Walaupun disahkan menghidap masalah jantung, Encik Mohd Salleh Bidin, 74 tahun, enggan menjadikan keadaan kesihatannya sebagai alasan untuk berhenti aktif.

Sebaliknya, beliau menemui minat baharu dalam sukan bola lantai duduk, dan kini mengetuai pasukan Pusat Penuaan Aktif (AAC) PCS Cedar Tree @ Jalan Bukit Merah.

Minatnya terhadap sukan adaptif bermula selepas mengetahui mengenai Sukan Nasional Warga Emas (SNG) – pertandingan sukan nasional bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas yang anjuran Majlis Sukan Singapura (SportSG).

“Saya tengok video dan gambar orang bermain. Saya rasa mereka boleh buat, saya pun boleh buat. Permainan ini menarik kerana memerlukan kepandaian, strategi, mental dan kesabaran,” katanya.

Sebelum menyertai SNG, Encik Mohd Salleh sudah aktif mengikuti pelbagai program serta menjadi sukarelawan di AAC tersebut.

Selepas disahkan menghidap masalah jantung, beliau terus mengutamakan senaman dan gaya hidup aktif seperti yang disarankan doktor.

“Pada mulanya saya fikir mungkin saya tidak boleh lagi aktif. Tetapi saya fikir semula, kenapa tidak? Saya mesti teruskan hidup dan terus bersenam,” katanya.

Bola lantai duduk akhirnya menjadi sukan yang paling diminatinya.

Kini memasuki penyertaan tahun kedua dalam SNG, Encik Mohd Salleh bukan sahaja dilantik sebagai kapten pasukan, malah membantu menyusun strategi permainan dan menentukan kedudukan pemain ketika latihan serta pertandingan.

Sebagai kapten, beliau sering memberi galakan kepada rakan sepasukan, termasuk mengajak mereka hadir ke sesi latihan dan terus mengambil bahagian walaupun berdepan cabaran fizikal.

Baginya, sokongan sesama pemain penting kerana setiap anggota pasukan mempunyai keupayaan dan pengalaman berbeza.

Selain mengetuai pasukan, beliau turut menjadi sukarelawan dengan membantu mengendalikan beberapa kegiatan sukan adaptif lain seperti Ladder Toss, Disc Golf dan Boccia.

Encik Mohd Salleh juga aktif menggalakkan rakan warga emas menyertai kegiatan di pusat berkenaan dan terus menyumbang kepada masyarakat.

Menurutnya, penyertaan dalam sukan bukan sekadar membantu mengekalkan kecergasan fizikal, malah meningkatkan keyakinan diri serta memberi peluang membina persahabatan baharu dengan warga emas lain yang berkongsi minat sama.

“Sukan ini buat fikiran lebih terbuka. Kami berlatih bersama, belajar daripada satu sama lain dan saling memberi semangat,” katanya.

SNG merupakan pertandingan sukan adaptif yang memberi peluang kepada warga emas mencabar diri dalam suasana selamat dan bersifat terangkum.

Selain menggalakkan gaya hidup aktif, pertandingan itu turut memupuk semangat kesukanan, kerjasama dan hubungan sosial dalam kalangan peserta.

“Saya tidak pernah fikir hendak berputus asa. Selagi ada hayat, saya akan terus bermain dan terus aktif,” tambahnya.