Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Alkaff Upper Serangoon sambut 10 tahun sebagai Monumen Negara

Jul 14, 2024 | 8:39 PM
Masjid Alkaff Upper Serangoon diwartakan sebagai monumen negara pada 2014.
Masjid Alkaff Upper Serangoon diwartakan sebagai monumen negara pada 2014. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sebagai meraikan ulang tahun sedekadnya sebagai Monumen Negara, Masjid Alkaff Upper Serangoon telah mengadakan rumah terbuka buat julung-julung kalinya pada 14 Julai yang turut disertai masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Dengan inisiatif Masjid Kita, Warisan Kita, ia ruang buat orang ramai mengenali lebih lanjut lagi tentang warisan dan sejarah masjid di 66 Pheng Geck Avenue yang dibina pada 1932 itu.

Acara rumah terbuka itu turut dihadiri Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; dan Anggota Parlimen Potong Pasir, Encik Sitoh Yi Pin.

Orang ramai dapat melalui sesi Jejak Warisan sambil meninjau panel maklumat yang dilancarkan bagi memberitahu orang ramai tentang sejarah masjid sejak ia bermula hinggalah kepentingan seni bina, kegiatan yang diadakan serta kemudahan yang dipertingkat di masjid tersebut.

Masjid Alkaff Upper Serangoon, yang diwartakan sebagai Monumen Negara pada 2014, terkenal dengan seni binanya yang unik hasil usaha arkitek daripada firma kolonial, Swan and Maclaren.

Antara beberapa struktur unik masjid itu ialah menara masjid yang berbentuk seperti seni bina Islam Ottoman; bumbung ‘tajug’ (berbentuk seperti piramid) yang biasa diterapkan dalam seni bina Nusantara serta gerbang lengkung yang disokong tiang batu bermotifkan Corinthian (unsur seni bina Greece).

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Pengerusi Masjid Alkaff Upper Serangoon, Encik Mohamed Azhar Khalid, yang telah berkhidmat sejak 2022, bangga atas pencapaian masjid ini walaupun terdapat beberapa cabaran mengekalkan seni binanya.

Menurutnya, beliau berharap status Monumen Negara itu dapat dijadikan wadah berdakwah dan mengenalkan orang ramai tentang Islam.

“Kami ingin menggalakkan lebih ramai pengunjung bukan Islam datang ke masjid ini supaya dapat mengurangkan jurang antara Muslim dan bukan Muslim.

“Ini selaras dengan dakwah kami untuk bersikap baik dan mesra kepada semua lapisan masyarakat serta mengelak salah faham antara agama,” kata Encik Azhar lagi.

Masjid yang dibina pada 1932 itu masih lagi mengekalkan bentuk dewan solat masjid yang asal walaupun masjid itu telah menjalani proses ubah elok sebanyak tiga kali sejauh ini.

Pada 2015, masjid itu menerima Anugerah Warisan Seni Bina Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) kerana mengekalkan dan memulihkan ciri-ciri asal masjid supaya mencapai visi jurubina asal.

Beliau berkata segala penambahbaikan harus selari dengan syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB).

“Kami perlu menjaga masjid dengan baik. Sebarang pemasangan seperti televisyen, lampu, dan kipas perlu mendapat kelulusan daripada NHB.”

“Kami perlu memastikan tiada kebocoran dan perlu menjalankan penyelenggaraan kalis air dan penjagaan anai-anai,” jelas Encik Azhar lagi.

Pemandu teksi, Encik Mohammed Abdul Rahman, yang telah berkhidmat sebagai sukarelawan masjid sejak 2011 berkata:

“Apa-apa yang sudah lusuh perlu diperbaiki segera. Jika kita lambat, paip air boleh bocor dan menyebabkan kerosakan yang lebih besar.

“Sayang jikalau apa-apa terjadi kepada masjid ini,” kata Encik Mohammed, 74 tahun.

Encik Mohammed adalah antara empat duta masjid yang berkongsi pengalaman pada acara rumah terbuka itu

Walaupun Encik Mohammed sudah menjadi sukarelawan sejak 2011, hubungannya dengan masjid itu sudah wujud sejak tahun 1960-an lagi.

Beliau sering mengikuti arwah ayahnya ke masjid itu untuk kelas agama dan berpeluang melihat sendiri perubahan pada masjid itu sejak zaman mudanya.

Pegawai Dakwah Masjid Alkaff, Ustaz Isa Hassan, juga berharap masyarakat Islam di Singapura terutamanya generasi muda dapat lebih menghargai jasa pengasas masjid di Singapura.

“Masjid ini bukan sahaja dijadikan sebagai pusat ibadah, tetapi juga pusat masyarakat dan kaya dengan sejarah,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg