JP Morgan Chase Bank dikenakan denda $2.4 juta oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) kerana salah laku pengurus perhubungannya.
MAS pada 2 Disember berkata ia mengenakan hukuman sivil ke atas bank itu kerana gagal mencegah dan mengesan salah laku yang dilakukan oleh pengurus perhubungannya.
Ia berkata pengurus perhubungan itu telah membuat pendedahan tidak tepat atau tidak lengkap kepada pelanggan mereka dalam 24 urus niaga bon yang didagangkan secara langsung, atau over the counter (OTC), yang berlaku antara November 2018 dengan September 2019.
Pendedahan yang tidak lengkap dan tidak tepat itu bermakna pelanggan telah dikenakan bayaran ‘spread’ yang melebihi kadar yang telah dipersetujui secara dua hala.
‘Spread’ ialah perbezaan antara harga belian atau bidaan dengan harga jualan atau permintaan sesuatu aset atau sekuriti.
MAS berkata siasatan mendapati bagi urus niaga bon OTC, amalan bank itu adalah mengenakan kepada pelanggannya bayaran ‘spread’ bagi harga antara bank, lapor The Straits Times.
Memandangkan harga antara bank itu tidak diketahui pelanggan, mereka terpaksa bergantung pada apa yang dibentangkan oleh pengurus perhubungan kepada mereka.
“JP Morgan tidak mewujudkan proses dan kawalan yang mencukupi untuk memastikan pengurus perhubungannya mematuhi ‘spread’ yang telah dipersetujui dengan pelanggan apabila melaksanakan urus niaga bon OTC bagi pihak mereka,” kata MAS.
Ia menambah bahawa pengurus perhubungan itu sama ada telah memutarbelitkan komponen harga atau mengetepikan maklumat penting bahawa ‘spread’ yang dikenakan adalah melebihi kadar yang dipersetujui, bertentangan dengan Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan (SFA).
Bank itu, yang mengaku melanggar SFA, telah membayar balik lebihan bayaran itu kepada pelanggan yang terjejas.
Apabila ditanya, JP Morgan Private Bank berkata pihaknya berbesar hati perkara itu dapat diselesaikan.
“Pada 2020, selepas melengkapkan semakan dalaman kami, JP Morgan Private Bank telah membuat bayaran balik sepenuhnya kepada pelanggan yang terjejas, yang mewakili sebahagian kecil jumlah dagangan yang diproses dalam tempoh berkaitan,” katanya.
Bank privet itu menambah bahawa ia telah melakukan kemas kini menyeluruh ke atas kawalan dalaman, pemantauan dan rangka kerja latihan untuk memastikan tadbir urus perdagangan, ketelusan harga dan prinsip pematuhannya terus ditegakkan.
Semakan berasingan terhadap pengurus perhubungan yang terlibat dalam salah laku itu sedang dijalankan, tambah MAS.
Denda itu dikenakan selepas MAS menyemak amalan harga dan pendedahan dalam perusahaan perbankan swasta.
Denda yang dikenakan ke atas institusi kewangan untuk kejadian serupa juga pernah berlaku pada masa lalu.
Contohnya pada Disember 2023, Credit Suisse, yang kini menjadi sebahagian daripada UBS, didenda $3.9 juta kerana salah laku oleh pengurus perhubungannya.
Pada November 2019, UBS didenda $11.2 juta atas perdagangan tidak jujur oleh penasihat pelanggan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg