Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Al-Amin anjur kuliah harian, kursus agama khas pada Ramadan

Sokongan serta dana daripada masyarakat beri manfaat kepada umat Islam di masjid
Feb 21, 2025 | 5:30 AM
Menurut Ketua Jabatan Dakwah Masjid Al-Amin, Ustaz Muhammad Syafiee Mohamed Hassan, tidak kurang daripada 100,000 jemaah telah memanfaatkan ruang solat pada tahun 2024, sekali gus memberi pahala kepada penderma yang menyokong pembangunan Masjid Al-Amin.
Menurut Ketua Jabatan Dakwah Masjid Al-Amin, Ustaz Muhammad Syafiee Mohamed Hassan, tidak kurang daripada 100,000 jemaah telah memanfaatkan ruang solat pada tahun 2024, sekali gus memberi pahala kepada penderma yang menyokong pembangunan Masjid Al-Amin. - Foto MASJID AL-AMIN

Setelah tiga tahun usaha giat mengumpul dana, serta dengan prasarana baru yang lebih moden dan lengkap, Masjid Al-Amin kini berupaya melaksanakan pelbagai program keagamaan dan kemasyarakatan demi manfaat umat Islam di Singapura.

Masjid ini tidak hanya berfungsi sebagai tempat ibadah, bahkan sebagai pusat komuniti yang menyatukan umat Islam melalui pelbagai kegiatan yang memberi impak positif kepada masyarakat.

Ketua Jabatan Dakwah Masjid Al-Amin, Ustaz Muhammad Syafiee Mohamed Hassan, berkata pembinaan masjid ini adalah hasil daripada sokongan padu masyarakat Singapura yang bersatu dalam usaha memastikan ia menjadi kenyataan.

“Dengan izin Allah swt dan sokongan masyarakat yang tidak pernah pudar, peningkatan Masjid Al-Amin berjaya disiapkan pada Februari 2024,’’ ujarnya.

Masjid Al-Amin turut berupaya mewujudkan ruang bagi acara pernikahan, perkahwinan, perjumpaan dan lain-lainnya. Program-program ini bertujuan memperkaya ilmu agama setempat serta membina ukhuwah antara masyarakat.

Selain itu, tidak kurang daripada 100,000 jemaah telah memanfaatkan ruang solat pada 2024.

“Bayangkan betapa beruntungnya para penderma dan mereka yang membantu dan menyokong masjid ini kerana setiap kali jemaah bersolat dan berwuduk, sebahagian pahala tersebut melimpah kepada mereka.

“Bersama kemudahan baru, pegawai pembangunan sosial Masjid Al-Amin mampu menerima dan meraikan penerima zakat dengan lebih selesa melalui ruang khas buat mereka.

“Selain itu, dewan solat masjid juga dilengkapi dengan alat bantu pendengaran dan laluan luas untuk jemaah yang berkerusi roda. Namun, usaha kami belum selesai. Masjid Al-Amin masih berusaha memperbaiki dan meningkatkan lagi program-program sedia ada termasuk melibatkan keluarga yang berkeperluan khas, warga emas dan belia.

“Ini hanya dapat dicapai melalui usaha bekerjasama, taawun, antara pihak-pihak berkepentingan agar masjid ini terus menjadi nadi masyarakat dan mewujudkan impak atau kesan mendalam kepada masyarakat Singapura,” jelas Ustaz Muhammad Syafiee.

PENGHARGAAN KEPADA ASATIZAH DAN DERMAWAN

Pihak Pentadbir Masjid Al-Amin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada asatizah yang terlibat dalam usaha mengumpul dana Masjid Al-Amin. Mereka memainkan peranan penting dalam memperkenalkan projek ini kepada masyarakat dan mendorong umat Islam supaya menyumbang.

Antaranya ialah Allahyarham Ustaz TM Fouzy, Ustaz Ahmad Dahri, Ustaz HM Noor Tijany, Ustaz Abdul Manaf, Ustaz Md Kamal Md Moktar, Ustazah Dr Sakinah Saptu, dan Ustaz Mazdiuky Ishak serta ramai lagi asatizah lain.

Masjid Al-Amin juga merakamkan penghargaan kepada pempengaruh YouTube, Fiza O dan KC, yang dengan rela hati membantu mengumpul dana bagi Masjid Al-Amin melalui platform media sosial.

Selain itu, Masjid Al-Amin amat berterima kasih kepada badan dan syarikat lain seperti MegaXpress International, yang membantu menerusi acara tahunan mereka, MalaysiaFest di Singapore Expo.

“Tidak lupa juga, Masjid Al-Amin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penderma dan pembaca yang budiman.

“Tanpa sokongan ini, pembangunan masjid tidak akan terlaksana,’‘ ujarnya.

Menjelang Ramadan ini, banyak program dianjurkan oleh masjid ini. Selain kuliah harian dan solat tarawih, Masjid Al-Amin menyediakan kursus agama khas pada bulan Ramadan seperti Alam Syurga, Tadabbur Surah Kahfi, Bacaan Gharib Al-Quran dan Kursus Muslimah, Al-Quran Jangan Tinggal Daku.

Masjid Al-Amin juga menganjurkan majlis khataman Al-Quran, Nuzul Quran, tazkirah mingguan, tazkirah 10 malam terakhir, Majlis Tahlil Akbar Malam Raya dan lain-lain lagi.

Selain itu, Masjid Al-Amin menyediakan ruang kunjungan kepada pengunjung bukan Islam untuk memahami tentang budaya Muslim Singapura dan mengenai bulan Ramadan.

SEKILAS

Layari https://alaminmosque.com untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Ikuti perkembangan masjid melalui media sosial seperti di laman Facebook – Masjid Al-Amin SG, Instagram – masjidalaminsg dan TikTok – masjidalaminsg.

Hubungi talian 6272-5309 atau e-mel kepada alamin@alamin.mosque.sg untuk pertanyaan lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg