Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masalah penglihatan bukan hambatan raih 3 kepujian GCE ‘O’

Jan 10, 2025 | 8:20 PM
Pelajar Sekolah Menengah Fuchun, Muhammad Aman Ramdzan (tengah), meraikan pencapaiannya bersama ayahnya, Encik Ramdzan Abdul Rahman, dan ibunya, Cik Zuriah Jemani, semasa mengambil keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’ pada 10 Januari.
Pelajar Sekolah Menengah Fuchun, Muhammad Aman Ramdzan (tengah), meraikan pencapaiannya bersama ayahnya, Encik Ramdzan Abdul Rahman, dan ibunya, Cik Zuriah Jemani, semasa mengambil keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’ pada 10 Januari. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sedang kebanyakan pelajar mengambil masa sekitar dua jam untuk menyiapkan kertas peperiksaan Matematik biasa berukuran A4, Muhammad Aman Ramdzan, 16 tahun, memerlukan hampir empat jam bagi menjawab soalan pada kertas peperiksaan berukuran A3. 

Disahkan menghidap kondisi genetik yang jarang dihadapi dan menjejas daya penglihatannya, Leber Hereditary Optic Neuropathy (LHON) pada usia 14 tahun, Muhammad Aman tidak lagi dapat menyertai sukan yang digemari dan bergantung pada teknologi bantuan seperti kalkulator bersuara dan alat pembaca skrin untuk tugasan harian. 

Namun demikian, ia tidak menghalang pelajar Sekolah Menengah Fuchun itu daripada cemerlang dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’, dengan tiga kepujian dalam mata pelajaran Matematik Asas, Sains Gabungan (Kimia/Biologi) dan Kemanusiaan (Sejarah/Kajian Sosial).

Muhammad Aman yang berjaya meraih 10 mata untuk agregat L1R4, adalah antara 22,661 pelajar yang mengambil keputusan GCE Peringkat ‘O’ pada 10 Januari.

Semasa ditemui Berita Harian (BH) di Sekolah Menengah Fuchun, naib presiden persatuan pelajar itu berkata: “Kertas peperiksaan saya bersaiz A3, dan saya memerlukan lebih masa seperti subjek Matematik yang mempunyai banyak rajah dan memerlukan pemikiran mendalam.”

Pada awalnya, dia berasa seolah-olah seperti seorang remaja tidak normal.

“Apabila penglihatan saya merosot, saya rasa tersisih kerana terpaksa mengorbankan minat seperti badminton dan tidak dapat berinteraksi dengan rakan-rakan lain seperti sebelumnya,” jelasnya.

Mengulas lebih lanjut, ayahnya, Encik Ramdzan Abdul Rahman, 53 tahun, seorang pegawai operasi, berkata:

“Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan pada mulanya. Namun, kami sekeluarga berunding dengan doktor dan menyertai kumpulan sokongan untuk mendapatkan bimbingan dalam memahami cara mengharungi cabaran yang dihadapi anak saya itu.

“Kami tidak pernah mematahkan semangatnya. Bahkan kami sentiasa menyokongnya dalam apa jua keadaan.”

LHON merupakan keadaan genetik yang jarang berlaku, menyebabkan kehilangan daya penglihatan akibat kerosakan pada saraf optik.

Ketika berusia 14 tahun, Muhammad Aman mula alami masalah itu apabila kerap tersandung semasa berjalan.

Lama-kelamaan, penglihatan yang kabur di mata kirinya mula menjejas kededua matanya. 

Kini, penglihatannya digambarkan seperti terdapat petak-petak, memerlukan alat bantuan khas seperti pembaca skrin, kalkulator bersuara dan pembaca Victor Stream (pemain media digital dalam genggaman tangan) bagi menangani keadaan tersebut. 

Pelajar Sekolah Menengah Fuchun, Muhammad Aman Ramdzan, menggunakan kalkulator bersuara untuk membantunya dalam tugasan mengira.
Pelajar Sekolah Menengah Fuchun, Muhammad Aman Ramdzan, menggunakan kalkulator bersuara untuk membantunya dalam tugasan mengira. - Foto BH oleh KHALID BABA

Di samping itu, guru-gurunya turut menyesuaikan pendekatan dan kaedah pembelajaran bagi memenuhi keperluannya, seperti mengadakan sesi bimbingan peribadi untuk subjek Matematik dan Biologi serta menyediakan model tiga dimensi (3D) seperti sel, untuk disentuh dan rasa dengan tangan sendiri. 

Muhammad Aman merupakan pelajar pertama berkeperluan khas di Sekolah Menengah Fuchun.

Mengambil keputusannya, pelajar kumpulan terakhir sekolah itu ditemani ibunya, Cik Zuriah Jemani, 52 tahun, seorang kerani dan dua abangnya – Encik Muhammad Izzat Ramdzan, mekanik peralatan pesawat, 26 tahun dan Encik Muhammad Asmar Ramdzan, 20 tahun, yang bakal menamatkan Perkhidmatan Negara (NS) pada Februari dan memulakan pengajian di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada Ogos. 

Seramai 22,661 pelajar yang menduduki peperiksaan itu telah mengambil keputusan pada 10 Januari, dan 19,884 daripada mereka lulus sekurang-kurangnya lima mata pelajaran, kata Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB).

Beliau kini bertekad mengambil kursus bisnes, sumber kemanusiaan atau kerja sosial di politeknik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg