Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasjid Alkaff Kampung Melayu utamakan adab, keselamatan jemaah di ruang sementara
Jemaah digesa patuhi arahan petugas dan saling tolak ansur sepanjang kerja naik taraf masjid Fasa 2
Masjid Alkaff Kampung Melayu utamakan adab, keselamatan jemaah di ruang sementara
Masjid Alkaff Kampung Melayu menyeru jemaah agar mengutamakan keselamatan, mematuhi arahan petugas dan mengamalkan sikap bertolak ansur sepanjang kerja naik taraf masjid Fasa 2.
Dalam keadaan ruang solat terhad, usaha memakmurkan masjid perlu diiringi dengan keprihatinan terhadap aspek keselamatan dan kebajikan bersama, yang menjadi tanggungjawab setiap anggota jemaah.
Ketua Jabatan Pembangunan Masyarakat di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Mohamad Noor Samat, menekankan pentingnya sikap saling memahami dalam menghadapi penyesuaian sepanjang tempoh kerja naik taraf.
“Kesungguhan jemaah menunaikan solat Jumaat amat kami hargai.
“Namun, kita juga perlu memahami keterbatasan ruang sementara dan mengutamakan keselamatan agar jemaah dapat beribadah dengan tenang,” ujar Ustaz Mohamad Noor.
Antara cabaran yang dihadapi ialah menguruskan kehadiran jemaah yang ramai ketika kapasiti ruang solat telah mencapai had.
Dalam keadaan sedemikian, petugas perlu memastikan penyusunan saf teratur, pergerakan jemaah terkawal dan laluan kecemasan sentiasa dikosongkan.
Laluan masuk dan keluar tidak boleh digunakan sebagai ruang tambahan untuk bersolat kerana ia diperlukan sekiranya berlaku kecemasan atau pengungsian segera.
Ustaz Mohamad Noor turut mengingatkan bahawa mengejar pahala solat berjemaah tidak seharusnya menyebabkan seseorang mengabaikan adab terhadap orang lain.
Dalam Islam, kemudahan dan menghindari kesukaran merupakan antara prinsip penting dalam pelaksanaan syariat. Allah swt berfirman: “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
“Ibadah bukan sekadar mendapatkan tempat dalam saf. Kita juga perlu menjaga akhlak dan adab, menghormati jemaah lain dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan keselamatan mereka,” jelasnya.
Ustaz Mohamad Noor turut menggalakkan jemaah supaya memberikan kerjasama kepada petugas dan sukarelawan yang menjalankan amanah mengawal kemasukan.
Arahan mengehadkan kemasukan apabila ruang telah penuh merupakan langkah melindungi semua pihak, bukannya menghalang jemaah daripada beribadah.
“Petugas juga menjalankan tanggungjawab demi kepentingan bersama. Kami berharap jemaah dapat menerima arahan dengan sabar dan memberikan sokongan kepada mereka yang bertugas,” katanya.
Bagi membantu mengurangkan kesesakan, solat Jumaat sesi kedua pada 2 petang disediakan sebagai pilihan kepada jemaah, tertakluk kepada aturan yang ditetapkan pihak masjid dan ketetapan pihak berkuasa agama.
Jemaah digalakkan mempertimbangkan sesi tersebut mengikut kesesuaian masing-masing bagi membantu melancarkan pengurusan dan mengurangkan kesesakan pada sesi pertama.
Dalam pada itu, pihak masjid merakamkan penghargaan kepada seluruh kariah atas kesabaran dan sokongan sepanjang pelaksanaan Projek Naik Taraf Masjid Fasa 2.
“Semoga tempoh ini menjadi peluang bagi kita memperkukuh ukhuwah, meningkatkan kesabaran dan menunjukkan keindahan akhlak Islam melalui sikap saling menghormati.
“Semoga Allah swt memberkati segala usaha peningkatan masjid ini dan menjadikan Masjid Alkaff Kampung Melayu sebuah institusi yang terus menyatukan masyarakat dalam iman, ilmu, kasih sayang dan ketakwaan,” tambahnya.
Orang ramai yang ingin menyokong usaha naik taraf Masjid Alkaff Kampung Melayu juga dialu-alukan agar menghulurkan sumbangan bagi membantu menjayakan projek tersebut.
Setiap sumbangan, tanpa mengira jumlah, amat bermakna dalam usaha menyediakan persekitaran masjid yang lebih selesa dan kondusif untuk masyarakat Islam.
SEKILAS
CARA DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU:
1. Untuk keterangan lanjut, hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 atau kunjungi masjid di 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun bank OCBC 581-608668-001. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ sebagai rujukan dan e-mel bukti transaksi ke finance@alkaffkm.mosque.sg.
3. PayNow ke UEN S94MQ0017D. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ sebagai rujukan.
4. Secara langsung: Kunjungi pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang, atau Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang.
* Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok (@alkaffkm), Facebook (Masjid Alkaff Kampung Melayu) dan Instagram (@alkaffkgmelayumosque).