Masagos: SG Lebih Sihat akan diperluas pada penduduk ComLink+ mulai 2027
Masagos: SG Lebih Sihat akan diperluas pada penduduk ComLink+ mulai 2027
Kapasiti kaunseling di pusat Program Memperkukuh Keluarga (FAM) juga dipertingkat bagi kendali 12,000 kes jelang 2030
Pemerintah akan memperluas sokongan bagi keluarga berpendapatan rendah menerusi peluasan inisiatif SG Lebih Sihat dan pengukuhan model integrasi sosial-kesihatan.
Langkah ini bertujuan memastikan cabaran kesihatan tidak menjadi penghalang kepada mobiliti sosial bagi keluarga di bawah program ComLink+, umum Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Penyertaan bagi program SG Lebih Sihat kendalian Kementerian Kesihatan (MOH) – yang kini diperuntukkan bagi penduduk berumur 40 tahun dan ke atas – akan diperluaskan kepada penduduk ComLink+ yang berusia antara 25 dengan 39 tahun mulai 2027.
“Dengan ini, lebih ramai penduduk ComLink+ boleh mendapat manfaat daripada penjagaan peribadi oleh doktor keluarga yang dipercayai, subsidi untuk ujian saringan serta vaksinasi.
“Mereka juga akan dapat mengakses program Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) melalui aplikasi Healthy 365. Kami akan berkongsi lebih banyak butiran pada masa akan datang,” kata Encik Masagos.
Beliau mengumumkan demikian semasa berucap di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 5 Mac.
Lebih ramai keluarga ComLink+ juga akan disertakan dalam program model integrasi sosial-kesihatan yang dicuba pada 2025 antara MSF dengan MOH.
Di bawah model ini, jurulatih keluarga dan kakitangan penjagaan kesihatan bekerjasama secara rapat untuk menyokong keluarga mengamalkan gaya hidup sihat serta mengakses perkhidmatan yang sesuai.
Selain aspek kesihatan, Encik Masagos berkata MSF juga komited untuk meningkatkan perkhidmatan kaunseling keluarga.
Beliau mengumumkan bahawa kapasiti kaunseling di pusat-pusat Program Memperkukuh Keluarga (FAM) akan dipertingkatkan untuk mengendalikan 12,000 kes menjelang 2030 – iaitu seganda daripada jumlah kes sedia ada sekarang.
“Kami ingin menggalak lebih ramai pasangan mendapatkan bantuan lebih awal dan bukan hanya pada peringkat perceraian.
“Kami akan terus menjadikan kaunseling keluarga lebih mudah diakses dan menyediakan sumber bantuan kendiri dalam talian untuk menyokong keluarga dengan lebih baik,” kata Encik Masagos.
Pemerintah juga sedang memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu golongan profesional perkhidmatan sosial dan individu berkeperluan khas, katanya.
Beliau merujuk kepada geran Enabling Lives Initiative (ELI) di mana pembiayaan juga disediakan untuk menyokong penyelesaian AI yang meningkatkan kebebasan dan meluaskan peluang pekerjaan untuk orang kurang upaya.
Encik Masagos memberi contoh bagaimana peranti boleh pakai ‘AiSee’ kini membantu golongan kurang upaya penglihatan memahami persekitaran mereka melalui arahan suara.
“Melangkaui kepercayaan bahawa AI dan teknologi akan menghilangkan pekerjaan, ia sebenarnya boleh menjadi daya untuk kebaikan.
“Pendorong yang membolehkan kita membuka jalan baharu dalam cara kita menyokong karyawan dan pelanggan kita. Saya teruja dengan potensi dan peluangnya,” kata Encik Masagos.
Semasa ucapannya, Encik Masagos turut memuji semangat kedermawanan korporat, seperti komitmen DBS Bank yang menyumbang dana besar kepada program KidSTART dan Pakej Kemajuan ComLink+.
DBS telah menjanjikan sehingga $1 bilion dan 1.5 juta waktu sukarelawan pekerja sepanjang dekad akan datang untuk menyokong mereka yang kurang berkemampuan dengan lebih baik.
Ini termasuk $6.5 juta kepada program KidSTART dan $30 juta kepada Pakej Kemajuan ComLink+.
Beliau turut mengumumkan bahawa sejak pelancaran ‘SG Gives’ pada 2025, lebih $100 juta derma telah dikumpulkan melalui Community Chest, Cabaran Presiden dan Collective for a Stronger Society.
Jumlah ini, katanya, akan dipadankan oleh pemerintah untuk meluaskan impak bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Tetapi terdapat lebih banyak lagi yang boleh kita lakukan. Saya menyeru semua rakyat Singapura untuk menyertai kami dalam usaha ini.
“Apabila kita bekerjasama, kita membuka kemungkinan baharu dan mencapai hasil yang jauh lebih baik daripada apa yang boleh kita capai sendirian,” kata Encik Masagos.
“
“Dengan ini (peluasan inisiatif SG Lebih Sihat), lebih ramai penduduk ComLink+ boleh mendapat manfaat daripada penjagaan peribadi oleh doktor keluarga yang dipercayai, subsidi untuk ujian saringan serta vaksinasi. Mereka juga akan dapat mengakses program Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) melalui aplikasi Healthy 365. Kami akan berkongsi lebih banyak butiran pada masa akan datang.”
