Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

 Tampines ‘Kediaman Terbaik Kami’

Hampir dua dekad sebagai wakil rakyat GRC Tampines, Masagos jaya bina perpaduan, laksana pelbagai inisiatif masyarakat
Jan 11, 2025 | 5:30 AM
Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menyifatkan Tampines ibarat rumah keduanya, yang dihuni penduduk yang saling prihatin dan ambil berat antara satu sama lain.
Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menyifatkan Tampines ibarat rumah keduanya, yang dihuni penduduk yang saling prihatin dan ambil berat antara satu sama lain. - Foto BH oleh KHALID BABA

Watch on YouTube

Hasil daripada kerjayanya sebagai seorang karyawan dan kemudian sebagai tokoh politik, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, mempunyai ramai sahabat dan kenalan, dari dalam dan luar negara.

Namun, semasa membesar, keadaannya amat berbeza.

Dari pengakuan beliau sendiri, Encik Masagos berkata beliau tidak mempunyai ramai kawan.

“Semasa kanak-kanak dulu, saya ni orang cakap ‘cengeng’,” katanya.

“Masa bermain dengan kawan-kawan, terkena bola sikit saja, saya akan nangis.

“Jadi lama kelamaan, kawan-kawan malas nak main dengan saya,” tambah beliau.

Namun, keadaan tersebut memaksa Encik Masagos mencari aktiviti lain untuk mengisi masanya dan aktiviti yang beliau pilih ialah membaca.

“Sebab saya tidak ramai kawan untuk bermain, saya lebih suka baca buku, belajar, daripada keluar bermain.

“Ibu bapa saya juga banyak beri penekanan kepada pendidikan.

“Jadi, tabiat belajar dan memberi tumpuan kepada pendidikan itu subur secara tidak langsung dan menjadi sebahagian daripada diri saya,” ujarnya.

Encik Masagos berkongsi demikian dalam satu wawancara khas dengan Berita Harian (BH), sempena siri laporan wawancara dengan Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam.

Wawancara dengan Encik Masagos, AP GRC Tampines, membuka tirai siri tersebut, yang diterbitkan sebagai sebahagian daripada liputan khas menjelang pilihan raya 2025.

Pilihan raya yang ke-14 susulan Singapura mencapai kemerdekaan, perlu diadakan selewat-lewatnya November ini.

Sambil menikmati lontong dan menghirup teh bersama wartawan, Encik Masagos berkongsi kisah zaman kanak-kanaknya sehinggalah perjalanan beliau dalam dunia politik.

Membesar di rumah sewa di Teck Whye, beliau menyifatkan dirinya sebagai ulat buku serta seorang pendiam yang lebih suka bersendirian dan melakukan kegiatan kraf di rumah, seperti menggunakan kayu mancis untuk membuat model kapal angkasa lepas.

“Saya sebenarnya orang yang boleh dikatakan introvert (suka menyendiri).

“Saya suka bersendirian, saya lebih suka bidang seperti falsafah, sejarah dan sebagainya.

“Jadi perkara-perkara yang mungkin saya banyak lakukan secara bersendirian, daripada beramai-ramai dan dengan khalayak ramai,” kata beliau.

Walaupun hidup dalam keadaan serba kekurangan pada ketika itu, Encik Masagos berkata mereka “tidak rasa miskin” kerana jiran-jiran di Teck Whye semuanya membantu satu sama lain.

Namun, zaman kanak-kanak di Teck Whye itu jugalah pengalaman yang membuka mata Encik Masagos, di mana beliau melihat sendiri masalah dadah yang membelenggu dan membinasakan masyarakat Melayu.

“Zaman itu jugalah masyarakat kita dihantui masalah dadah dan ramai yang terjerumus dalam masalah ini, termasuk ada saudara saya yang meninggal kerana terlebih dos,” singkap beliau.

Di sinilah berputik dalam bibit hatinya kemahuan untuk membantu masyarakat keluar daripada lingkaran masalah dadah dan mempertingkat taraf kehidupan mereka ke tahap yang lebih baik – sesuatu yang dapat dilakukan beliau dalam portfolio politiknya, termasuk ketika bertugas di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) sebelum ini.

Hari ini, tugas berat dan sukar membantu masyarakat itu berterusan melalui peranannya sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga dan juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, selain portfolio ketiga yang digalasnya sebagai Menteri Kedua Kesihatan.

Encik Masagos, 61 tahun, berkecimpung dalam dunia politik selepas pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang beliau anggotai menang pilihan raya umum di GRC Tampines pada 2006.

Sebelum memasuki politik, beliau seorang jurutera elektrikal lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS) dan pernah memegang jawatan utama dalam firma telekomunikasi SingTel.

Beliau juga pernah menerajui Perdaus sebagai presiden.

Encik Masagos bertegur sapa dengan para penduduk Tampines di sekitar kawasan Kelab Masyarakat Tampines West.
Encik Masagos bertegur sapa dengan para penduduk Tampines di sekitar kawasan Kelab Masyarakat Tampines West. - Foto BH oleh KHALID BABA

Kini, sudah 19 tahun beliau berkhidmat di Tampines.

Bersama pasukannya, mereka membantu dalam membangunkan kejiranan di timur Singapura itu dengan prasarana dan kemudahan serta program dan inisiatif yang mempertingkat kehidupan penduduk.

Dengan hampir dua dekad berkhidmat di sana, khususnya Tampines West yang berada di bawah jagaannya, Tampines ibarat rumah keduanya, kata Encik Masagos.

“Saya sendiri rasa kalau saya datang ke Tampines macam balik rumah,” kata beliau, yang mendirikan rumah tangga bersama Cik Jumelah Ja’afar, 60 tahun, pada 1989 dan dikurniakan empat cahaya mata yang kini berusia antara 25 dengan 34 tahun.

Pasangan itu juga mempunyai seorang cucu berusia dua tahun.

Tanya sahaja di mana kedai makan paling sedap, atau berapa banyak kedai kopi yang ada di Tampines West, atau tempat paling Instagrammable di Tampines – semuanya boleh dijawab beliau.

Sepanjang wawancara bersama BH itu, ramai penduduk segenap lapisan usia datang menyapa beliau dengan ceria, memaparkan hubungan erat dan mesra yang telah terjalin antara Encik Masagos dengan penduduknya sepanjang hampir dua dekad.

PENDUDUK SATU HATI

Keunikan Tampines terletak pada kesatuan hati penduduknya, ujar Encik Masagos, sambil menambah bahawa ini ciri paling penting dalam mengukuh perpaduan masyarakat.

“Ini paling penting (bersatu hati) dan inilah cara kita hidup berdamai dengan jiran dan prihatin kepada mereka yang memerlukan.

“Alhamdulillah di Tampines, semangat sukarelawan itu sangat tinggi,” kata beliau.

Ciri itu dipaparkan apabila berlakunya satu kes kebakaran di rumah seorang penduduk baru-baru ini, kongsi Encik Masagos.

Jiran dan juga agensi berkaitan telah tampil membantu penghuni rumah terbakar itu, dengan memastikan penghuni itu mempunyai keperluan seperti tilam dan sabun dan tempat tinggal untuk tidur pada malam kejadian.

“Mereka sehinggakan ambil berat juga tentang anak-anak penghuni itu yang bersekolah dan sekarang harus berpindah.

“Masalah naik bas (untuk anak-anak) ke sekolah pun diselesaikan.

“Saya fikir inilah semangat Tampines yang penting,” kata beliau.

Encik Masagos berbual-bual dengan penduduk muda Tampines semasa berada di sekitar kawasan Kelab Masyarakat Tampines West.
Encik Masagos berbual-bual dengan penduduk muda Tampines semasa berada di sekitar kawasan Kelab Masyarakat Tampines West. - Foto BH oleh KHALID BABA

Contoh lain sikap positif penduduk Tampines termasuk usaha kedai makan Habibie Seafood di Blok 829 Tampines Street 81 yang menawarkan hidangan sarapan, seperti lontong dan mi siam, dengan harga bajet $2.90 supaya dapat membantu mereka yang memerlukan.

Dengan penduduk berusia 60 tahun dan ke atas membentuk lebih 25 peratus daripada sekitar 250,000 penduduk di Tampines, inisiatif sedemikian disambut baik, terutamanya daripada warga emas dan mereka yang kurang mampu.

Sementara itu, satu khidmat kenderaan disediakan untuk membawa warga emas ke pusat penuaan aktif supaya mereka dapat bertemu dan meluangkan masa bersama rakan-rakan, sekali gus membolehkan mereka meniti usia senja dengan aktif dan bahagia.

BANDAR MESRA ALAM, MAMPAN

Kesatuan hati penduduk itu jugalah merupakan faktor di sebalik kejayaan beberapa program dan inisiatif lain di Tampines.

Apabila diumumkan rancangan Tampines menjadi sebuah bandar lebih hijau dan mampan, atau Eco Town – sebuah pelan lima tahun yang dilancarkan pada 2020 menjelang pilihan raya umum pada tahun itu – ia disambut baik dan meriah oleh penduduk.

Misalnya, pengumuman pembinaan satu ruang hijau di bahagian barat Taman Tampines Boulevard – dibuka pada September 2024 – menarik lebih 600 maklum balas dari penduduk yang memberikan saranan, termasuk permohonan bagi kemudahan seperti taman permainan alam semula jadi dan halaman rumput untuk menjalani kegiatan.

Encik Masagos berkata: “Apa yang kita mahu lakukan adalah bagi setiap penduduk Tampines rasa bahawa semua penggunaan sumber alam seperti tenaga, air, makanan dan sebagainya, digunakan dengan bertanggungjawab, dan harus juga dikitarkan kembali sumber-sumber tersebut supaya tidak ada pembaziran.”

Hari ini, Tampines mempunyai lebih 20 taman dan kebun dan penduduk boleh mengunjungi taman atau kebun dalam masa 10 minit jika berjalan kaki dari rumah mereka.

Antara projek hijau lain yang dijalankan adalah inisiatif mengitar semula sisa makanan yang dijana di Our Tampines Hub (OTH) menjadi baja organik, yang kemudian digunakan bagi menyuburkan landskap hijau di sekitar Tampines.

Setiap hari, OTH menjana sekitar 1,400 kilogram sisa makanan.

Bahkan, mereka mengagihkan baja itu secara percuma kepada penduduk Tampines yang menginginkannya bagi tumbuh-tumbuhan mereka.

Tampines juga akan menjadi bandar Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pertama di Singapura yang memasang sistem penyejukan berpusat menjelang separuh pertama 2025 dalam satu projek yang akan mengurangkan kesan ke atas alam sekitar daripada penyaman udara.

KAWASAN TIMUR LEBIH ‘BEST’ DARI BARAT?

Menjawab soalan cepumas apakah benar kawasan timur lebih baik dari kawasan barat di Singapura, Encik Masagos dengan pantas sambil tersenyum berkata:

“Saya setujulah ‘east side is the best side’.”

Malah, jika dilihat pada sejarah, Encik Masagos berkata kota-kota terkemuka dan maju di dunia, seperti New York di Amerika Syarikat dan London di United Kingdom, juga terletak di bahagian timur negara mereka.

Bagi masyarakat Islam pula, Tampines bak kampung Melayu selepas Geylang Serai, yang menyediakan pelbagai pilihan makanan halal yang menarik.

“Di Tampines, 26 peratus ialah warga Islam dan makanan halal itu cukuplah. Jadi semua untuk keperluan orang Islam ada, kalau kita ke OTH, kedai-kedai kopi umpamanya.”

“Di Tampines West, ada tujuh kedai kopi dan semua ada makanan halal yang menarik dan juga popular.”

Wartawan BH, Irma Kamarudin, bergambar dengan Encik Masagos di arca berwarna-warni di Tampines Community Spine, dekat blok 158 Tampines Street 12 - antara lokasi paling ‘Instagrammable’ di Tampines - di akhir sesi wawancara.
Wartawan BH, Irma Kamarudin, bergambar dengan Encik Masagos di arca berwarna-warni di Tampines Community Spine, dekat blok 158 Tampines Street 12 - antara lokasi paling ‘Instagrammable’ di Tampines - di akhir sesi wawancara. - Foto IRMA KAMARUDIN

Namun, menekankan sekali lagi, Encik Masagos berkata apa yang membuat Tampines sebuah kawasan yang best adalah kesatuan hati penduduknya yang ambil berat dan prihatin antara satu sama lain.

“Sebab itulah kita sebut Tampines, Our Best Home. Jadi apabila kita pulang ke Tampines, kita akan rasa yang kita benar-benar pulang ke kediaman yang terbaik,” kata beliau.

“Ini paling penting (bersatu hati) dan inilah cara kita hidup berdamai dengan jiran dan prihatin kepada mereka yang memerlukan.”
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines,  Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg