Pekerja yang menaiki bas sewa khas dan van dari Singapura ke Malaysia melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands pada waktu puncak petang hari bekerja kini hanya mengambil purata sekitar 10 minit untuk melepasi pemeriksaan imigresen, berbanding sekitar 30 minit sebelum ini.

Pengurangan masa pelepasan itu dicapai menerusi satu dewan pemeriksaan penumpang baru yang telah beroperasi sejak 17 April.

Dewan itu dibangunkan hasil usaha Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mengubah guna sebahagian zon kargo berlepas bagi menempatkan proses pelepasan khusus bagi penumpang bas sewa khas dan van yang membawa pekerja ke Malaysia.

Dalam satu kenyataan media pada 30 Jun, ICA menyatakan lebih 8,800 bas dan van yang membawa lebih 142,000 penumpang telah menggunakan dewan baru itu setakat 20 Jun.

“Secara purata, sekitar 200 kenderaan yang membawa kira-kira 3,000 penumpang dialihkan ke dewan baru itu pada setiap hari bekerja,” kata ICA.

Sebelum ini, bas sewa khas dan van yang membawa pekerja ke Malaysia menggunakan petak sama dengan bas awam dan bas ulang-alik seperti Causeway Link (CW) serta Transtar di dewan pelepasan utama.

Menurut ICA, bas sewa khas dan van itu lazimnya berada lebih lama di petak bas kerana pemandu perlu menunggu semua penumpang selesai menjalani pemeriksaan imigresen sebelum meneruskan perjalanan.

“Keadaan itu mengurangkan ketersediaan petak bas untuk perkhidmatan bas awam dan bas ulang-alik, sekali gus menyumbang kepada kesesakan lalu lintas serta kepadatan penumpang di ruang pelepasan bas pada waktu puncak petang hari bekerja,” jelas ICA.

Di bawah aturan baru itu, penumpang akan turun di zon kargo berlepas sebelum menjalani pemeriksaan di dewan khas yang dilengkapi dengan 15 kios pelepasan automatik.

Selepas selesai pemeriksaan imigresen, mereka akan menaiki semula kenderaan masing-masing – bas sewa ataupun van – di kawasan menunggu yang disediakan sebelum meninggalkan pusat pemeriksaan.

Bergantung kepada keadaan trafik semasa, dewan tersebut akan beroperasi dari kira-kira 5 petang hingga 10 malam.

Pekerja yang ditemui Berita Harian (BH) di dewan pemeriksaan penumpang baru itu menyambut baik aturan berkenaan kerana ia berjaya memendekkan masa perjalanan pulang ke Malaysia.

Bagi Cik Prasanna Krishnan, 31 tahun, aturan baru itu menjadikan perjalanan pulangnya lebih teratur dan selesa.

“Saya sangat gembira kerana sekarang boleh balik lebih cepat.

“Dulu, selalunya selepas 7 malam baru lepas pusat pemeriksaan, tetapi sekarang, kira-kira 6 petang kami sudah boleh keluar.

“Saya juga tidak lagi perlu berebut atau tergesa-gesa menaiki bas,” katanya, yang bekerja sebagai kakitangan pentadbiran di Singapura.

Sementara itu, Cik Siti Mariam Mohd Noah, 40 tahun, berkata aturan baharu itu menjadikan proses pelepasan lebih lancar kerana tidak lagi berkongsi ruang pemeriksaan dengan pengguna bas awam.

“Sekarang lebih cepat dan lebih lancar berbanding sebelum ini. Dulu kami terpaksa berkongsi dengan penumpang bas awam, jadi keadaan lebih sesak. Sekarang saya dapat jimat kira-kira 15 minit,” kongsi operator pengeluaran itu.

Menurut ICA, pengasingan proses pelepasan bagi penumpang yang menaiki bas sewa khas dan van daripada pengguna bas awam dan bas ulang-alik membolehkan penggunaan kapasiti petak bas yang terhad dioptimumkan.

Ia di samping mengurangkan masa menunggu, melancarkan aliran trafik di dalam Pusat Pemeriksaan Woodlands serta meningkatkan pengalaman perjalanan semua penumpang.

Sehubungan itu, ICA berkata langkah tersebut turut mengurangkan masa pelepasan penumpang, dengan waktu puncak petang kini reda kira-kira 9 malam berbanding 11 malam sebelum ini.

“Pengalihan itu turut membebaskan tiga daripada tujuh petak bas di dewan pelepasan utama... Hasilnya, bas CW dan Transtar masing-masing dapat menambah sekitar 75 dan 43 perjalanan pada waktu puncak petang hari bekerja,” ujarnya.

Berkongsi kepada media di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Penolong Komander Pusat Pemeriksaan Woodlands, Timbalan Superintenden (DSP) Chong Chee Chung, berkata:

“Dengan jumlah pengembara dan trafik di pusat pemeriksaan darat kami yang terus meningkat, ICA sentiasa meneroka cara meningkatkan kecekapan pelepasan serta mempertingkat pengalaman perjalanan.

“Aturan baru ini telah memendekkan masa perjalanan penumpang serta melancarkan aliran keseluruhan penumpang melalui pusat pemeriksaan itu.”

Menjawab pertanyaan BH, ICA berkata langkah itu merupakan penyelesaian sementara bagi menangani jumlah penumpang yang tinggi di Pusat Pemeriksaan Woodlands sementara menunggu projek pembangunan semula pusat pemeriksaan berkenaan.

Dalam pada itu, ICA berkata pihaknya akan terus memantau keadaan trafik di pusat pemeriksaan berkenaan serta memperhalusi operasinya bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar untuk semua pengguna.