Bermula dengan Majlis Maulidur Rasul pada 2020 dan pelbagai kegiatan serta usaha pengumpulan dana yang lain, Masjid Al-Amin kini sudah dinaik taraf dengan wajah, ruang dan kemudahan baru yang lebih baik.
Masjid yang terletak di Telok Blangah Way itu mensyukuri sokongan padu daripada masyarakat tempatan dan asatizah mapan seperti Ustaz TM Fouzy, Ustaz Drs HM Noor Tijany, Ustaz Drs Ahmad Dahri, Ustaz Abdul Manaf, dan asatizah lain.
Ini termasuk Ustazah Dr Sakinah Saptu, Ustazah Kamiseh Parisan dan Ustazah Normah Baharam bersama kumpulan Nur Al-Quran yang bergabung tenaga membantu menjayakan usaha mengumpul baki dana sekitar $4 juta sejak lima tahun lalu.
“Semoga setiap sumbangan dan bantuan yang dihulurkan, Allah swt mengganjarkan dengan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin,” jelas Ustaz Mohd Syafiee Syafiee, Ketua Jabatan Dakwah di Masjid Al-Amin.
Kini Masjid Al-Amin mempunyai tiga dewan serba guna yang berhawa dingin dan kedap bunyi, sesuai bagi majlis nikah, walimah, seminar, kelas dan sebagainya.
Tambahan lagi, masjid itu mempunyai sekitar enam bilik atau kelas untuk digunakan. Ia juga mengalu-alukan asatizah atau badan-badan agama yang ingin menggunakannya bagi kelas-kelas mereka.
Dengan adanya kemudahan baru, masyarakat Islam dapat terus menggunakan prasarana Masjid Al-Amin.
Sebagai tanda penghargaan, Masjid Al-Amin dengan berbesar hati menjemput pembaca akhbar ini serta setiap anggota masyarakat Muslim agar menghadiri Karnival Keluarga Masjid Al-Amin yang juga merupakan rumah terbuka masjid sempena selesainya projek naik taraf.
Pada acara tersebut, orang ramai dapat meninjau Masjid Al-Amin dengan lebih dekat. Pelbagai kegiatan menarik turut menanti.
Seperti usaha mencari dana dimulakan dahulu, Masjid Al-Amin sekali lagi akan membuka fasa baru dengan acara Maulidur Rasul bersama Ustaz TM Fouzy dan Kumpulan Persatuan Pembangunan Insan dan Akhlak (MHDS).
Selain itu, terdapat juga pelbagai kegiatan lain seperti pertandingan azan, pertandingan berzanji, tahlil akbar, senaman beramai-ramai, khatam Al-Quran dan lain-lain lagi.
“Ini bukannya tanda berakhirnya sokongan kepada Masjid Al-Amin, bahkan ia adalah tanda permulaan untuk kita terus memberikan sokongan memakmurkan rumah Allah swt ini,” jelas Ustaz Mohd Syafiee.
Tambahnya, pelbagai program keagamaan bakal dijalankan – daripada kuliah, kursus sehingga khidmat perundingan agama yang akan dikemas kini untuk menyahut keperluan keagamaan masyarakat Islam.
Antara program yang bakal dijalankan adalah ‘Kursus Alam Malaikat’ bersama Ustaz Mohd Syafiee pada 1 Jun 2024, 2 petang hingga 4 petang.
Forum Bahasa Inggeris, ‘Emulating the Essence of Qurban’ yang akan bakal berlangsung pada Jun 2024 serta program hari cuti, Kursus Azan dan Jelajah Haji.
“Masjid kita adalah nadi kita dan ia satu warisan Nabi Muhammad saw,” ujar Ustaz Mohd Syafiee.
Beliau turut mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke Karnival Keluarga Masjid Al-Amin serta penyertaan dalam program-program masjid.
Acara Karnival Keluarga Masjid Al-Amin akan berlangsung pada Sabtu, 25 Mei, 8 pagi hingga 10 malam; dan Ahad, 26 Mei, 8 pagi hingga 2 petang.
Untuk maklumat lanjut mengenai masjid atau karnival, hubungi Masjid Al-Amin melalui Facebook Masjid Al-Amin SG atau hubungi talian 6272-5309.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg