Masyarakat Melayu/Islam Singapura telah mengecam tindakan dua wanita yang berdepan secara kasar dengan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam pada 12 Mac lalu.
Beberapa pemimpin masyarakat telah menggesa masyarakat agar menyuarakan keprihatinan mereka secara terhormat bagi memastikan dialog yang membina.
Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, berkata perbuatan dan pertuturan hendaklah mencerminkan akhlak seorang mukmin yang sejati dan menggesa agar masyarakat berhati-hati dengan tingkah laku serta berusaha menjadi versi diri terbaik, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini.
“Menghina, memaki hamun, berkata kasar, membuat kecoh di khalayak ramai dan mengganggu jiran adalah perbuatan yang dihina oleh agama kita.
“Kadang-kadang di tengah-tengah kekecewaan kita, emosi kita mungkin mengatasi kita, dan akhirnya, apa yang kita harapkan untuk menjadi satu langkah ke hadapan, menjadi tidak produktif, bukan hanya untuk diri kita sendiri, tetapi untuk orang lain juga. Saya percaya bahawa berat kata-kata kita harus diukur dengan kebaikan, bukan dengan kekasaran. Dan di luar kata-kata, biarkan tindakan dan watak kita mencerminkan ajaran iman kita yang indah,” tambahnya.
Beliau berkata dalam bercakap tentang perkara yang ingin diperjuangkan, adalah penting untuk menyatakan pandangan dan meluahkan emosi dengan cara yang terbaik seperti yang diunjurkan oleh agama.
Video yang dimuat naik di Facebook Encik Shanmugam menunjukkan kejadian semasa Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di Blok 107 Yishun Ring Road pada 12 Mac. Dua wanita itu berkata mereka mahu bercakap dengannya mengenai Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma).
Encik Shanmugam, yang juga AP GRC Nee Soon, berkata mereka “bersikap konfrontasi dengan sengaja” dan ingin mencetuskan provokasi.
Beliau berkata kepada mereka bahawa beliau perlu mengutamakan penduduknya yang telah hadir dan ingin menemuinya pada waktu yang telah diperuntukkan bagi mereka.
Namun, pada bahagian akhir video, kedua-dua wanita itu yang turut disertai seorang lelaki, telah menjerit ‘pengecut’ kepada Encik Shanmugam selepas beliau enggan berbual bersama mereka dan bergerak pergi.
Dalam catatan Facebook, Encik Shanmugam berkata: “Mengganggu sesi ini adalah tidak adil kepada penduduk. Terdapat saluran yang sesuai untuk advokasi — tetapi mengganggu sesi yang bertujuan membantu penduduk yang berdepan cabaran harian melampaui batas.”
Menurut kenyataan Parti Tindakan Rakyat (PAP), kedua-dua wanita itu adalah daripada kumpulan aktivis Monday of Palestine Solidarity.
Kumpulan itu juga telah melawat lebih daripada 10 MPS, termasuk MPS Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, di Bukit Batok East dan Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir-Ris Punggol, Encik Sharael Taha, di Pasir Ris East.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga AP GRC Nee Soon, memberitahu Berita Harian (BH), individu atau badan yang ingin berkongsi pandangan tentang isu yang diperjuangkan boleh berjumpa dengan AP mereka sendiri.
“Pemerintah dan badan akar umbi menyediakan platform untuk dialog untuk melibatkan orang ramai demi memahami keperluan dan pandangan mereka.
“Orang ramai juga boleh menulis kepada kementerian masing-masing untuk meminta berdialog. Sesetengah isu melibatkan beberapa agensi.
“Justeru, ia akan membantu dan lebih berkesan jika dapat melibatkan pihak berkepentingan supaya sudut pandangan dan pendirian yang berbeza dapat dipertimbangkan dengan teliti,” kata Dr Faishal.
Cik Rahayu, yang juga AP GRC Jurong, berkongsi wakil kumpulan yang datang ke MPSnya bukan kedua-dua wanita itu tetapi catatan media sosial yang dimuat naik oleh kumpulan itu tidak memberikan gambaran yang betul.
“Saya harap mereka belajar cara lebih baik untuk memperjuangkan perjuangan mereka. Saya kasihan terhadap mereka. Tapi, saya juga harap perkara ini tidak akan meretakkan ikatan masyarakat kita,” katanya.
Encik Sharael berkata ramai individu telah menghubunginya untuk menyatakan rasa kecewa, malu, dan sedih terhadap tindakan kedua wanita itu.
Beliau berkata penampilan dan kelakuan mereka, termasuk isyarat tidak sopan yang ditunjukkan oleh wanita itu, tidak mewakili nilai-nilai masyarakat Melayu/Islam Singapura.
“Tindakan mereka selepas itu, termasuk mengeluarkan komen yang menyakitkan tentang keluarga, menunjukkan bahawa mereka tidak pernah benar-benar berminat untuk berbincang secara membina demi membantu perjuangan ini.
“Perbezaan pendapat adalah perkara biasa, tetapi ia mesti ditangani dengan rasa hormat, kesabaran, dan keikhlasan untuk membawa perubahan positif.
“Jika kita benar-benar mahu membantu, jalan terbaik adalah dengan berdiri bersama dan memberi fokus kepada apa yang lebih penting dengan membantu mereka yang memerlukan,” kata Encik Sharael.
Dalam catatan Facebooknya, AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim berkata MPS adalah tempat yang penting untuk penduduk mendapatkan bantuan.
Oleh itu, katanya kejadian tersebut amat membimbangkan kerana gangguan oleh kumpulan itu mengambil masa yang berharga daripada penduduk yang telah mendaftar dan menunggu untuk mendapatkan bantuan di MPS.
“Kita dituntut untuk bersabar, berakhlak mulia dan menunjukkan kebaikan kepada orang lain. Terdapat cara dan saluran yang betul untuk menyokong apa-apa sebab dan memberikan maklum balas tentang apa sahaja.
“Tetapi menjerit dan mengganggu MPS, di samping menjejas rakyat Singapura lain yang memerlukan, bukanlah cara yang betul,” kata Encik Zhulkarnain.
Ketika dihubungi BH, jurucakap Monday of Palestine Solidarity berkata pada 14 Mac bahawa kedua-dua wanita berkenaan hadir di MPS dalam kapasiti mereka sendiri untuk bercakap tentang isu Pofma, dan bukan untuk bercakap tentang isu Palestin.
“Adalah tidak bertanggungjawab untuk menyifatkan rakyat yang ingin bercakap dengan AP mereka tentang keprihatinan dan isu dekat di hati mereka sebagai ‘mengganggu’. Kami percaya semua wakil rakyat, tidak kira parti, harus dipertanggungjawabkan oleh pengundi mereka tentang isu-isu penting, sama ada Palestin ataupun Pofma,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg