Sebuah penerbangan Singapore Airlines (SIA) mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Jepun pada 12 Ogos dengan asap berkepul-kepul keluar dari tayar pesawat itu ekoran masalah teknikal dengan breknya.
Laporan sebelum ini berkata asap keluar dari enjin kiri pesawat Boeing 787 itu, tetapi jurucakap SIA menjelaskan bahawa penerbangan SQ638, yang meninggalkan Lapangan Terbang Changi pada 11 Ogos, mengalami masalah teknikal dengan breknya apabila mendarat di Narita, yang menyediakan perkhidmatan bagi ibu negara Tokyo, pada 12 Ogos pagi.
Terdapat 260 penumpang dan 16 anak kapal di dalam pesawat itu. Tiada kecederaan dilaporkan, lapor The Straits Times.
SIA berkata pasukan kejuruteraannya di Narita telah menyelesaikan isu itu dan menggantikan salah satu tayar pesawat tersebut.
Insiden itu telah mengakibatkan penerbangan SQ637 ditangguhkan.
Ia berlepas dari Narita ke Changi pada 1.28 tengah hari waktu tempatan (12.28 tengah hari waktu Singapura) pada 12 Ogos – lebih dua jam selepas waktu berlepas 11.10 pagi yang dijadualkan.
SIA memohon maaf kepada pelanggannya atas kesulitan yang disebabkan oleh kelewatan itu, kata jurucakapnya, sambil menambah bahawa keselamatan pelanggan dan kakitangannya adalah keutamaan syarikat tersebut.
Jabatan Bomba Narita di wilayah Chiba dekat Tokyo menerima laporan mengenai kejadian itu sekitar 7.45 pagi, lapor media Jepun.
Lapangan terbang Narita kemudian menutup Landasan B, tempat SQ638 mendarat, selama kira-kira 50 minit sementara mekanik memeriksa pesawat itu.
Kira-kira 20 kereta bomba telah dikerah, menurut Jabatan Bomba Narita dan Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, lapor penyiar Jepun NHK.
Tiada kebakaran dilaporkan tetapi serpihan tayar ditemui di landasan selepas pesawat itu ditunda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg