Keperluan penduduk di sesebuah kawasan tertentu diutamakan di setiap Sesi Bertemu Rakyat (MPS) dan setiap orang yang pergi ke sana harus menghormati perkara tersebut, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Menambah, Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, berkata penduduk pergi ke sesi sedemikian untuk mendapatkan bantuan bagi isu-isu mendesak dan perlu diberi perhatian yang sewajarnya.
Bercakap kepada wartawan di acara pelancaran inisiatif SG60 Care untuk penduduk Tampines pada 15 Mac, Encik Masagos, yang juga AP GRC Tampines berkata sesiapa yang menghadiri MPS perlu menghormati penduduk yang ada.
“Penduduk dalam keadaan amat tertekan, dan kita tidak seharusnya menambah kepada tekanan yang sedang mereka lalui,” kata beliau.
Beliau mengulas mengenai insiden melibatkan aktivis yang berlaku di beberapa MPS yang dikendalikan Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) baru-baru ini.
Sesi sedemikian biasanya diadakan seminggu sekali dan memberi peluang kepada penduduk bersemuka dengan AP yang bertanggungjawab bagi sesebuah kawasan.
Dalam beberapa bulan yang lalu, aktivis telah muncul di sesi berbeza-beza untuk mengutarakan keprihatinan mereka. Ini termasuk anggota kumpulan Monday of Palestine Solidarity, yang menurut PAP telah menjalankan kegiatan di lebih 10 MPS.
Jurucakap PAP berkata kumpulan tersebut biasanya berbuat kecoh di kawasan menunggu dan menjejas penduduk yang menanti giliran untuk bertemu AP. Mereka juga akan membuat rakaman video dan meninggikan suara.
Perbuatan itu mendapat perhatian selepas dua wanita bersemuka dengan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam dan menyebabkan kekacauan di MPS di Chong Pang pada 12 Mac.
Antara lain, aktivis itu telah berteriak dan memanggil Encik Shanmugam, AP GRC Nee Soon, seorang pengecut.
Selain Encik Shangmugam, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo dan AP Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha juga telah berkongsi pengalaman serupa masing-masing di media sosial.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) pada 14 Mac, jurucakap Monday of Palestine Solidarity berkata kededua wanita berkenaan hadir di MPS tersebut dalam kapasiti masing-masing untuk bercakap mengenai Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma), dan bukan untuk bercakap mengenai isu Palestin.
Kededua wanita telah pun mengeluarkan kenyataan di media sosial untuk menceritakan kejadian yang berlaku menerusi sudut pandang mereka.
Bercakap kepada wartawan di Simei Plaza pada 15 Mac, Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat berkata ada pelbagai cara untuk orang menyuarakan hujah tetapi membina masyarakat lebih baik memerlukan usaha melebihi menyuarakan hujah semata-mata.
Beliau berkata ramai penduduk telah mengecam perbuatan aktivis di Chong Pang itu.
“Malah, ramai dalam masyarakat Melayu-Islam kita turut mengkritik perkara tersebut kerana ia bukan cara yang betul,” tambahnya.
Menambah, Encik Heng, yang juga AP GRC East Coast, berkata berbilang AP telah mengadakan dialog, forum dan kunjungan ke rumah untuk mendekati penduduk dan bertukar pandangan mengenai pelbagai isu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg