Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat Pemeriksaan Woodlands dinaik taraf suku ketiga 2025

Jun 4, 2025 | 6:28 PM
 pusat pemeriksaan woodlands, woodlands town centre, naik taraf
Fasa pertama pembangunan semula akan melibatkan peluasan Pusat Pemeriksaan Woodlands di Woodlands Town Centre lama. - Foto ST

Pusat Pemeriksaan Woodlands akan dinaik taraf dan diperluaskan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, dengan fasa pertama kerja pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga 2025.

Ini akan menjadi penyelesaian jangka panjang kepada kesesakan kronik di laluan darat, menurut kenyataan bersama Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada 4 Jun, lapor The Straits Times (ST).

Fasa pertama pembangunan semula akan melibatkan peluasan Pusat Pemeriksaan Woodlands di Woodlands Town Centre lama.

“Peluasan ini akan merangkumi kemudahan pelepasan automatik baru bagi pelbagai kenderaan,” menurut kenyataan tersebut.

Ekspreswe Bukit Timah (BKE) akan turut diperluas untuk menyediakan laluan langsung dari pusat pemeriksaan ke ekspreswe itu, bagi mengurangkan kesesakan di jalan raya semasa waktu sibuk.

Jumlah orang awam melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands setiap hari meningkat sebanyak 22 peratus kepada 327,000 pada 2024 berbanding 269,000 pada 2023.

Seramai 376,000 merentasi pusat pemeriksaan tersebut pada 20 Disember 2024 – jumlah tertinggi yang direkodkan – semasa cuti sekolah akhir tahun.

Menjelang 2050, purata bilangan harian yang melalui pusat pemeriksaan dijangka mencecah 400,000.

Bagi memudahkan projek pembangunan semula ini, pemerintah akan memperoleh dua bidang tanah kecil milik kerajaan Malaysia, yang bersaiz sekitar 0.79 hektar.

Sebelum ini, Singapura telah menulis kepada Malaysia pada Mei 2022 dan November 2023 lalu, untuk mencadangkan pembelian tanah tersebut.

Tanah tersebut, yang terletak di tengah-tengah kawasan projek pembangunan semula itu, sudah tidak digunakan lagi.

Pada 4 Jun, SLA telah mewartakan pengambilalihan tanah itu.

“SLA dan ICA akan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia sepanjang proses pengambilan tanah,” tambahnya.

Fasa seterusnya bagi projek ini akan merangkumi pembinaan kemudahan pelepasan tambahan dan pengubahsuaian pusat pemeriksaan sedia ada.

Setelah siap kelak, pusat pemeriksaan yang dinaik taraf akan membolehkan ICA meningkatkan kecekapan pelepasan bagi semua jenis pengangkutan dan mengurangkan masa pelepasan imigresen di Singapura daripada satu jam kepada hanya 15 minit semasa waktu sibuk.

Pihak berkuasa juga akan menggabungkan lebih banyak sistem automatik untuk meningkatkan lagi kecekapan, mengurangkan risiko keselamatan semasa pemeriksaan, selain penyediaan kawasan untuk menampung trafik kenderaan dalam pusat pemeriksaan.

“Pusat Pemeriksaan Woodlands yang dinaik taraf akan meningkatkan pengalaman pelepasan imigresen bagi orang ramai yang melintasi Tambak Johor,” menurut kenyataan itu.

“ICA akan terus memanfaatkan teknologi dan membangunkan penyelesaian inovatif untuk memudahkan perjalanan dan perdagangan rentas sempadan, sambil memastikan keselamatan sempadan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg