Bank harus meneliti semula hubungan pembiayaan mereka dengan pelanggan yang dikaitkan dengan kegiatan yang menyumbang kepada jerebu rentas sempadan.

Ini termasuk mengehadkan pendedahan mereka atau memutuskan hubungan dengan pihak yang didapati jelas melanggar undang-undang alam sekitar, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Dalam satu kenyataan pada 28 Oktober, MAS menyatakan bank harus mengenal pasti, menilai dan mengurus risiko alam sekitar yang timbul daripada kegiatan dan pendedahan mereka, termasuk risiko berkaitan pencemaran dan penebangan hutan.

Bank juga perlu mengambil kira maklumat berkaitan yang dikeluarkan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA).

“Jika ada pelanggan mungkin mempunyai kaitan dengan kegiatan yang menyumbang kepada jerebu, bank harus berhubung dengan mereka dan mendapatkan maklumat mencukupi untuk memahami peranan dan penglibatan mereka, termasuk sama ada langkah sewajarnya telah dilaksanakan untuk mencegah, mengesan dan menghentikan kebakaran,” kata MAS.

MAS menambah, sekiranya risiko alam sekitar yang lebih tinggi dikenal pasti, bank harus mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan risiko tersebut.

Langkah itu termasuk mengenakan syarat tertentu, menyemak semula terma pembiayaan dan menilai semula hubungan dengan pelanggan.

MAS berkata pelanggaran undang-undang alam sekitar yang jelas memerlukan tindakan lebih tegas, termasuk mengehadkan pendedahan kewangan atau memutuskan hubungan dengan pelanggan berkenaan.

Menurut kajian gabungan alam sekitar oleh ‘Forests & Finance’, tiga bank tempatan Singapura telah menyediakan pembiayaan berjumlah berbilion dolar sejak 2010 kepada syarikat besar dalam sektor minyak sawit dan perhutanan, termasuk beberapa syarikat yang dinamakan dalam siasatan terkini mengenai punca jerebu rentas sempadan.

‘Forests & Finance’ ialah gabungan pertubuhan penyelidikan dan kempen alam sekitar yang meneliti hubungan antara pembiayaan institusi kewangan dengan kegiatan perniagaan yang berisiko menyebabkan kemusnahan hutan dan menjejaskan masyarakat.

Data yang diterbitkan ‘Forests & Finance’ dan dikemas kini pada 14 Oktober menunjukkan DBS Bank, OCBC Bank dan UOB secara keseluruhan menyediakan pembiayaan berjumlah sebanyak AS$11 bilion ($14 bilion) sepanjang tempoh tersebut kepada syarikat yang beroperasi dalam sektor minyak sawit serta pulpa dan kertas.

OCBC menyumbang sebanyak AS$5.91 bilion dalam pembiayaan antara 2010 dengan 2026.

DBS pula menyumbang sebanyak AS$3.22 bilion, manakala UOB menyediakan sebanyak AS$1.85 bilion, kededuanya antara 2013 dengan 2026.

Walaupun rekod tersebut tidak merangkumi semua pembiayaan, kajian itu memberikan gambaran tentang skala hubungan pembiayaan bank dengan syarikat perladangan utama.

Namun data itu tidak membuktikan bahawa sebarang pembiayaan telah digunakan bagi kegiatan yang berkaitan dengan kebakaran dan jerebu baru-baru ini.