Setelah didiagnos menghidap kencing manis pada 2021, Encik Mohamed Salleh Abu Bakar mula menjadi lebih prihatin terhadap kesihatannya.
Beliau, yang pada masa itu mempunyai berat badan melebihi 120 kilogram, membuat keputusan untuk mengawal pemakanan dan mula giat bersenam.
Namun perubahan gaya hidup itu bukan sesuatu mudah untuknya kerana beliau gemar makan dan dikelilingi orang yang berkongsi kegemarannya itu, katanya.
Namun, Encik Salleh, pembantu pentadbiran tetap menguatkan semangat untuk mula bersenam di estet kejiranannya di Eastcreek, Sembawang.
Malah, beliau menjemput jiran-jiran yang menetap di bloknya dan blok berhampiran untuk bermain bola sepak bersama.
“Pada mulanya, saya giat bersenam atas sebab-sebab kesihatan.
“Apabila saya lihat jiran tetangga saya mula ikut serta dan mereka sarankan agar kami kembangkan usaha ini, saya pun kata kenapa tidak.
“Saya teringat dulu saya sering bermain bola di kolong blok dan saya rasa anak-anak muda sekarang tidak dapat pengalaman yang sama, jadi saya pun membuat keputusan untuk tubuhkan kumpulan bola sepak untuk lelaki.
“Untuk kaum hawa pula saya tubuhkan kumpulan badminton jadi semua boleh ambil bahagian, tidak kira umur mereka,” kata Encik Salleh kepada Berita Minggu (BM).
Kini, sekitar tiga tahun selepas didiagnos mengalami kencing manis, Encik Salleh berjaya menurunkan berat badannya kepada 90 kilogram dan penyakitnya juga lebih terkawal.
Lebih penting lagi, usaha peribadi Encik Salleh memburu gaya hidup lebih sihat telah mewujudkan peluang untuk jiran-jirannya turut bersukan.
Dua kumpulan sukan yang dibentuknya itu kini telah menjadi kegiatan gaya hidup sihat di bawah Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di Kelab Masyarakat Sembawang.
Mereka juga dianggap sebahagian rangkaian ‘Jaga Kesihatan, Jaga Ummah’ (JKJU) di bawah pergerakan bidang tumpuan kelima M KuasaTiga (M3), yang memberikan penekanan terhadap kesihatan dalam masyarakat.
Rangkaian itu, yang mempunyai 100 rakan kongsi pada 2023 telah berkembang menjadi lebih 160 rakan kongsi pada 2024, menurut Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dalam kenyataannya pada 15 Februari.
Selain rakan kongsi dalam masyarakat, rangkaian JKJU juga melibatkan pertubuhan Melayu Islam, masjid-masjid dan kumpulan berkepentingan dalam kesihatan.
Ini termasuk 20 rakan kongsi sumber sokongan, seperti agensi khidmat sosial, pertubuhan pemerintah, institusi pendidikan serta karyawan korporat dan jagaan kesihatan.
Dalam ucapannya di acara khas yang diadakan di Our Tampines Hub untuk mengiktiraf sumbangan rakan kongsi JKJU, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata rangkaian JKJU telah menarik hampir 70,000 peserta pada 2024.
Ini berbanding 40,000 peserta pada 2023.
Perkembangan ini penting, ujar Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, kerana rangkaian JKJU menggariskan usaha dalam masyarakat untuk menyokong penuaan sihat, meningkatkan kadar pemeriksaan kesihatan, menggalakkan gaya hidup sihat, mengurangkan kelaziman merokok dan meningkatkan kesejahteraan mental.
“Rangkaian yang lebih luas dan dedikasi setiap individu telah mewujudkan lebih banyak peluang untuk masyarakat hidup dengan lebih sihat,” kata Encik Masagos.
Bercakap kepada wartawan di luar acara itu, Menteri Negara (Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam berkata meskipun jumlah rakan kongsi masyarakat dan peserta yang lebih peka terhadap kesihatan mereka meningkat, masih banyak yang boleh dilakukan.
“Ia satu proses yang berterusan,” ujar Cik Rahayu.
“Kita dapat lihat banyak kemajuan dalam penerimaan program kesihatan yang ditawarkan seperti Program Saham Kesihatan M³, yang kini aktif di semua 11 M³@Bandar.
“Program yang ditawarkan juga berbeza seperti kegiatan jasmani, kesihatan mental dan kesejahteraan rohani,” katanya lagi.
Menambah, Cik Rahayu berkata menjelang Ramadan, JKJU akan terus menggalakkan masyarakat Melayu Islam supaya mengamalkan pemakanan lebih sihat selain bersenam, jika termampu.
Rangkaian JKJU, yang ditubuhkan HPB pada 2017, kini dibentuk lebih 160 rakan kerja masyarakat yang aktif, termasuk Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Mendaki, MAEC, masjid, pertubuhan Melayu/Islam (MMO), dan Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg