Kesihatan mulut menjadi semakin genting tatkala Singapura menjadi masyarakat yang kian menua dengan pantas, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan (MOH), Profesor Kenneth Mak.

Bercakap semasa Simposium Kesihatan Mulut Populasi Singapura pada 26 Oktober di Academia, Kampus Hospital Besar Singapura (SGH), beliau berkata kehilangan gigi bukanlah sekadar masalah pergigian.

Ia boleh turut mengakibatkan masalah nutrisi dan membawa kepada penyakit sarkopenia – kehilangan jisim dan kekuatan otot berkaitan usia.

Justeru, secara tidak langsung, ia mampu menjejas mutu hidup serta keupayaan warga emas untuk hidup berdikari.

Satu kajian oleh Pusat Pergigian Nasional Singapura dan Sekolah Perubatan Duke-Universiti Nasional Singapura (NUS) turut mendapati golongan dewasa berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai 20 hingga 32 batang gigi semula jadi boleh menjangkakan hidup secara berdikari selama lebih lima tahun berbanding mereka yang tiada gigi semula jadi.

Selain itu, mereka yang mempunyai lebih 20 gigi semula jadi itu dapat hidup lebih tiga tahun tanpa batasan fungsi fizikal.

Mengulas tentang perangkaan bagi warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya 21 batang gigi yang sihat, Profesor Mak berkata:

“Kadar warga emas yang mengekalkan sekurang-kurangnya 21 batang gigi yang berfungsi merosot dengan ketara seiring peningkatan usia.

“Dalam kalangan mereka yang berusia 65 tahun ke atas, hanya kira-kira 35 peratus yang mempunyai baki 21 atau lebih batang gigi semula jadi.”

Beliau turut menjelaskan, apa yang membimbangkan, terdapat tanggapan salah bahawa kehilangan gigi merupakan sebahagian daripada proses penuaan yang tidak dapat dielakkan.

Tanggapan salah itu berkemungkinan besar menjadi penghalang bagi orang ramai daripada mengamalkan tabiat serta penjagaan sihat yang dapat mengekalkan gigi mereka.

“Hal ini mengukuhkan lagi peri pentingnya menjaga kesihatan mulut demi memelihara fungsi fizikal, keupayaan untuk berdikari, serta mutu hidup tatkala masyarakat kian menua.

“Hakikat ini menegaskan mengapa pencegahan mesti terus menjadi tunjang kepada usaha penjagaan kesihatan negara secara lebih meluas,” kata beliau.

“Menerusi inisiatif seperti SG Lebih Sihat, gaya hidup yang lebih sihat dapat digalakkan dengan mempromosikan pengesanan dan pencegahan awal, di samping memperkasa rakyat Singapura agar memikul tanggungjawab lebih besar terhadap kesihatan diri mereka.”

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti