Tokoh agama setempat, Ustaz Pasuni Maulan, menganggap perkahwinan yang dijalankan secara rahsia atau menerusi nikah ‘sirri’ tidak sah di sisi syarak kerana tidak cukup rukun seperti ketiadaan wali untuk pengantin perempuan atau wali hakim.
Beliau yang berkhidmat sebagai kadi selama lebih lima dekad dan merupakan mantan pendaftar di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) menyatakan bagi merealisasikan sesebuah akad perkahwinan, ia bergantung kepada kesempurnaan rukun nikah iaitu ijab dan kabul, wali, dua orang saksi, bakal suami dan bakal isteri.
“Pernikahan yang tidak memenuhi rukun dan syarat yang telah ditetapkan adalah tidak sah dan terbatal,” ujar Ustaz Pasuni.
Kebanyakan nikah ‘sirri’ yang dilaksanakan antara pihak lelaki dengan wanita tanpa kehadiran wali atau saksi tidak dihebahkan kepada masyarakat umum serta tidak didaftarkan secara rasmi di ROMM atau Jabatan Agama di Indonesia.
Kedua-dua pasangan ini hidup bersama secara tersembunyi sehingga tiada sesiapa mengetahui tentang pernikahan tersebut kecuali pasangan terlibat. Perkahwinan rahsia hanya menimbulkan keraguan dan boleh mencetuskan fitnah.
Ustaz Pasuni berkata walaupun ada dalam kalangan agamawan menganggap nikah ‘sirri’ mungkin sah dari hukum syarak jika memenuhi semua rukun dan syarat-syarat sah nikah tetapi dalam masa yang sama kebanyakan ulama tidak menggalakkannya.
Ada juga asatizah menganggap nikah cara rahsia adalah tidak bermoral walaupun dianggap sah.
Segelintir ulama pula menganggapnya sebagai haram kerana bertentangan dengan tujuan perkahwinan dalam Islam.
Tujuan mengadakan walimatulurus adalah menghebahkan perkahwinan kepada orang ramai, dan dapat menghindarkan fitnah serta sangkaan buruk terhadap pasangan.
Berdasarkan pentafsiran nikah rahsia itu jelas menunjukkan bahawa pernikahan yang sah dan sempurna di sisi syarak adalah pernikahan yang perlu memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya, ujar Ustaz Pasuni.
Pendaftaran pernikahan adalah kewajipan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan pasangan berkahwin memiliki dokumen sah dan diiktiraf Mahkamah Syariah.
Menurut Ustaz Pasuni, nikah tanpa pendaftaran secara rasmi hanya akan menimbulkan masalah kepada kededua pihak pada masa akan datang khususnya isu perceraian, harta pusaka, kebajikan isteri dan anak-anak pasangan itu.
Misalnya isteri tidak boleh membuat sebarang tuntutan seperti tuntutan nafkah, mutaah, harta sepencarian, harta pusaka dan lain-lain lagi sekiranya perkahwinan tanpa kebenaran yang dilangsungkan itu tidak didaftarkan.
Kesan perkahwinan tanpa mendaftar juga boleh dilihat dari sudut pewarisan harta pusaka sama ada melibatkan pewarisan seorang anak terhadap harta pusaka ibu bapanya atau pun sebaliknya ataupun pewarisan suami dan isteri sesama mereka dan sebagainya yang melibatkan pewarisan harta.
“Setiap pasangan harus berfikir panjang sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin tanpa mendaftar atau berkahwin secara rahsia apabila menghadapi kesukaran dalam merealisasikan hasrat mereka itu.
“Keputusan berkahwin secara berahsia di luar negara lebih banyak membawa keburukan,” ujar Ustaz Pasuni.
Hasil pemeriksaan Berita Minggu (BM) mendapati terdapat pasangan melangsungkan pernikahan mereka secara dalam talian.
Dengan adanya wadah seperti Zoom, nikah ‘sirri’ menjadi lebih mudah dengan adanya kadi di Batam yang menawarkan pernikahan sebegini.
Pada 2020, sewaktu pandemik Covid-19, Pejabat Mufti mengeluarkan irsyad membolehkan pernikahan secara dalam talian setelah menerima soalan dari ROMM berkaitan sama ada akad nikah boleh dijalankan secara virtual, melalui persidangan video. Ini lebih-lebih lagi ketika keadaan tidak mengizinkan perlaksanaan majlis akad nikah fizikal waktu itu.
Pejabat Mufti turut berpandangan ROMM boleh mengendalikan upacara pernikahan melalui persidangan video, apabila ada keperluan kepadanya.
Namun begitu, ia menyatakan bahawa pengesahan identiti pihak-pihak yang terlibat juga diperlukan untuk memastikan tiada bantahan dan/ataupun halangan bagi pernikahan tersebut, sepertimana yang telah ditetapkan dalam perundangan Islam. Menjawab pertanyaan BM pada 5 Julai, ROMM berkata majlis akad nikah secara fizikal kekal sebagai aturan biasa.
Jelasnya, majlis akad nikah yang menggunakan pautan video boleh dijalankan “hanya jika pensyaratan yang ditetapkan dalam hukum Islam dapat dipenuhi – termasuk adanya pengantin perempuan, pengantin lelaki, wali dan dua saksi mesti hadir secara fizikal di Singapura”.
“Permohonan tertakluk kepada kelulusan Pendaftar,” kata ROMM.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg