Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kolej Pengajian Islam S’pura mampu jadi pusat cemerlang agama sedunia

Ia diharap dapat hasilkan lulusan, asatizah yang dapat beri panduan baik bagi harungi cabaran dunia semasa
Aug 19, 2024 | 7:55 PM
Mufti Besar Mesir, Shaikh Dr Shawki Ibrahim Abdel-Karim Allam, menghadiri solat Jumaat di Masjid Sultan semasa berada di Singapura bagi menghadiri Persidangan Fatwa Dalam Masyarakat Kontemporari anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada Februari.
Mufti Besar Mesir, Shaikh Dr Shawki Ibrahim Abdel-Karim Allam, menghadiri solat Jumaat di Masjid Sultan semasa berada di Singapura bagi menghadiri Persidangan Fatwa Dalam Masyarakat Kontemporari anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada Februari. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kolej Pengajian Islam Singapura boleh menjadi sebuah Pusat Kecemerlangan untuk penyelidik, asatizah, ahli akademik dan pemimpin dunia mempelajari dan membincangkan isu-isu kontemporari dan ancaman geopolitik dengan memberi panduan tentang ajaran Islam yang relevan dan praktikal.

Ia juga boleh memperdalam bakat asatizah tempatan dan serantau, dan mendorong Singapura sebagai contoh yang bersinar kepada seluruh dunia tentang bagaimana masyarakat Islam minoriti boleh hidup dengan harmoni dan mengamalkan agama mereka dalam masyarakat majmuk.

Demikian antara harapan dan aspirasi beberapa asatizah dan pemimpin masyarakat yang bercakap dengan Berita Harian (BH) berhubung ucapan Rapat Hari Kebangsaan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 18 Ogos di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central.

Semasa berucap dalam bahasa Melayu, Encik Wong mengumumkan bahawa Singapura akan menubuhkan sebuah Kolej Pengajian Islam bagi melahirkan pemimpin Islam Singapura masa depan.

Meskipun butiran lanjut tentang penubuhan kolej tersebut belum ditetapkan, pengumuman projek tersebut telah menarik perhatian masyarakat Melayu/Islam Singapura, khususnya para asatizah tempatan yang menyambut baik pengumuman tersebut.

Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed, berkata penubuhan kolej tersebut dapat memenuhi keperluan pendidikan agama masyarakat Islam setempat yang sesuai dengan konteks semasa.

Ia juga dapat membantu memperkukuhkan keharmonian sosial Singapura dengan melahirkan pemimpin agama yang peka tentang konteks tempatan dan global.

Ia juga boleh menjadi Pusat Kecemerlangan dalam menangani isu-isu kontemporari dan ancaman geopolitik, dengan menyediakan panduan berasaskan nilai-nilai Islam yang relevan dan praktikal.

“Kolej tersebut juga dapat memberikan kesan positif bukan sahaja di Singapura tetapi juga di rantau ini melalui kerjasama dan perkongsian ilmu dan pengalaman.

“Ia juga boleh menjadi wadah untuk masyarakat bukan Islam Singapura mengenali Islam dengan lebih mendalam,” kata Ustaz Fathurrahman.

Beliau juga berharap kolej tersebut dapat mengambil pendekatan antara disiplin dan inklusif yang merangkumi pelbagai aliran pemikiran Islam yang sesuai.

Modul-modul yang ditawarkan juga perlu berteraskan ilmu agama tradisional, mengambil kira pemahaman isu-isu kontemporari seperti sosiologi, bioetika, undang-undang, ekonomi, teknologi, media dan sebagainya, tambahnya.

“Dalam pembentukan kolej ini, ada perlunya juga kerjasama antara badan agama, akademik dengan masyarakat setempat serta luar negara.

“Di samping itu, perlu ada kerjasama serta perbincangan dengan institusi serta penyedia khidmat pendidikan agama setempat agar terwujud persefahaman yang kukuh,” kata Ustaz Fathurrahman.

Pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, berkata penubuhan kolej tersebut sangat diperlukan memandangkan perkembangan global dan serantau yang sedang berkecamuk.

Ini termasuk peperangan, pergolakan di Timur tengah dan pengaruh radikalisme yang semakin berleluasa di rantau Asia.

Beliau berharap dengan adanya kolej tersebut, serta para ilmuwan yang dilahirkan daripada kolej tersebut, ia dapat membendung masyarakat Islam daripada pengaruh negatif daripada isu-isu tersebut.

“Keunikan kolej ini akan jelas terpapar kerana ianya dibina dalam konteks negara kecil seperti Singapura di mana masyarakat Islam adalah minoriti. Ini telah terbukti oleh Madrasah Aljunied pada suatu ketika yang lalu.

“Kemahiran yang perlu dan ingin dicapai dalam kolej ini adalah berdasarkan pengalaman masyarakat Islam Singapura yang minoriti tetapi dapat memberi kesan yang baik kepada masyarakat Singapura secara am dengan hidup secara harmoni,” kata Ustaz Hasbi.

Ustaz Hasbi, yang juga pengerusi majlis penasihat tinggi atau Masyaikh Pergas, berkata Madrasah Aljunied pernah menjadi pusat pendidikan Islam di rantau Asia Tenggara dengan kehadiran para pelajar daripada pelbagai negara.

Ini termasuk Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia dan Brunei, yang memilih Madrasah Aljunied sebagai tempat pengajian pilihan mereka.

Dengan penubuhan kolej baru ini, Ustaz Hasbi berharap ia dapat mengembalikan sejarah gemilang Singapura sebagai hab ilmu agama di rantau Asia.

“Madrasah ini telah melahirkan cendekiawan bukan hanya untuk Singapura bahkan rantau Asia Tenggara seperti Mufti Sabah, Mufti Pahang, Mufti Brunei dan beberapa lagi pemimpin-pemimpin Islam, serta beberapa tokoh menteri dan pegawai agama di negara-negara tersebut.

“Di Singapura sendiri ramai tokoh-tokoh agamawan dan penjawat tinggi di Muis (Majlis Ugama Islam Singapura), ROMM (Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam), RRG, Mahkamah Syariah dan badan-badan Islam lain seperti Pergas adalah kelahiran Madrasah Aljunied Al-Islamiah,” kata Ustaz Hasbi.

Beliau juga berkata selain asatizah berpengalaman tempatan, kolej tersebut juga harus terbuka untuk mengambil pakar-pakar terkemuka Islam yang layak untuk mengajar di kolej tersebut. Penyertaan untuk memasuki kolej tersebut juga harus terbuka kepada pelajar-pelajar di dalam dan luar negara.

Sependapat, Naib Presiden Kehormat Pergas, Ustazah Kalthom Muhammad Isa, berkata adalah wajar bagi Singapura menubuhkan kolej tersebut agar pelajar-pelajar yang bimbang dengan situasi di Timur Tengah, seumpamanya, dapat belajar dengan selamat.

“Memandang pendidikan di Timur Tengah tidak tenteram dan selamat, saya fikir agak sukar untuk para pelajar melanjutkan pendidikan agama mereka di sana.

“Sebagai alternatif, kolej baru ini boleh menyediakan sistem pendidikan yang berstruktur dan dapat juga menarik pelajar asing untuk ke Singapura, yang boleh menyumbang kepada ekonomi negara.

“Ia juga boleh memanfaatkan golongan pensyarah dan ahli akademik tempatan yang mempunyai sarjana atau ijazah kedoktoran (PhD) untuk menggarap kemahiran bila mengajar di pendidikan tinggi,” kata Ustazah Kalthom.

Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman, berkata penubuhan kolej tersebut adalah satu langkah yang baik, yang dapat memperkukuh dan memperlengkapkan landskap pendidikan tinggi Islam di Singapura.

Beliau juga mengalu-alukan usaha kolej tersebut untuk menghasilkan lulusan yang bakal menjadi asatizah yang berkelayakan dan mempunyai persiapan yang baik untuk memandu kehidupan keberagamaan masyarakat Islam Singapura.

“Saya berharap kolej ini dapat fokus kepada pengukuhan jati diri Muslim sejati sesuai dengan tuntutan Al-Quran dan sunah Nabi saw serta pembentukan mentaliti asatizah yang progresif, berpandangan luas dan mendalam.

“Saya juga berharap para pelajar dapat diajar untuk mengupas isu-isu semasa seperti masalah penuaan populasi Singapura untuk memberikan huraian praktikal berdasarkan pandangan dan nilai-nilai Islam.

“Kolej ini boleh membina keunikan tersendiri dengan mengadaptasi sistem pendidikan Singapura yang berkualiti tinggi serta mempunyai pengkhususan dalam kefahaman dan pengamalan Islam secara kontekstual,” kata Ustaz Azri.

“Kemahiran yang perlu dan ingin dicapai dalam kolej ini adalah berdasarkan pengalaman masyarakat Islam Singapura yang minoriti tetapi dapat memberi kesan yang baik kepada masyarakat Singapura secara am dengan hidup secara harmoni.”
Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, Pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

“Ia juga boleh menjadi Pusat Kecemerlangan dalam menangani isu-isu kontemporari dan ancaman geopolitik, dengan menyediakan panduan berasaskan nilai-nilai Islam yang relevan dan praktikal.”
Ustaz Fathurrahman Dawoed, Pengerusi AMP Singapura.

“Ia juga boleh memanfaatkan golongan pensyarah dan ahli akademik tempatan yang mempunyai sarjana atau ijazah kedoktoran (PhD) untuk menggarap kemahiran bila mengajar di pendidikan tinggi.” 
Ustazah Kalthom Muhammad Isa, Naib Presiden Kehormat Pergas.

“Kolej ini boleh membina keunikan tersendiri dengan mengadaptasi sistem pendidikan Singapura yang berkualiti tinggi serta mempunyai pengkhususan dalam kefahaman dan pengamalan Islam secara kontekstual.”
Ustaz Muhammad Azri Azman, Presiden Persatuan Muhammadiyah.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg