Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Masagos: Asatizah, peniaga, karyawan teras bina masyarakat Melayu/Islam cemerlang

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masagos: Asatizah, peniaga, karyawan teras bina masyarakat Melayu/Islam cemerlang

Mar 23, 2024 | 05:30 AM



Masyarakat Melayu/Islam yang berjaya bukan sahaja sebuah masyarakat yang terus bekerja keras bersama-sama untuk melonjak ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi, malah juga yang berteraskan nilai-nilai Islam, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Bahkan, masyarakat yang berjaya perlu disokong tiga golongan – asatizah, peniaga dan karyawan – yang mempunyai peranan penting yang saling berkait dalam membantu masyarakat.







Namun, Encik Masagos menekankan bahawa masyarakat juga mempunyai peranan untuk menyumbang kembali apabila mereka sudah berjaya.

Berkongsi pandangan semasa sesi Dialog Belanjawan Berita Harian (BH), Encik Masagos memberi analogi pokok dengan golongan asatizah disifatkan sebagai akar tunjang kukuh yang menyokong karyawan dan peniaga.


“Karyawan saya bayangkan mungkin batang pokok dan dahan-dahannya. Ini sangat penting. Kita perlu pendidikan supaya masyarakat ini ada golongan karyawan yang kukuh. Tetapi pohon ini ada akar dan akar yang membuat ia kuat. Itu adalah asatizah kita,” kata beliau.

“Asatizah kita ini memastikan… mereka tidak jadi masyarakat yang rosak moral, dan menggunakan kekayaan, kebolehan mereka untuk kepentingan keluarga, untuk kepentingan diri, menjaga kesihatan, semua yang menjadi tanggungjawab mereka.

“Asatizahlah yang akan membolehkan kita menjadi masyarakat yang terarah, yang moral,” tambah beliau.

Sementara itu, kata Encik Masagos, golongan peniaga juga penting kerana mereka yang berjaya boleh menggajikan ratusan orang, dan oleh itu, perlu ada peniaga yang berjaya dalam masyarakat.

“Kita perlu golongan asatizah, ilmuwan, kita perlu para karyawan dan juga pengusaha. Dan bagaimana kita nak mendukung karyawan? Itu melalui pekerjaan, melalui kemahiran yang selalu diperbaharui yang sudah ada,” kata beliau.







Sesi Dialog Belanjawan Berita Harian itu, yang diadakan di SPH Media, turut disertai Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam; Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha; dan Penolong Editor Berita BH, Cik Atiyyah Mohd Said, selaku moderator.


Mereka membincangkan tentang sokongan disediakan serta langkah yang perlu diambil untuk menjadikan masyarakat Melayu/Islam Singapura sebuah masyarakat gemilang.

Encik Masagos berkata masyarakat Melayu/Islam Singapura telah mencapai kejayaan cemerlang dalam pelbagai aspek, termasuk pendidikan, sepanjang empat dekad lalu.

Misalnya, hari ini, 99 peratus daripada kohort pelajar Melayu menyelesaikan pendidikan selama 10 tahun dan lebih 90 peratus melanjutkan pendidikan ke peringkat pascamenengah.

Namun begitu, dengan ekonomi yang pesat berubah dan dipacu gangguan teknologi, Encik Masagos menekankan peri perlunya orang ramai terus mempertingkat pengetahuan dan kemahiran mereka agar kekal relevan.

“Di sinilah, usaha menjalin rangkaian antara pelajar dengan karyawan, bahkan antara karyawan dengan peniaga daripada sektor yang pelbagai, sangat penting supaya anak-anak muda dan pekerja boleh mengetahui apakah kemahiran yang diperlukan dan peluang pekerjaan yang ada.

“Kalau dahulu sudah habis sekolah, kita sudah mantap. Tetapi ekonomi akan terus berubah, kemantapan ini tidak boleh dijamin lagi.

“Sebab itulah kita mesti tahu apakah perubahan ekonomi, pelaburan yang akan dimasukkan, perusahaan yang akan dikatakan ‘sunset’ atau tidak akan diteruskan dan apakah kemahiran yang kita perlu ada,” kata beliau.

Bahkan, Encik Masagos menambah bahawa usaha menjalin rangkaian itu tidak boleh terhad dalam masyarakat Melayu sahaja, malah diperluas kepada luar masyarakat.

Misalnya, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) bekerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan India Singapura (SICCI) supaya peluang untuk maju menjadi lebih luas.

“Kalau hanya bekerjasama antara perusahaan Melayu sama Melayu sahaja, mereka (tetap) boleh berkembang, boleh memberikan, merujuk peluang antara satu sama lain.

“Tetapi apabila mereka bekerja dengan dewan perniagaan yang lain, seperti dewan perniagaan Cina, India dan sebagainya, mereka membuka peluang yang lebih luas, bukan hanya di Singapura (tetapi) hingga ke China, Arab Saudi dan sebagainya,” kata beliau.







Sedang individu terus berkembang maju dan mencatat kejayaan, Encik Masagos berharap anggota masyarakat akan kembali menyumbang untuk sama-sama mempertingkatkan taraf masyarakat.

Itu juga antara sebab mengapa Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) diusulkan supaya masyarakat dapat bergotong-royong melakukan amal jariah dengan menyumbang harta mereka untuk membiayai keperluan masa depan masyarakat dan institusi Islam Singapura dengan cara yang mampan.

“Satu yang saya harapkan, bahawa kalau kita sudah mapan, kita sudah mantap, jangan lupa tiga perkara – sumbangkan waktu, harta atau bakat anda.

“Maknanya, kalau kita berikan waktu, kita menyumbang melalui kemahiran kita… atau berikan waktu untuk bersama orang yang memerlukan. Tetapi yang lebih saya harapkan kalau kita sudah kaya, berilah sedikit untuk pembangunan masyarakat kita,” kata Encik Masagos.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >