik Lee menyifatkan Dr Wee sebagai ‘raksasa industri’ perbankan Singapura yang mempunyai kerjaya cemerlang menjangkau lebih 60 tahun di UOB, dengan beliau menerajui syarikat itu pada tempoh yang panjang.
Encik Lee menambah bahawa kepimpinan Dr Wee yang berwawasan memainkan peranan penting dalam mengembangkan UOB menjadi salah satu bank paling berjaya di Singapura dan rantau ini.
“Di luar dunia korporat, Cho Yaw memberi sumbangan besar kepada masyarakat. Beliau terlibat secara aktif dalam mempromosikan bahasa, budaya, dan nilai Cina, dan mengambil peranan kepimpinan utama.
“Masyarakat terus meraih manfaat besar daripada Yayasan Wee, yang ditubuhkan pada 2009 untuk mempromosikan bahasa dan budaya Cina di Singapura, serta menyediakan bantuan pendidikan dan kebajikan kepada mereka yang memerlukan,” tulis Encik Lee.
Tambahnya, selain mempromosikan bahasa dan budaya Cina, Dr Wee menyumbang kepada masyarakat dari segi pendidikan.
Sebagai pengerusi Majlis Universiti Nanyang, beliau menyelia proses untuk menggabungkan Universiti Nanyang dengan Universiti Singapura untuk membentuk Universiti Nasional Singapura (NUS).
Mendiang kemudian berkhidmat dalam majlis NUS sehingga 2000.
Pada 2004, Dr Wee menyandang jawatan sebagai pro-canselor Universiti Teknologi Nanyang, dan menubuhkan dana biasiswa bagi menyokong pelajar yang mengikuti pengajian ijazah kewangan possiswazah di Sekolah Perniagaan Nanyang.
“Saya mengenali Cho Yaw secara peribadi selama empat dekad.
“Semasa saya menjadi pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS), dan mengawasi perubahan besar kepada sektor kewangan, saya bekerja rapat dengan beliau, dan sangat menghargai pandangan dan nasihat beliau.
“Saya akan sentiasa mengingati semangat dan tenaganya, dengan banyak perbualan kami merentasi pelbagai isu selama ini.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarganya dalam tempoh kesedihan yang sukar ini,” tambah Encik Lee. – IZWANDI AZMAN


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg