Garis panduan yang menyatakan batasan penjagaan yang sesuai antara ibu bapa dengan anak-anak mereka bukanlah peraturan yang perlu dikuatkuasakan atau diarahkan merentasi semua keluarga, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Panduan Sumber Pengamal mengenai Garis Panduan bagi Batasan Keluarga Yang Sihat, yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), berfungsi sebagai prinsip umum untuk membimbing karyawan yang bekerja dengan keluarga-keluarga dalam situasi yang pelbagai, katanya dalam jawapan bertulis Parlimen yang dikeluarkan pada 7 Januari.
Beliau berkata: “MSF menyedari bahawa setiap keluarga adalah unik, dan sesetengahnya mungkin menghadapi keadaan istimewa.”
Encik Masagos menjawab soalan Parlimen mengenai garis panduan baru itu, yang memperincikan batasan yang sesuai dalam penjagaan harian antara ibu bapa dengan anak-anak dalam aspek seperti menyatakan kasih sayang, privasi dan penjagaan kebersihan diri, lapor The Straits Times.
Sebagai contoh, garis panduan itu menyatakan bahawa adalah tidak wajar bagi ibu bapa untuk memandikan anak mereka yang berlainan jantina dengan kerap apabila anak-anak itu boleh melakukannya sendiri, dan bahawa adalah tidak wajar untuk memaksa anak mereka menunjukkan kasih sayang fizikal kepada seseorang yang mereka tidak selesa.
Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Cik Cheryl Chan, bertanya apakah trend sosial yang mendorong MSF menghasilkan garis panduan itu, dan bagaimana keluarga yang menghadapi cabaran kewangan dan hidup dalam “ruang sempit” akan dapat mengikut garis panduan tersebut.
AP SMC Yio Chu Kang, Encik Yip Hon Weng, bertanya tentang proses di sebalik penggubalan garis panduan itu, sama ada ia mengambil kira konteks berbilang kaum dan agama Singapura, dan bagaimana ia menangani cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa tunggal atau keluarga besar yang tinggal di rumah kecil.
Encik Masagos berkata keluarga ibu bapa tunggal mungkin perlu memandikan anak mereka yang berlainan jantina, tetapi mereka harus membenarkan anak-anak itu mandi sendiri apabila mereka boleh melakukannya, dengan bimbingan lisan jika perlu.
Bagi keluarga yang mempunyai ruang terhad di rumah, tidur sebilik dengan anak-anak mungkin tidak dapat dielakkan, katanya.
Encik Masagos menambah:
“Walau bagaimanapun, ibu bapa harus berusaha untuk menyediakan privasi untuk kanak-kanak yang berlainan jantina, terutamanya mereka yang telah mencapai akil baligh, sama ada dengan tikar tidur yang berasingan, katil dua tingkat atau alternatif yang serupa.”
MSF memulakan pembangunan garis panduan tersebut kerana kakitangannya dan karyawan lain dalam bidang perlindungan kanak-kanak telah memerhatikan amalan keibubapaan yang, walaupun tidak menyalahi undang-undang, menyebabkan anak-anak mereka berasa tidak selesa.
Encik Masagos berkata:
“Jika seorang kanak-kanak cuba memendam ketidakselesaannya dan cuba menganggap normal, tingkah laku yang membuatkan mereka rasa tidak senang, ia secara tidak sengaja boleh menyebabkan mereka lebih terdedah kepada kemudaratan dalam konteks lain, seperti di luar keluarga atau dalam persekitaran sosial.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg