Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengawal selia tidak cukup tegas terhadap firma S’pura yang langgar aturan

Sep 18, 2024 | 5:03 PM
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Tadbir Urus Korporat Asia (ACGA), Encik Amar Gill, perkara yang agak mengejutkan ialah penalti yang dikenakan terhadap syarikat Singapura yang melakukan pelanggaran undang-undang tidaklah begitu tinggi.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Tadbir Urus Korporat Asia (ACGA), Encik Amar Gill, perkara yang agak mengejutkan ialah penalti yang dikenakan terhadap syarikat Singapura yang melakukan pelanggaran undang-undang tidaklah begitu tinggi. - Foto AFP

Syarikat Singapura yang tidak mematuhi piawaian kawal selia atau melakukan jenayah komersial, tidak dikenakan tindakan keras yang sewajarnya oleh pengawal selia dan agensi penguatkuasaan.

Demikian menurut Setiausaha Agung Persatuan Tadbir Urus Korporat Asia (ACGA), Encik Amar Gill, dalam satu forum bersama lembaga pengarah syarikat pada 17 September.

Encik Gill menyebut kejatuhan syarikat Noble Group disebabkan penyata perakaunan kewangan yang mengelirukan, dan skandal rasuah melibatkan unit luar pesisir dan marin Keppel di Brazil sebelum ini, sebagai contoh kurangnya azam politik di sini untuk menangani skandal korporat.

Syarikat Noble Group didenda $12.6 juta oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Ogos 2022 – tujuh tahun selepas satu laporan penjualan singkat dikeluarkan oleh Iceberg Research.

Bekas pekerja Keppel Offshore & Marine ketika itu pula hanya diberikan amaran keras.

Bagaimanapun, syarikat itu membayar denda lebih $500 juta seperti yang diarahkan pihak berkuasa Brazil dan Amerika Syarikat, lapor The Business Times (BT).

“Perkara yang kami dapati agak mengejutkan ialah penalti ke atas syarikat, apabila ia melakukan pelanggaran (undang-undang) tidaklah begitu tinggi... jumlah dendanya tidak setinggi berbanding yang boleh dikenakan ke atas beberapa syarikat ini,” kata Encik Gill, yang berucap dalam satu acara anjuran Institut Pengarah Singapura (SID) dan Penguasa Bursa Saham Singapura (SGX RegCo).

Beliau membuat ulasan tersebut berdasarkan siri laporan ACGA yang menilai landskap tadbir urus korporat di pasaran Asia-Pasifik pada 2023.

Pasukan penyelidik itu meneliti pelbagai kriteria, termasuk tadbir urus pemerintah dan awam, pembaharuan dan penguatkuasaan peraturan, peraturan tadbir urus korporat, serta interaksi dengan pelabur, untuk menilai prestasi setiap negara.

Nilai markah Singapura dalam kategori tadbir urus pemerintah dan awam pada 2023 merosot berbanding penilaian sebelumnya pada 2020.

Di samping pendekatan yang diambil terhadap skandal korporat berprofil tinggi, laporan tersebut menyatakan bahawa tiada kemajuan dicapai dalam undang-undang pemberi maklumat atau whistleblower dan ombudsman, atau dalam menyediakan rangka kerja tindakan kelompok di Singapura.

Ombudsman adalah penguasa atau pegawai rasmi yang berperanan menyiasat aduan orang ramai terhadap sesuatu perkara berkaitan syarikat tertentu atau pentadbiran pemerintah.

Pasaran juga terus tersekat disebabkan kurangnya atau ketiadaan suruhanjaya sekuriti yang bebas daripada pemerintah.

Bagaimanapun, laporan itu turut menyatakan bahawa Singapura mengambil tindakan tegas bagi kes salah laku dalam pasaran saham.

Contohnya, pihak berkuasa di sini memburu kededua individu yang terlibat dalam kes kejatuhan saham pada 2013.

Pada Disember 2022, John Soh dijatuhi hukuman penjara 36 tahun, dan rakan subahatnya, Quah Su-Ling, dijatuhi hukuman penjara 20 tahun, kerana kesalahan manipulasi pasaran saham yang melenyapkan nilai permodalan pasaran sekitar $8 bilion di Bursa Saham Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg