Memimpin sebuah masyarakat yang rencam seperti Singapura tidak mudah.
Namun barisan Perdana Menteri negara ini, termasuk Encik Lee Hsien Loong, telah membuktikan bahawa ia mampu dilakukan dan beliau telah menunjukkan bahawa seorang pemimpin politik boleh memperjuangkan kemajuan setiap kaum, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Berkata demikian dalam hantaran Facebook beliau, Encik Masagos berkata sepanjang lebih dua dekad, Encik Lee terus mendekati masyarakat Melayu/Islam, mengambil minat yang mendalam terhadap “pembangunan mereka dan membuat keputusan yang mempertimbangkan kepentingan kita”.
“Hasilnya, kedua-dua masyarakat Melayu/Islam dan Singapura meraih manfaat daripada pendekatan beliau ini.
“Buktinya termasuk mengekalkan kemajuan yang mantap dalam pendidikan, mengurangkan kadar kebentanan dan menyokong masyarakat untuk mencegah ekstremisme daripada berakar, serta lain-lain lagi.
“Beliau juga membenarkan jururawat memakai tudung di institusi kesihatan kita. Oleh kerana keyakinan masyarakat terhadap pimpinan beliau, kita bersabar bertahun lamanya sedang beliau memilih masa yang sesuai bagi masyarakat yang lebih luas untuk menerima perubahan ini dengan baik,” tulis Encik Masagos sambil mengucapkan terima kasih kepada Encik Lee.
Setelah 20 tahun berkhidmat, Encik Lee bakal menyerah tampuk pemerintahan kepada Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 15 Mei.
Peralihan pucuk pimpinan baru seperti ini, daripada pemimpin generasi ketiga kepada generasi keempat, merupakan ciri-ciri perkembangan kemajuan politik Singapura yang stabil, kata Encik Masagos.
Dalam catatannya itu juga, Encik Masagos turut berkata apabila Encik Wong diumumkan sebagai ketua pasukan generasi keempat (4G), dan bersedia mengambil alih jawatan selaku Perdana Menteri, beliau tidak terkejut.
“Encik Wong mempunyai kedudukan yang baik dan telah membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang cekap dan tegas semasa memimpin usaha menangani pandemik Covid-19.”
“Saya gembira Encik Wong menerajui usaha untuk membina sebuah masyarakat yang lebih kukuh dan bersatu padu.
“Saya berharap dapat bekerja rapat dengan Encik Wong bagi memperkasa masyarakat Melayu/Islam untuk berkembang daripada sebuah masyarakat yang kukuh, kepada sebuah masyarakat yang berkembang maju dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg