Kes perceraian yang didaftarkan di Mahkamah Syariah pada 2023 boleh diselesaikan dalam tempoh empat bulan atau kurang jika pihak-pihak bersetuju dengan perceraian dan isu sampingan di peringkat pengantaraan.
Tempoh proses perceraian boleh berlanjutan sehingga setahun atau kurang jika terdapat perkara yang dipertikaikan.
Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 2 Julai.
Soalan itu diajukan Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied) daripada Parti Pekerja (WP).
Cik Lim telah bertanya berhubung tempoh median dan purata yang diambil Mahkamah Syariah dalam mengendali kes cerai dari masa kes tersebut didaftar hingga tarikh perceraian dimuktamadkan.
Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, menjelaskan bahawa proses perceraian di Mahkamah Syariah bermula dengan pemfailan Saman Pemula, atau ‘Originating Summons’.
Pihak yang bercerai perlu habis menjalani Program Kaunseling Perkahwinan wajib sebelum mereka boleh memfailkan Saman Pemula.
Proses mahkamah kemudian mengandungi tiga peringkat.
Pertama, sesi pengantaraan apabila pihak yang terlibat akan meneroka penyelesaian perceraian dan isu sampingan.
Sekiranya terdapat penyelesaian bagi semua isu, kedua-dua pihak akan membuat perintah persetujuan dan kes itu selesai.
Peringkat kedua ialah persidangan praperbicaraan apabila pihak-pihak mengambil arahan, seperti untuk memfailkan afidavit, ke arah pelupusan kes.
Peringkat terakhir ialah perbicaraan apabila kes diputuskan oleh Presiden Mahkamah yang membuat keputusan mengenai perceraian dan isu sampingan.
Pihak-pihak boleh memfailkan rayuan atas perintah Mahkamah kepada Lembaga Rayuan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
“Masa median dan purata bagi penyelesaian kes perceraian yang didaftarkan di Mahkamah Syariah pada 2023 adalah empat bulan atau kurang jika pihak-pihak bersetuju dengan perceraian dan isu sampingan di peringkat pengantaraan,” kata Encik Masagos.
Beliau menambah pada 2023, sepertiga daripada Saman Pemula untuk perceraian yang difailkan di Mahkamah Syariah telah diselesaikan pada peringkat pengantaraan.
Pihak yang ingin bercerai dijadualkan untuk sesi pengantaraan kira-kira 10 minggu selepas penerimaan Saman Pemula oleh Mahkamah.
“Bagi kes-kes yang tidak diselesaikan semasa pengantaraan, masa yang diambil untuk kes-kes ini selesai bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk kerumitan kes dan pematuhan pihak-pihak terhadap arahan dan garis masa mahkamah.
“Jika ada perkara dipertikaikan dan ia pergi ke peringkat perbicaraan, masa median dan purata bagi kes sedemikian selesai adalah dalam tempoh satu tahun atau kurang dari tarikh penerimaan Saman Pemula,” ulas Encik Masagos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg