Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MAS: Ancaman kewangan kekal tinggi meski ekon sejagat kukuh

Politik, ketidaktentuan dasar dagang kekang pelaburan baru di luar sektor teknologi
Nov 5, 2025 | 9:14 PM
MAS, ekonomi, kewangan, sejagat
Ekonomi serantau masih terdedah kepada turun naik mata wang dan aliran modal, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) - Foto BT

Ancaman terhadap keutuhan kewangan sejagat kekal tinggi, walaupun ekonomi sejagat menunjukkan daya tahan lebih baik daripada jangkaan dan keyakinan pelaburan terus kukuh, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Dalam Laporan Kestabilan Kewangan (FSR) yang diterbitkan pada 5 November, MAS berkata pasaran ekuiti awam semakin tertumpu pada sektor tertentu, manakala kebimbangan terhadap kemampanan hutang awam kian meningkat.

MAS menjelaskan ekonomi sejagat 2025 disokong oleh permintaan awal, pelaburan kukuh dalam teknologi dan keadaan kewangan yang longgar.

Namun, ancaman politik dunia dan ketidaktentuan dasar perdagangan meningkat berbanding 2024, mengekang pelaburan baru di luar sektor teknologi.

Penilaian pasaran ekuiti dunia kini tertumpu pada sektor teknologi dan kecerdasan buatan (AI), yang boleh terdedah kepada pembetulan mendadak, jika keyakinan terhadap pulangan AI berkurangan.

Pasaran bon pemerintah turut berdepan tekanan susulan defisit fiskal yang melebar dan paras hutang awam yang tinggi.

Di rantau ini, ekonomi serantau kekal terdedah kepada turun naik mata wang dan aliran modal.

Kelemahan dolar Amerika Syarikat dan tarif perdagangan boleh menjejas pengeksport Asean, khususnya dalam sektor barangan pengguna dan bahan mentah.

Dolar Amerika telah susut 7 peratus sejak awal 2025, mengehadkan keberkesanan kadar tukaran tempatan sebagai penyerap kejutan, sekiranya pertumbuhan dunia perlahan.

Tarif Amerika turut menyebabkan kelemahan harga serantau, apabila pengilang dan pengeksport menurunkan harga walaupun jumlah eksport meningkat akibat permintaan awal.

Pasaran saham serantau juga berisiko menghadapi pembetulan apabila keuntungan syarikat yang lebih lemah diambil kira.

Sementara itu, syarikat, isi rumah dan sektor kewangan Singapura kekal berdaya tahan dengan kedudukan kewangan yang kukuh, kata MAS.

Keadaan ini disokong oleh pasaran dunia yang rancak serta dasar kewangan yang longgar oleh bank pusat utama.

Indeks tekanan kewangan Singapura turut menurun di bawah purata jangka panjang, walaupun berlaku lonjakan selepas pengumuman tarif Amerika pada April.

Namun, pertikaian perdagangan baru atau kebimbangan fiskal dunia boleh mencetus perubahan mendadak dalam keyakinan pelabur.

Menurut laporan akhbar The Straits Times (ST), institusi kewangan tempatan mengenal pasti ketidaktentuan makroekonomi dan ancaman politik dunia sebagai ancaman utama kepada sistem kewangan domestik.

Walaupun risiko daripada pergantungan IT dan AI wujud, sektor perbankan Singapura kekal kukuh dengan penampan modal dan kecairan yang tinggi.

Bank-bank Singapura kekal kukuh dengan penampan modal dan kecairan tinggi.

Ujian tekanan menunjukkan institusi kewangan mampu menahan kejutan dunia tanpa kesan besar kepada sistem tempatan.

Sektor korporat dan isi rumah juga stabil, disokong pertumbuhan domestik serta kadar faedah rendah.

MAS menegaskan syarikat dan isi rumah di Singapura masih mempunyai daya tahan tinggi, dengan aset kewangan yang berkembang lebih cepat daripada hutang dan keupayaan membayar balik pinjaman yang kekal sihat.

Namun sebilangan kecil isi rumah, iaitu sekitar 1 peratus, dijangka terjejas jika berlaku kejutan pendapatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg