Langkah Singapura meluaskan akses kepada wang tunai tidak menandakan pengunduran daripada usaha menjadi sebuah masyarakat yang beralih kepada pembayaran digital atau kurang menggunakan tunai, kata para pemerhati. 

Sebaliknya, ia mencerminkan pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap keterangkuman kewangan sebagai sesuatu yang tetap penting, sedang negara ini mempertingkatkan prasarana pembayarannya.

Wang tunai fizikal masih memainkan peranan dalam memberi keyakinan kepada pengguna di tengah-tengah peningkatan kes penipuan, meskipun pembayaran digital kini semakin meluas penggunaannya, tambah pemerhati itu.

Pada 26 Jun, pihak DBS, OCBC, UOB dan Nets berkata mereka akan memastikan mesin ATM, cawangan bank, dan titik tunai – iaitu kaunter di kedai di mana pelanggan boleh mengeluarkan wang tunai semasa membuat pembelian – berada dalam lingkungan 500 meter dari setiap blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menjelang 2027.

Langkah ini sebahagian daripada usaha memenuhi keperluan perbankan warga emas dengan lebih baik.

Inisiatif ini diperkenalkan meskipun bilangan ATM di luar premis bank di Singapura telah merosot pada kadar purata 2 peratus setiap tahun sepanjang dekad lalu, manakala kadar pengeluaran wang di ATM pula jatuh lebih 30 peratus antara 2015 dengan 2024.

Meskipun ramai warga Singapura agak terbuka menerima alat digital, tidak kurang juga yang memandang teknologi dengan rasa curiga menyusuli peningkatan kes penipuan, kata Ketua Industri Perkhidmatan Kewangan di Deloitte Asia Tenggara, Encik Mohit Mehrotra.

“Sedang taktik seperti pemancingan data, penipuan, dan AI (kecerdasan buatan) terus berkembang pesat dalam industri kita, maka perkara paling selamat bagi individu yang mungkin kurang mahir dalam teknologi digital atau lebih terdedah kepada ancaman penipuan adalah dengan memegang wang tunai,” kata Rakan Kongsi dan Ketua Perkhidmatan Kewangan di KPMG Singapura, Encik Anton Ruddenklau.

Langkah terbaru itu mencerminkan trend global lebih luas di mana pemerintah di serata dunia mengekalkan akses kepada wang tunai, meskipun pembayaran digital semakin meluas dalam masyarakat.

Sebagai contoh, negara-negara Nordik di Eropah Utara sedang berdepan isu penuaan penduduk dan telah berusaha beralih ke arah masyarakat kurang tunai yang disokong prasarana pembayaran digital.

Namun, mereka kini sedang meneroka semula wang tunai sebagai pilihan yang berkesan, kata Encik Mehrotra.

Di Britain, akses kepada wang tunai dilindungi undang-undang pemerintah, manakala pemerintah persekutuan Australia pada Januari lalu telah mewajibkan sebahagian besar kedai runcit dan stesen minyak agar terus menerima wang tunai.

“(Ini adalah tentang) memahami pelanggan di peringkat akhir kehidupan mereka,” kata Encik Ruddenklau.

Langkah tersebut berada di penghujung spektrum berbeza jika dibandingkan dengan segmen pelanggan yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja – golongan yang diberi fokus oleh pihak bank bagi menembusi bahagian pasaran baru, tambah beliau.

Encik Ruddenklau turut menyatakan bahawa akses kepada wang tunai telah dibangkitkan sebagai satu isu politik di serata dunia.

Pada awal tahun ini (2026), Parlimen Singapura telah membincangkan keperluan untuk menyediakan lebih banyak akses kepada wang tunai, dengan permintaan terhadap tunai dan perkhidmatan ATM tetap menunjukkan daya tahan meskipun penggunaan perbankan digital semakin meluas.

Pada Mac, Switzerland mengundi untuk meminda perlembagaan bagi menjamin hak menggunakan dan mendapatkan wang tunai fizikal.

“Tidak mengejutkan bahawa topik ini dibangkitkan di Parlimen (Singapura). Hakikat bahawa industri perbankan telah pun bersedia berdepan isu ini adalah sesuatu yang positif. Ini sekali gus membolehkan sektor lebih luas turut membincangkannya,” kata Encik Ruddenklau.

Pada peringkat ini, masih belum jelas jumlah kos tambahan yang perlu ditanggung oleh ketiga-tiga bank berkenaan bagi melaksanakan langkah tersebut, kerana butiran terperinci belum didedahkan.

Setakat ini, bank tersebut mempunyai rangkaian merangkumi lebih 2,100 ATM dan lebih 150 cawangan di serata Singapura.

Jumlah ini tidak termasuk titik tunai – iaitu kedai di mana pelanggan boleh mengeluarkan wang tunai semasa membuat pembelian – serta mesin Nets yang turut menyediakan perkhidmatan mengeluarkan wang tunai.