Sejak Program Bersamamu dilancarkan pada 2019, pasangan yang menghadapi sebarang masalah dalam bahtera rumah tangga mereka kini boleh langsung menghubungi dan mendekati kadi atau naib kadi untuk mendapatkan bantuan dan nasihat.
Namun, seorang isteri itu mungkin tidak berasa begitu selesa untuk berkongsi masalah dengan asatizah lelaki, lebih-lebih lagi jika si isteri itu mempunyai isu atau pertanyaan yang sensitif.
Di sinilah para ustazah di bawah Asatizah Solace Care kelolaan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) memainkan peranan, dengan menjadi tempat bagi isteri mengadu dan mendapatkan bimbingan dan nasihat, kata Naib Presiden Kehormat Pergas, Ustazah Kalthom Muhammad Isa.
Terdapat 13 asatizah di bawah Asatizah Solace Care, dengan sembilan daripada mereka merupakan ustazah yang terlibat dalam membantu para isteri yang dirujuk oleh kadi atau naib kadi untuk mendapatkan bantuan bagi masalah yang dihadapi.
Diperkenalkan pada 2019, Bersamamu merupakan antara daya usaha di bawah Bidang Tumpuan 1 (FA1) M Kuasa Tiga (M³) – iaitu untuk menyokong perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak.
Ustazah Kalthom berkongsi bahawa Asatizah Solace Care sebenarnya telah wujud sejak 2020, menyediakan wadah kepada masyarakat Melayu/Islam umum mendapatkan sokongan emosi dan rohani bagi sebarang isu yang dihadapi.
Namun, apabila Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) mendekati Pergas pada 2023 bagi kerjasama di bawah Program Bersamamu, Pergas memanfaatkan rangkaian Asatizah Solace Care yang sedia ada itu.
“Kadangkala, susah bagi isteri luahkan masalah mereka kepada kadi/naib kadi.
“Oleh itu, apabila ROMM mendekati kami untuk mendapatkan sokongan para ustazah untuk membantu pasangan, kami manfaatkan platform Asatizah Solace Care yang sedia ada ini,” kata Ustazah Kalthom.
Sejauh ini, Asatizah Solace Care telah membantu 13 isteri yang dirujuk oleh kadi dan naib kadi sejak kerjasama dengan ROMM bermula pada pertengahan 2023.
Ada kalangan asatizah yang merupakan kaunselor bertauliah manakala yang lain telah dilatih dengan kemahiran asas kaunseling untuk membantu klien mereka, kata Ustazah Iffah Diyanah Jamil, yang telah berkhidmat di bawah platform itu sejak ia dimulakan.
Sesi nasihat dan bantuan pula dijalankan melalui dalam talian bagi mempermudahkan urusan kedua-dua asatizah dan klien.
Ditanya apakah masalah yang sering menjadi keprihatinan sang isteri yang tampil mendapatkan bantuan, Ustazah Iffah berkata ianya rencam, seperti isu orang ketiga atau campur tangan anggota keluarga lain dalam rumah tangga dan suami tidak memberi nafkah zahir dan/atau batin.
“Setiap asatizah berbeza caranya, namun bagi saya, sesi tersebut akan dimulakan dengan kami memperkenalkan diri, tanya khabar untuk pastikan klien rasa selesa. Kemudian, barulah perkongsian masalah akan dilakukan dan saya akan bertanyakan soalan-soalan kepada klien.
“Saya juga akan kongsi panduan dari segi agama, seperti doa-doa yang mungkin boleh diamalkan,” kata beliau.
Ustazah Iffah menambah bahawa sehingga tiga sesi boleh diadakan, dan sekiranya klien memerlukan bantuan lebih mendalam, mereka akan dirujuk kepada badan atau agensi yang relevan.
Ustazah Kalthom berkata sejauh ini, maklum balas yang diterima mengenai platform itu adalah positif, dengan sesetengah klien terus berhubung dengan ustazah di luar sesi tersebut.
“Ada yang kembali kepada ustazah untuk bertanyakan soalan walaupun mereka tiada lagi masalah dengan pasangan, yang menunjukkan platform ini ada kebaikannya,” kata beliau.
Nasihat Ustazah Iffah kepada wanita yang menghadapi masalah rumah tangga tetapi bimbang akan ‘buka aib keluarga’ adalah jangan takut untuk tampil mendapatkan bantuan.
“Kalau zaman mak-mak kita dahulu, ia dilihat sebagai satu kekuatan jika masalah itu dipendam. Tetapi, itu bukan halnya lagi hari ini. Apabila kita minta tolong pada orang dan platform yang betul, ia adalah satu tanda kekuatan dan keberanian.
“Kita perlu dakap mentaliti untuk bantu diri kita sendiri dahulu sebelum bantu orang lain. Bagaimana caranya nak tolong keluarga jika diri sendiri tidak terbantu? Semuanya bermula dengan diri anda sendiri,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg