Topik diikuti
Pergi ke BHkuMangsa bahaya dalam talian kini ada saluran khusus lapor kes
Mangsa bahaya dalam talian kini ada saluran khusus lapor kes
Timbalan Pesuruhjaya Keselamatan Dalam Talian beri jaminan tindakan pantas akan diambil; mangsa turut ditawar kaunseling, bantuan guaman
Mangsa bahaya dalam talian kini ada saluran khusus lapor kes
Mangsa bahaya dalam talian akan menerima bantuan yang pantas dan berkesan dalam mengatasi segala kebimbangan yang melanda.
Ini menyusuli pembentukan Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC) yang mula berkuatkuasa pada 29 Jun.
OSC akan menyediakan wadah bagi mangsa melaporkan bahaya dalam talian yang dialami dan mendapatkan perlindungan.
Ia termasuk bagi kes gangguan dalam talian, dedah maya atau doxing iaitu pendedahan maklumat peribadi tanpa kebenaran, penghendapan dalam talian, penyalahgunaan imej intim dan penderaan kanak-kanak berasaskan imej.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya OSC, Cik Guy Ghazali, wadah pertama seumpama itu akan memastikan orang ramai yang berdepan isu bahaya dalam talian dapat menerima bantuan sewajarnya.
Cik Guy ditemui dalam satu sesi taklimat kendalian bersama OSC, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dan Kementerian Undang-Undang, yang diadakan di pejabat Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) di Pasir Panjang Road pada 24 Jun.
“Mangsa bahaya dalam talian adalah teras misi OSC. Kami akan bertindak cepat kerana kami tahu setiap masa dan setiap detik adalah penting.
“Bagi bahaya dalam talian yang lebih serius dan mendesak seperti doxing, penyalahgunaan imej intim dan penderaan kanak-kanak berasaskan imej, mangsa boleh membuat laporan langsung kepada OSC tanpa perlu melaporkannya kepada platform terbabit terlebih dahulu.
“Jika laporan itu didapati sah dan terdapat sebab untuk mengesyaki bahaya dalam talian telah berlaku, Pesuruhjaya Keselamatan Dalam Talian boleh mengarahkan penyampai maklumat, pentadbir atau platform berkenaan supaya mengeluarkan kandungan bahaya tersebut,” jelas beliau.
Cik Guy menambah, OSC turut bekerjasama rapat dengan pertubuhan masyarakat bagi menyediakan bantuan menyeluruh kepada mangsa.
“Selain membantu mengeluarkan kandungan bahaya dalam talian, mangsa juga boleh mendapatkan bantuan seperti khidmat kaunseling, bantuan guaman serta pelbagai bentuk sokongan lain melalui rakan pertubuhan kami,” katanya.
Antara pertubuhan tersebut ialah Khidmat Masyarakat Fei Yue, Samaritans of Singapore, SHE-SG Her Empowerment, Persatuan Kanak-Kanak Singapura dan Perkhidmatan Masyarakat Touch.
Cik Guy turut menggalakkan orang ramai yang tidak pasti sama ada mereka atau orang tersayang berdepan dengan bahaya dalam talian supaya melayari laman web OSC, yang menyediakan pelbagai sumber panduan serta maklumat mengenai jenis ancaman dan risiko dalam talian.
Selain membuat laporan kepada OSC, mangsa juga kini boleh mengambil tindakan guaman terhadap pencipta/penyebar kandungan (komunikator), pentadbir kumpulan dalam talian atau platform yang gagal mematuhi tanggungjawab mereka di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (Bantuan dan Kebertanggungjawaban) 2025 (OSRAA).
Mangsa yang tidak mengetahui identiti pelaku juga boleh memohon bantuan OSC untuk mengenal pasti individu berkenaan sekiranya bercadang memulakan prosiding guaman.
Bagi kes penyalahgunaan imej intim dan penderaan kanak-kanak berasaskan imej, mahkamah boleh memberikan ganti rugi minimum sebanyak $5,000 bagi setiap imej atau rakaman sekiranya tuntutan berjaya dibuktikan.
Menurut Laporan Penilaian Keselamatan Dalam Talian 2025, wadah media sosial mengambil masa antara dua dengan lima hari untuk mengambil tindakan terhadap laporan pengguna mengenai kandungan bahaya yang melanggar garis panduan masyarakat.
Sementara itu, Tinjauan Persepsi Pendigitalan 2025 oleh Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) mendapati lebih empat daripada lima penduduk Singapura (84 peratus), menemui kandungan bahaya dalam talian sepanjang 2025, manakala satu daripada tiga (33 peratus) turut menghadapi tingkah laku bahaya dalam talian.
Pada peringkat awal, OSC akan memberi tumpuan kepada lima kategori bahaya dalam talian tersebut, manakala lapan kategori lain di bawah OSRAA akan diperkenalkan secara berperingkat.
Bagi kes gangguan dalam talian dan penghendapan dalam talian, mangsa perlu terlebih dahulu melaporkan kandungan bahaya itu kepada platform tempat kandungan itu disiarkan.
Sekiranya platform gagal memberikan tindak balas segera atau memberikan respons tidak memadai dalam tempoh 24 jam, mangsa boleh membuat laporan kepada OSC.
Bagi kes doxing, penyalahgunaan imej intim dan penderaan kanak-kanak berasaskan imej pula, mangsa boleh terus membuat laporan kepada OSC menerusi laman webnya.
Ibu bapa atau penjaga juga boleh membuat laporan bagi pihak mangsa yang berusia bawah 18 tahun, manakala individu lain boleh berbuat demikian dengan kebenaran bertulis mangsa.
Tiada sebarang bayaran dikenakan bagi membuat laporan.
Selepas laporan diterima, OSC akan menilai sama ada terdapat alasan munasabah untuk mengesyaki bahaya dalam talian telah berlaku sebelum menentukan sama ada arahan atau notis perlu dikeluarkan kepada individu yang memuat naik kandungan, pentadbir kumpulan atau platform berkenaan supaya kandungan itu dikeluarkan.
Kegagalan mematuhi arahan yang dikeluarkan merupakan satu kesalahan jenayah.
Individu yang tidak berpuas hati dengan keputusan OSC boleh memohon semakan semula dalam tempoh 14 hari sebelum mengemukakan rayuan kepada Panel Rayuan Keselamatan Dalam Talian yang beroperasi secara bebas daripada OSC.
