Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Subsidi pergigian lebih tinggi bagi pemegang kad Chas jingga

Mar 7, 2025 | 8:55 PM
MOH melancarkan 10 subsidi baru kepada pemegang kad Chas jingga, dengan pendapatan isi rumah bulanan $1,501 hingga $2,300 setiap seorang.
MOH melancarkan 10 subsidi baru kepada pemegang kad Chas jingga, dengan pendapatan isi rumah bulanan $1,501 hingga $2,300 setiap seorang. - Foto fail

Subsidi pergigian yang lebih tinggi bagi prosedur menyelamatkan gigi seperti rawatan akar dan korona gigi, atau crown, kekal akan ditawarkan di bawah Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas).

Ini bagi memudahkan rakyat Singapura melakukan prosedur lebih mahal itu untuk mengekalkan gigi yang berfungsi.

Subsidi itu akan diberikan mulai suku keempat 2025, dengan had subsidi bergantung pada prosedur dan jenis kad Chas.

Penambahbaikan subsidi untuk penjagaan gigi dijangka memberi manfaat kepada seramai 1.7 juta pemegang kad Chas.

Dalam Belanjawan 2025, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata kesihatan gigi merupakan salah satu aspek yang mana kemampuan menjadi kebimbangan.

Ramai warga memberitahu Encik Ong bahawa mereka lebih rela mencabut gigi yang dijangkiti daripada membaikinya. 

Ini kerana kos mencabut gigi yang lebih murah dan tidak perlu banyak berjumpa doktor. 

Namun, Encik Ong berkata mempunyai kekurangan gigi akan menjejas pengambilan pemakanan kerana ia akan mengurangkan keupayaan seseorang mengunyah. 

Beliau menjelaskan bahawa beberapa Anggota Parlimen telah bertanya sekiranya kesihatan gigi boleh dijadikan sebahagian daripada strategi penjagaan pencegahan SG Lebih Sihat, yang membolehkan warga dipadankan dengan seorang doktor biasa untuk membantu menjaga kesihatan mereka. 

“Kerjasama yang telah lama terjalin antara sekolah Kementerian Pendidikan dengan Kementerian Kesihatan (MOH) melindungi gigi golongan muda. Tetapi, pada masa dewasa, kesihatan gigi semakin merosot,” kata Encik Ong.

“Secara umum, setiap orang perlukan sekurang-kurangnya 20 gigi semula jadi untuk mengunyah. Malangnya, cuma separuh daripada golongan lebih tua memilikinya.” 

Maka itu, MOH telah memperluaskan subsidi untuk 10 prosedur pencegahan pergigian seperti penggilap, membersihkan (scaling), pengisian dan pengekstrakan kepada pemegang kad Chas jingga, dengan pendapatan isi rumah bulanan $1,501 hingga $2,300 setiap seorang.

Subsidi itu hanya diberikan kepada pemegang kad Generasi Perintis dan Merdeka, serta pemegang kad Chas biru.

Skim Chas membolehkan semua rakyat Singapura menerima subsidi untuk penjagaan perubatan dan pergigian merentasi semua institusi penjagaan kesihatan awam, doktor perubatan umum (GP) yang mengambil bahagian dan kira-kira 900 klinik pergigian swasta.

Pemegang kad Chas Generasi Perintis dan Generasi Merdeka – mereka yang lahir sebelum 1960 – menerima subsidi pergigian tertinggi di bawah skim tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg