Topik diikuti
Pergi ke BHkuMAS benarkan pelabur runcit labur dalam dana lebih rumit, kecuali pasaran swasta
Inisiatif ini bantu pasarkan produk inovatif dengan lebih pantas
MAS benarkan pelabur runcit labur dalam dana lebih rumit, kecuali pasaran swasta
Pelabur runcit tidak lama lagi mungkin dapat melabur dalam lebih banyak jenis dana baharu susulan pelaksanaan Kod Skim Pelaburan Kolektif yang disemak Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 26 November.
Pelabur runcit ialah pelabur individu yang lazimnya menikmati perlindungan kawal selia lebih ketat berbanding pelabur bertauliah atau institusi.
Pindaan itu berkuat kuasa serta-merta, menyusuli rundingan awam dari 9 Julai hingga 10 Ogos.
Pindaan itu melaksanakan inisiatif yang kali pertama diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, pada Jun lalu untuk membantu pengurus dana memasarkan produk inovatif dengan lebih pantas, seiring dengan peningkatan kemahiran pelabur dan permintaan yang semakin tinggi terhadap pilihan produk pelaburan lebih luas di Singapura.
Di bawah kod yang disemak semula itu, MAS memperkenalkan peruntukan tambahan bagi dana bukan tradisional untuk merangkumi jenis dana baharu yang memenuhi syarat tertentu.
Dana bercirikan penggunaan derivatif secara meluas itu akan dikelaskan sebagai produk rumit, tertakluk pada langkah perlindungan pengedaran yang lebih ketat.
MAS akan bekerjasama dengan peserta pasaran atau persatuan industri untuk merangka syarat berdasarkan ciri dan risiko dana, yang akan diterbitkan dalam notis.
Proses itu dijangka mengambil masa sekitar tiga bulan selepas semua maklumat yang diperlukan diterima, berbanding enam hingga 12 bulan sebelum ini. Dana sejenis yang memenuhi syarat akan diluluskan dalam tempoh 21 hari.
Pada Julai, MAS menyatakan terdapat minat dalam kalangan peserta pasaran untuk menawarkan dana komoditi tunggal berasaskan niaga hadapan serta pilihan dana bon pemerintah sesebuah negara yang lebih luas kepada pelabur runcit.
Dalam rundingan awam baru-baru ini, beberapa pihak meminta penjelasan sama ada rangka kerja yang diusulkan itu boleh merangkumi jenis dana lain, termasuk dana yang melabur dalam aset pasaran swasta.
Dana ekuiti dan kredit swasta akan ditangani menerusi rangka kerja pelaburan runcit berasingan yang bakal diumumkan.
Dana komoditi tunggal mesti menjejaki indeks harga niaga hadapan yang ‘diiktiraf secara meluas’, berdasarkan penggunaannya sebagai penanda aras dan tempoh operasinya.
Lima komoditi dibenarkan: emas, perak, platinum, minyak mentah dan bijih besi.
Susulan maklum balas industri, MAS menggugurkan usulan awal untuk melarang penggunaan istilah ‘ETF’ (Dana Dagangan Bursa), dengan syarat nama itu jelas menyatakan kontrak niaga hadapan komoditi yang dilaburkan.
Prospektus mesti memperincikan kaedah pembaharuan kontrak dan kesan perbezaan harga mengikut tempoh matang terhadap pulangan.
MAS akan turut mengiktiraf dana asing yang setanding dengan dana baharu yang diluluskan, termasuk yang tertakluk pada peruntukan tambahan baharu itu.
Demi ‘persaingan yang adil’, langkah perlindungan MAS bagi dana tempatan akan ditetapkan sebelum pengiktirafan dana asing dipertimbangkan.