Masjid Ar-Raudhah teruskan usaha perkasa Al-Quran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Ar-Raudhah teruskan usaha perkasa Al-Quran

Majlis Khatam Jamai’e dan program tadarus Al-Quran rancakkan semangat membaca kitab suci menjelang Ramadan
Feb 6, 2026 | 5:30 AM

Masjid Ar-Raudhah teruskan usaha perkasa Al-Quran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Majlis Khatam Jama’ie yang berlangsung pada Ahad, 1 Februari 2026, di Masjid Ar-Raudhah, menjadi detik penuh bermakna buat jemaah yang hadir.
Majlis Khatam Jama’ie yang berlangsung pada Ahad, 1 Februari 2026, di Masjid Ar-Raudhah, menjadi detik penuh bermakna buat jemaah yang hadir. - Foto MASJID AR-RAUDHAH

Masjid Ar-Raudhah menerusi program Raudhatul Quran telah berjaya menganjurkan Majlis Khatam Jamai’e pada Ahad, 1 Februari.

Acara penuh makna ini menjadi permulaan tahun yang menekankan betapa pentingnya mencintai dan menghayati Al-Quran dalam sanubari umat Islam.

Menurut Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, majlis ini bertujuan menyemarakkan budaya membaca Al-Quran serta menyemai kesedaran mendalam tentang peranannya dalam kehidupan harian.

“Majlis Khatam Jamai’e ini diadakan sebelum Ramadan untuk menggalakkan budaya membaca Al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam dan menanam kesedaran tentang kepentingannya dalam kehidupan harian setiap individu,” jelasnya.

Lazimnya, majlis ini diadakan empat kali setahun, dan Raudhatul Quran juga giat membawa program khatam secara berjemaah ke masjid-masjid di seluruh Singapura.

“Daya usaha ini bukan sahaja memperkasakan bacaan Al-Quran, malah mengeratkan hubungan dengan jemaah di seluruh negara serta menanam minat membaca Al-Quran sepanjang hayat,” ujar Encik Zuraimi.

Pada 2026 ini, seramai 300 peserta telah mendaftar bagi menyertai majlis tersebut.

Setiap peserta diberikan juzuk Al-Quran untuk dibaca bersama, yang kemudiannya disempurnakan dengan khatam bersama asatizah Raudhatul Quran.

Peserta terdiri daripada kumpulan Raudhatul Quran, serta jemaah daripada Masjid Al-Khair, Masjid Mujahidin, Masjid Hussin Sulaiman, Kumpulan Nur Quran, Kumpulan Munawwarah, Kumpulan Soleha, dan juga calon persendirian.

Selain memuliakan Al-Quran, majlis ini turut menggalakkan sumbangan untuk projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah.

“Dengan mencintai dan menghayati Al-Quran, kita dapat meningkatkan keimanan, memperkukuh jati diri, serta menanam rasa tanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat, dan menjadi insan Rabbani sebagaimana yang dikehendaki dalam Islam,” kata Encik Zuraimi.

Masjid Ar-Raudhah turut menganjurkan tadarus Al-Quran dari 19 Februari hingga 13 Mac 2026, kecuali hujung minggu.

Sesi untuk Muslimah akan diadakan di Dewan Halijah, Aras 2, dari 10.30 pagi hingga 1 tengah hari, manakala sesi Muslimin diadakan di dewan solat utama selepas solat zuhur dan asar.

Majlis Khatam Tadarus pula dijadualkan pada Sabtu, 14 Mac, bertempat di Dewan Yam, Masjid Ar-Raudhah.

Encik Zuraimi turut menjemput orang ramai supaya menghulurkan sumbangan kepada dana peningkatan masjid.

“Setiap sumbangan, walau sekecil mana pun, akan membantu mempertingkatkan kemudahan jemaah serta menyemarakkan semangat membaca Al-Quran di Masjid Ar-Raudhah.

“Kami amat menghargai sokongan semua pihak dalam menjayakan daya usaha ini,” tambah Encik Zuraimi.

SEKILAS:

Cara menghulurkan sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:

1. PayNow ke UEN: S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp kepada talian 9461-4306.

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.

3. Cek atas nama ‘Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah’ dan kirimkan ke masjid beralamat di 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg