Jemaah yang menunaikan solat Jumaat di tapak sementara Masjid Alkaff Kampung Melayu digalakkan memberikan kerjasama kepada pihak pengurusan masjid.

Langkah ini bagi memastikan kelancaran pergerakan dan keselamatan semua pihak sepanjang kerja naik taraf Fasa 2 dijalankan.

Ketua Jabatan Pengurusan Estet dan Penyelenggaraan di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Nassir Siraj, berkata meskipun ruang solat di tapak sementara lebih luas berbanding ruang solat di bangunan masjid yang sedang dinaik taraf, terdapat kekangan dari segi keselesaan dan kemudahan.

“Jemaah perlu menyesuaikan diri dengan keadaan ruang yang berbeza serta kemudahan yang lebih terhad, termasuk tandas.

“Oleh itu, pengurusan ruang dan kemudahan perlu dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah terpelihara,” jelas Encik Nassir. 

Menurutnya, kawalan kapasiti jemaah amat penting bagi mengelakkan kesesakan, terutama apabila ruang solat hampir penuh.

“Kami perlu mengutamakan keselamatan kerana kesesakan boleh menghalang pergerakan jemaah dan laluan kecemasan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Oleh itu, kawalan kapasiti amat penting bagi memastikan urusan solat Jumaat berjalan dengan teratur dan selamat,” katanya.

Pihak pengurusan turut mengambil kira keperluan jemaah yang menggunakan kerusi ketika solat serta Alat Mobiliti Peribadi (PMD).

Laluan khas disediakan bagi memastikan mereka dapat bergerak dengan selesa dan selamat.

Jemaah yang memerlukan tempat duduk juga digalakkan membawa kerusi mudah alih sendiri, jika sesuai, dengan syarat kerusi diletakkan di kawasan yang ditetapkan dan tidak menghalang laluan masuk, laluan keluar atau pintu kecemasan.

Selain itu, jemaah digalakkan mengambil wuduk di rumah atau tempat kerja sebelum ke masjid, jika berkesempatan, bagi mengurangkan kesesakan di tempat wuduk dan memendekkan masa menunggu.

Pelaksanaan dua sesi solat Jumaat turut membantu mengimbangi jumlah jemaah dengan lebih teratur, sekali gus mengurangkan kesesakan di ruang solat dan laluan keluar masuk.

Encik Nassir menyarankan jemaah merancang perjalanan dan tiba lebih awal bagi mengelakkan kesesakan pada saat-saat akhir.

“Sekiranya solat Jumaat bagi sesi 1 telah bermula, jemaah diminta kembali untuk menunaikan solat pada sesi 2 demi memastikan kelancaran urusan dan keselamatan semua pihak,” tambahnya.

Encik Nassir berharap jemaah dapat memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan petugas masjid serta menggunakan kemudahan yang disediakan secara bertanggungjawab sepanjang kerja naik taraf berlangsung.

SEKILAS

CARA MENDERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU:

1. Untuk keterangan lanjut, hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 atau kunjungi masjid di 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

2. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ sebagai ‘rujukan’ dan e-mel bukti transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

3. PayNow ke UEN S94MQ0017D. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ sebagai ‘rujukan’.

4. Secara langsung: Kunjungi pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang, atau Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang.

* Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok (@alkaffkm), Facebook (Masjid Alkaff Kampung Melayu) dan Instagram (@alkaffkgmelayumosque).

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti