Di satu sudut kedai kopi di Blok 829 Tampines Street 81, seorang pegerai di Habibie Seafood sedang asyik melayan pelanggan yang tidak henti beratur.
Keadaan sedemikian berlaku setiap pagi. Daya tarikannya – hidangan sarapan ‘bajet’ seperti lontong dan mi siam yang dijual pada hanya $2.90.
Jika terlambat, ramai yang pulang dengan menggigit jari.
Menu ‘rahmah’ itu adalah daya usaha Habibie Seafood sendiri dan meski disediakan untuk segenap lapisan masyarakat, menyediakan pilihan makanan tambahan kepada penduduk Tampines terutamanya golongan warga emas dan mereka yang kurang mampu, kata Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Tampines, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Lebih penting lagi, ia memaparkan semangat sikap saling membantu yang kukuh dalam kalangan penduduk Tampines, ujar Encik Masagos lagi, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
“Gerai ini aslinya menyediakan makanan ala masakan Cina yang halal dan rasa yang autentik. Kemudian baru-baru ini pula, ia membantu orang yang kurang berkemampuan. Setiap pagi mereka jual lontong, mi siam dengan harga $2.90.
“Siapa saja boleh beli. Saya lihat ramai warga tua yang makan di sini. Mereka sangat berterima kasih kerana harga (rendah ini) membantu mereka,” kata beliau, sambil menghirup teh dan menikmati lontong bersama wartawan.
Encik Masagos sedang duduk bersembang bersama Berita Harian (BH) di kedai kopi itu untuk berkongsi pandangannya mengenai perkembangan di Tampines sejak beliau dipilih penduduk di sana untuk mewakili mereka, apabila Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi Pilihan Raya Umum (GE) 2006.
Mulai 11 Januari, BH akan memaparkan AP Melayu/Islam dalam kawasan undi masing-masing menerusi Siri Bersama Anggota Parlimen menjelang GE 2025.
Kini, selepas melalui empat GE dan hampir dua dekad berkhidmat sebagai AP di Tampines, Encik Masagos, 61 tahun, berkata beliau amat berbesar hati melihat bagaimana kawasan itu telah membangun sambil memanfaatkan penduduknya.
Satu contoh ialah Our Tampines Hub (OTH), pusat khidmat sehenti yang juga kemudahan gaya hidup bersepadu terbesar di Singapura yang kini menarik 1.4 juta pengunjung setiap bulan.
OTH bukan sahaja menyediakan kedai makanan dan minuman (F&B), malah juga menawarkan tempat bersukan seperti dewan badminton, kolam renang dan gimnasium, serta kemudahan menjalani kegiatan gaya hidup aktif bagi pelbagai usia.
Selain itu, Tampines juga mempunyai pusat penuaan aktif dan program sokongan khas bagi warga emas yang mempelawa warga emas bersenam beramai-ramai dengan cara yang mempererat hubungan antara satu sama lain.
Turut disediakan adalah program yang menyediakan kenderaan untuk membawa warga emas ke pusat penuaan aktif supaya mereka dapat bersosial dengan teman-taman dan meniti usia senja dengan lebih aktif dan bahagia.
Perkara ini penting, memandangkan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas membentuk lebih 25 peratus penduduk di Tampines, kata Encik Masagos.
Namun, melebihi prasarana dan kemudahan yang disediakan, lebih penting adalah penduduk di Tampines bersatu hati dan hidup harmoni bersama, kata Encik Masagos lagi.
“Ini paling penting. Dan inilah cara kita hidup berjiran. Kita prihatin kepada mereka yang memerlukan. Alhamdulillah di Tampines, semangat menyumbang kepada masyarakat sangat tinggi,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg