Jemaah Masjid Alkaff Kampung Melayu dapat terus menunaikan solat Jumaat di masjid itu walaupun kerja peningkatannya memasuki fasa kedua.

Ini kerana sebuah dewan solat Jumaat sementara disediakan sedang ruang solat masjid itu terhad ketika projek peningkatan berjalan, kata Pengerusi Eksekutif masjid, Encik Mohd Khalid Mohd Lani.

Terletak di hadapan kawasan masjid, dewan itu boleh menampung hingga 1,000 orang pada satu-satu masa.

Ia disediakan agar jemaah dapat meneruskan ibadah dalam keadaan teratur, dengan keperluan pelbagai golongan jemaah dapat diberi perhatian.

Bagi solat fardu harian, jemaah masih boleh menunaikannya di ruang solat biasa tetapi ruangnya terhad.

“Pihak pengurusan dan pentadbir Masjid Alkaff Kampung Melayu ingin menyediakan lebih banyak ruang untuk jemaah khususnya pada waktu solat Jumaat,” kata Encik Mohd Khalid.

Masjid itu telah mengadakan pertemuan bersama jemaah dan sukarelawan bagi menerangkan keadaan serta kemudahan yang disediakan di dewan solat sementara.

Ruang khas disediakan bagi jemaah berkerusi roda dan yang memerlukan kerusi untuk solat.

Laluan bertanjak, atau ramp, turut disesuaikan bagi memudahkan pergerakan keluar masuk.

Tandas dan tempat wuduk disediakan tetapi kapasitinya terhad, oleh itu jemaah digalak mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum datang ke dewan solat sementara itu.

Jemaah diminta mematuhi arahan petugas serta panduan yang dipapar di kawasan itu.

Encik Mohd Khalid berkata keselamatan dan keselesaan jemaah antara keutamaan dalam menguruskan kemudahan sementara itu.

Beliau menasihatkan jemaah supaya tidak menghalang laluan dan, jika boleh, datang lebih awal bagi mengelakkan kesesakan, khususnya bagi solat Jumaat.

“Jemaah juga diharapkan memahami batas-batas logistik di kawasan sementara ini. Pada masa sama, masjid mengalu-alukan maklum balas membina bagi membantu kami meningkatkan mutu perkhidmatan,” ujarnya.

Keperluan warga emas, keluarga dan golongan memerlukan perhatian khusus turut diberi pertimbangan, dengan sukarelawan masjid bersedia membantu jemaah apabila diperlukan.

Menurut Encik Mohd Khalid, kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan pengurusan dewan solat sementara berjalan lancar, terutama dengan kemudahan dan ruang lebih terhad berbanding keadaan biasa.

“Masjid sentiasa bersedia menyesuaikan pengurusan dan kemudahannya mengikut keperluan jemaah yang wajar,” katanya. 

Kerja peningkatan fasa kedua dijangka mengambil masa hampir dua tahun, dengan masjid itu dijangka siap pertengahan 2027.

Selepas itu, Masjid Alkaff Kampung Melayu merancang memperluas program dakwah dan sosialnya dengan penekanan kepada belia dan warga emas.

Antara matlamatnya adalah meningkatkan penghayatan ilmu, mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan meningkatkan kesejahteraan jasmani dan rohani masyarakat.

Masjid itu masih memerlukan dana bagi menyokong peningkatan dan operasinya.

Encik Mohd Khalid menyeru masyarakat, khususnya jemaah, agar menyokong usaha itu demi kemaslahatan masyarakat.

“Diharapkan masyarakat dapat merebut saham dunia dan akhirat ini melalui sumbangan dan sokongan kepada usaha ini,” ujar beliau. 

CARA DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU:

– Buat pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-608668-001. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ pada ruangan ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

– PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

– Kirim cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu di alamat 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

– Pergi ke pejabat masjid Isnin hingga Khamis, antara 9 pagi dengan 5.30 petang, atau pada Jumaat, dari 9 pagi hingga 5 petang.

– Untuk keterangan lanjut, hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.

– Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok: @alkaffkm; Facebook: Masjid Alkaff Kampung Melayu; dan Instagram: @alkaffkgmelayumosque.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti