Penguasa Kewangan Singapura (MAS) tidak berhasrat untuk menjadikan dolar Singapura (Singdollar) sebagai mata wang rizab, kata pengarah urusannya, Encik Chia Der Jiun.
Dalam wawancara menjelang Pesta Teknologi Kewangan Singapura yang akan berlangsung dari 12 hingga 14 November, Encik Chia berkata dolar Singapura kekurangan ciri-ciri penting yang dimiliki mata wang rizab, lapor The Business Times.
Penganalisis juga mengatakan Singapura tidak mahu mengantarabangsakan mata wangnya agar dapat mengekalkan kawalan terhadap rangka kerja kewangan yang tertumpu kepada kadar pertukaran.
Namun, mereka turut menekankan daya tarikan dolar Singapura sebagai mata wang pelaburan selamat dan menjangkakan ia akan menjadi aset rizab serantau, memandangkan ketahanan yang dimilikinya berbanding dolar Amerika Syarikat.
Dolar Singapura telah naik lebih 4 peratus berbanding dolar Amerika pada 2025, dengan AS$1 kini bersamaan kira-kira $1.31 akibat penjualan besar-besaran dolar Amerika.
Ini telah mencetuskan ramalan bahawa dolar Singapura mungkin akan setara dengan dolar Amerika pada masa akan datang.
Laporan daripada DBS pada Oktober menjangkakan dolar Singapura akan mencapai paras itu menjelang 2040, didorong oleh dasar dan daya tarikannya sebagai pelaburan selamat.
Encik Chia berkata kepercayaan pasaran terhadap dolar Singapura disokong oleh kestabilan makroekonomi, politik, undang-undang, pengurusan aktif kadar pertukaran dan penarafan kredit ‘triple-A’ negara ini.
Namun, Singapura kekurangan pasaran aset yang besar, mendalam dan cair yang diperlukan untuk menyediakan aset selamat di peringkat global, ujarnya.
Para penganalisis juga mengakui bahawa dolar Singapura tidak memiliki skala yang mencukupi untuk menjadi mata wang rizab global.
Dolar Singapura mempunyai penggunaan luar pesisir yang terhad dan saiz pasaran yang kecil, kata pakar ekonomi mata wang kanan daripada DBS, Encik Philip Wee.
Rangka kerja kewangan MAS juga bergantung kepada pemeliharaan kecairan dolar Singapura agar sebahagian besarnya berada dalam negara dan bebas daripada aliran spekulatif luar pesisir, tambahnya.
Namun, Singapura masih memiliki banyak ciri kualitatif yang diperlukan untuk menjadi mata wang rizab, seperti kebolehpercayaan, keselamatan dan sistem kewangan yang berfungsi dengan baik, kata pakar strategi kadar pertukaran asing dan pasaran baru muncul Asia daripada BNP Paribas, Encik Chandresh Jain.
“Sasaran yang lebih realistik adalah untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai aset rizab serantau dan mata wang pelaburan selamat yang khusus,” katanya.
Encik Wee berkata dolar Singapura tidak terjejas oleh dasar kewangan terlalu longgar atau peningkatan hutang awam, berbeza dengan banyak mata wang utama lain.
Sebaliknya, ia mengekalkan nilai sebenar melalui pengurusan fiskal yang baik dan dasar kadar pertukaran yang dipercayai, menjadikannya “satu penyimpan nilai dipercayai”, tambahnya.
Selain itu, kekuatan dan kebolehramalan dolar Singapura menjadikannya mata wang yang lebih disukai bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan di Asia Tenggara, kata pakar strategi forex dan kadar Asia Pasifik daripada Bank of America (BOA) Securities, Encik Claudio Piron.
Ketua penyelidikan forex daripada Maybank, Encik Saktiandi Supaat, berkata dolar Singapura boleh menjadi seperti franc Switzerland – satu mata wang selamat yang juga merupakan mata wang utama.
Dolar Singapura kini antara 10 mata wang paling banyak diperdagangkan di dunia, sementara Singapura merupakan hab kewangan penting dan salah satu daripada tiga pusat perdagangan forex terbesar selepas London dan New York, katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg