Pemain midfield Lion City Sailors, Adam Swandi, akan bersara daripada bola sepak profesional pada usia 28 tahun kerana keadaan kesihatan yang menjejas jantungnya.
Pada 14 September, dalam perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) menentang Tanjong Pagar United di Stadium Jurong East – yang menyaksikan Adam menjaringkan gol kedua untuk Sailors – beliau sedang berlari kembali ke posisi apabila tiba-tiba berasa pening dan mengalami kekejangan di dada.
Keadaannya stabil selepas menerima rawatan perubatan segera, namun ujian seterusnya mendedahkan masalah jantung yang tersembunyi dalam bentuk kardiomiopati.
Kardiomiopati ialah penyakit otot jantung yang menyebabkan ia menghadapi kesukaran mengepam darah ke seluruh badan.
Ia boleh menyebabkan masalah jantung yang serius dan, dalam kes yang lebih teruk, boleh membawa kepada kegagalan jantung.
Akibatnya, bekas pemain antarabangsa Singapura itu memutuskan untuk menamatkan kerjaya bola sepak profesionalnya selama sedekad, dengan penuh rasa kesal.
“Kardiomiopati meletakkan Adam pada risiko yang sangat tinggi untuk keadaan jantung yang boleh membawa maut jika beliau berterusan bermain bola sepak secara kompetitif,” kata Lion City Sailors dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 24 Disember.
Dalam kenyataan yang sama, pengerusi Sailors, Forrest Li, berkata Adam akan beralih ke kehidupan selepas bola sepak, dan berharap beliau akan terus menyumbang kepada kelab dalam kapasiti lain.
“Adam merupakan ahli berharga dalam kelab sejak 2020
“Personalitinya yang mesra dan semangatnya yang sentiasa ceria telah memberi kesan positif kepada semua di sini.
“Memandangkan bakatnya yang luar biasa, kami semua amat sedih kerana beliau terpaksa mengakhiri kerjayanya dengan cara begini,” tambah Li.
Adam adalah sebahagian daripada skuad pertama ketika Lion City Sailors ditubuhkan pada 2020.
Beliau juga salah seorang daripada tiga pemain Sailors yang masih berada dalam pasukan itu, bersama Hafiz Nor dan Haiqal Pashia, yang telah bersama Sailors, yang kini diswastakan.
Adam telah membuat 93 penampilan untuk Sailors, meraih kejuaraan SPL 2021, Piala Singapura 2023, dan dua trofi Perisai Masyarakat.
Selepas persaraan awalnya, Sailors berjanji akan memberi sokongan bagi membantunya melalui peralihan ke kehidupan selepas bola sepak, sambil meneroka peluang dalam bidang teknikal dan bukan teknikal bersama kelab itu.
“Walaupun kami berasa sedih melihat Adam meninggalkan bola sepak sebagai pemain, kesihatan dan keluarga beliau harus sentiasa diutamakan.
“Adam bukan sekadar seorang pemain bola sepak, beliau juga seorang bapa dan suami,” kata ketua jurulatih Sailors, Aleksandar Rankovic.
Adam mengakui sokongan daripada keluarganya; isterinya Nurul Izzati, dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun, Ayden Noah; serta ibu bapanya Hamidah Dasuki dan Swandi Kitto, yang juga seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan; serta rakan-rakan rapat telah membantunya melalui detik-detik awal yang sukar.
Beliau juga berterima kasih kepada Sailors yang telah memberikan sokongan sepanjang perjalanan.
“Jika saya tidak berkahwin dan tidak mempunyai anak, saya mungkin menghadapi kemurungan, kerana (bola sepak) adalah satu-satunya yang saya tahu.
“Ia bukan sekadar pekerjaan, ia adalah hidup saya.
“Menjadi seorang bapa sebenarnya membuatkan saya melihat perkara dengan lebih objektif.
“Saya rasa pada akhirnya, Tuhan telah memberi saya peluang untuk terus hidup,” kongsi Adam dalam laporan, The Straits Times.
“
Ia (bola sepak) bukan sekadar pekerjaan, ia adalah hidup saya. Menjadi seorang bapa sebenarnya membuatkan saya melihat perkara dengan lebih objektif. Saya rasa pada akhirnya, Tuhan telah memberi saya peluang untuk terus hidup.“
“Adam merupakan ahli berharga dalam kelab sejak 2020. Personalitinya yang mesra dan semangatnya yang sentiasa ceria telah memberi kesan positif kepada semua di sini. Memandangkan bakatnya yang luar biasa, kami semua amat sedih kerana beliau terpaksa mengakhiri kerjayanya dengan cara begini.”“
“Walaupun kami berasa sedih melihat Adam meninggalkan bola sepak sebagai pemain, kesihatan dan keluarga beliau harus sentiasa diutamakan. Adam bukan sekadar seorang pemain bola sepak, beliau juga seorang bapa dan suami.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg