Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

1 maut, hingga 30 cedera selepas penerbangan SIA London ke S’pura alami gelora udara

Pesawat dilencong ke Thailand bagi pendaratan cemas
May 21, 2024 | 8:10 PM
Pesawat penerbangan SQ 321 dari London ke Singapura mengalami gelora udara dan terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Thailand, pada 3.45 petang 21 Mei.
Pesawat penerbangan SQ 321 dari London ke Singapura mengalami gelora udara dan terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Thailand, pada 3.45 petang 21 Mei. - Foto X / TINCHOK555

Seorang penumpang maut dan beberapa lagi cedera apabila pesawat penerbangan Singapore Airlines (SIA) dari Lapangan Terbang Heathrow di London menuju Singapura mengalami keadaan gelora udara (turbulent) kuat.

Dalam satu catatan Facebook pada 21 Mei, SIA memaklumkan bahawa pesawat SQ 321 itu dilencongkan ke Bangkok untuk melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 3.45 petang, 21 Mei.

“Kami boleh mengesahkan bahawa terdapat kecederaan dan satu kematian di atas pesawat Boeing 777-300 ER.

“Kesemuanya, terdapat seramai 211 penumpang dan 18 kru di dalam pesawat,” kata SIA dalam satu catatan Facebook pada 21 Mei.

“SIA mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang yang maut.”

Pengurus Umum Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Encik Kittipong Kittikachorn, berkata seorang penumpang warga Britain berusia 73 tahun telah meninggal dunia semasa dalam pesawat SQ 321 itu. Beliau kemungkinan meninggal dunia akibat serangan jantung, tambah beliau.

Isteri penumpang yang terkorban itu juga telah dihantar ke hospital, kata Encik Kittikachorn semasa satu persidangan media pada 21 Mei.

Sehingga 7.50 malam 21 Mei, seramai 18 orang telah dihantar ke hospital dan lagi 12 sedang dirawat di hospital, kata SIA dalam kemas kini Facebooknya.

“Kami meminta maaf mendalam di atas pengalaman traumatik yang dialami penumpang dan kru kami dalam penerbangan tersebut. Kami akan menyediakan bantuan yang diperlukan dalam masa sukar ini,” kata SIA.

SIA juga menambah bahawa ia sedang membantu semua penumpang dan kru pesawat itu, dan juga bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Thailand untuk menyediakan bantuan perubatan yang diperlukan. Ia akan turut menghantar satu pasukan ke Bangkok untuk menyediakan bantuan tambahan.

Seorang penumpang dalam pesawat itu, Encik Dzafran Azmir, 28 tahun, memberitahu agensi Reuters:

“Tiba-tiba pesawat itu ‘mendongak’ dan bergegar, jadi saya siap sedia apa yang akan berlaku. Kemudian ia menjunam secara tiba-tiba sehingga mereka yang duduk dan tidak memakai tali pinggang keledar tercampak ke bahagian atas (pesawat).

“Ada yang terhantuk kepala di kabin tempat letak beg sehingga bahagian itu kelihatan remuk, mereka turut tercampak ke bahagian terdapat lampu dan pelitup dan lolos ke dalamnya.”

Pelajar Malaysia itu berkata mereka yang berada dalam tandas semasa insiden itu berlaku merupakan mereka yang paling teruk cedera.

“Kru pesawat dan mereka yang berada dalam tandas cedera kerana kami dapati mereka di lantai, dan tidak mampu bangun. Banyak kecederaan tulang belakang serta kepala,” katanya sambil menambah telefonnya tercampak daripada tangannya pada ketika itu.

Dalam catatan di Facebook, Presiden Tharman Shanmugaratnam melahirkan rasa sedihnya di atas kehilangan jiwa yang berpunca daripada gelora udara serta kecederaan yang dialami beberapa penumpang yang lain.

“Simpati mendalam kepada keluarga dan mereka yang tersayang kepada yang terkorban. Kita mesti berharap dan berdoa agar penumpang dan anggota kru yang cedera dapat pulih dengan lancar.

“Kami tidak mempunyai butiran mereka yang terjejas, tapi kementerian dan agensi pemerintah, serta SIA sedang melakukan yang terbaik untuk menyokong mereka yang terjejas dan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Bangkok, di mana pesawat itu telah dilencongkan,” katanya.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong pula melahirkan rasa sedihnya di atas insiden tersebut.

“Malangnya Hari Vesak tahun ini dikaitkan dengan berita insiden yang berlaku pada pesawat SQ 321.

“Kita semua berasa sedih dan terperanjat dengan apa yang berlaku.

“Salam takziah mendalam saya kepada anggota keluarga serta orang tersayang kepada yang terkorban,” katanya dalam catatan Facebook beliau pada 21 Mei.

Encik Wong menambah Singapura sedang bekerja rapat dengan pihak berkuasa Thailand dan melakukan segalanya yang boleh bagi menyokong penumpang dan kru.

“Kami berdoa bagi kepulangan yang selamat dan mereka yang cedera, pulih dengan lancar.

“Kami masih mendapatkan lebih banyak maklumat dari Bangkok dan akan menawarkan kemas kini lanjut dalam jangka masa terdekat,” tambahnya.

Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, dalam catatan Facebook pada 21 Mei, pula berkata beliau amat sedih di atas kejadian itu, dan mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang yang meninggal dunia.

Beliau menambah bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA), bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), pegawai Lapangan Terbang Changi dan kakitangan SIA sedang memberikan sokongan kepada penumpang yang terjejas serta keluarga mereka.

Syarikat pengeluar pesawat Amerika Syarikat, Boeing, turut mengucapkan takziah kepada keluarga lelaki Britain yang maut di atas SQ321, sebuah pesawat Boeing 777-300ER.

“Kami sedang berhubung dengan Singapore Airlines mengenai penerbangan SQ321 dan bersedia untuk menyokong mereka,” kata Boeing dalam satu catatan di platform X pada 21 Mei.

Sementara itu, pengilang pesawat Boeing telah menzahirkan takziah kepada keluarga lelaki Britain itu yang meninggal dalam pesawat SQ 321.

“Kami sedang berhubung dengan Singapore Airlines berkaitan pesawat SQ 321 dan bersedia membantu mereka,” kata Boeing dalam catatan ‘X’.

Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) pula berkata ia sedang menyiasat insiden tersebut.

“TSIB sedang berhubung dengan rakan dari Thailand dan akan mengerahkan penyiasat ke Bangkok,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg