Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Ar-Raudhah ajak Muslim persiap lebih awal, menyeluruh bagi Ramadan

Panduan termasuk sediakan jadual tadarus, tetapkan amalan yang ingin diperbaiki, seperti qiamullail atau sedekah harian, dan urus waktu agar tidak terperangkap dalam kesibukan kerja
Dec 27, 2025 | 5:30 AM
Masjid Ar-Raudhah sentiasa mengambil berat terhadap kesejahteraan emosi dan sosial jemaah, di samping menawarkan sokongan serta bimbingan rohani kepada mereka yang memerlukannya.
Masjid Ar-Raudhah sentiasa mengambil berat terhadap kesejahteraan emosi dan sosial jemaah, di samping menawarkan sokongan serta bimbingan rohani kepada mereka yang memerlukannya. - Foto-foto MASJID AR-RAUDHAH

Sempena Ramadan 2026 yang bakal tiba tidak lama lagi, Masjid Ar-Raudhah mengajak masyarakat Melayu/Islam Singapura membuat persiapan lebih menyeluruh bagi ibadah, bukan dari segi fizikal sahaja bahkan rohani dan emosi.

Ramadan sentiasa menjadi ruang memperbaharui hubungan dengan Allah swt, memperbaiki diri, serta mengukuhkan semangat kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Dengan persediaan lebih teratur, kita bukan dapat meningkatkan mutu ibadah sahaja, malah memanfaatkan sepenuhnya keberkatan bulan suci ini.

Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, berkata persiapan awal yang sempurna memainkan peranan penting dalam memastikan seseorang dapat menjalani puasa dan ibadah lain pada Ramadan dengan tenang dan teratur.

“Antara aspek utama yang ditekankan Masjid Ar-Raudhah ialah menyelesaikan urusan yang boleh mengganggu fokus ibadah, seperti tugasan rumah, perancangan kerja dan persediaan makanan yang teratur.

“Pada masa sama, masyarakat digalak melakukan latihan rohani awal seperti memperbanyak bacaan Al-Quran, melazimi solat sunat serta menjaga lisan dan pergaulan.

“Persiapan begini membantu hati menjadi lebih lembut dalam menerima didikan Ramadan.

“Selain itu, Masjid Ar-Raudhah menekankan pentingnya menetapkan niat dan matlamat ibadah sebelum memasuki Ramadan.

“Antara panduan yang sering dikongsi ialah menyediakan jadual tadarus, menetapkan amalan yang ingin diperbaiki, seperti qiamullail atau sedekah harian, dan mengurus waktu agar tidak terperangkap dalam kesibukan kerja.

“Ramadan bukan mengenai menahan lapar dan dahaga semata-mata, tetapi ia merupakan ruang membina disiplin diri, memulihkan hubungan dengan keluarga, serta memperbaiki mutu akhlak.

“Oleh itu, masyarakat diingatkan agar menyambut bulan ini dengan hati yang bersedia untuk berubah,” ujar Encik Zuraimi.

Masjid Ar-Raudhah, di Bukit Batok, juga memberi perhatian pada persediaan emosi dan sosial, terutamanya bagi mereka yang berdepan cabaran seperti tekanan kerja, komitmen keluarga atau kesunyian kerana berjauhan daripada orang tersayang.

“Sokongan rakan-rakan dan komuniti masjid sangat penting dalam membantu mereka yang mungkin memerlukan tempat untuk berinteraksi atau mendapatkan bimbingan rohani.

“Melibatkan diri dalam majlis ilmu, tadarus atau iftar jama’i boleh menjadi cara mengukuhkan hubungan sosial dan kerohanian sepanjang bulan mulia ini,” kata beliau lagi.

Seiring persiapan menuju Ramadan, Masjid Ar-Raudhah turut melancarkan projek Ramadan Appeal for Donation (Rayuan Derma Ramadan) sebagai usaha menggalak masyarakat beramal dalam bentuk bersedekah.

Kutipan derma ini amat penting dalam memastikan operasi masjid dapat berjalan lancar sepanjang Ramadan, terutamanya apabila jumlah jemaah meningkat dan penggunaan kemudahan masjid menjadi lebih intensif.

Kos penyelenggaraan, utiliti, pembersihan serta pengendalian program seperti tazkirah, qiamullail dan iftar memerlukan sokongan kewangan yang stabil.

Setiap sumbangan yang diterima membantu masjid menyediakan suasana ibadah lebih selesa dan teratur untuk semua.

Di samping itu, sumbangan yang diberi akan terus disalurkan kepada program kebajikan masjid yang menyantuni golongan memerlukan dalam kariah, termasuk bantuan makanan, sokongan keluarga berpendapatan rendah serta program sosial bulanan.

Masjid Ar-Raudhah menegaskan Ramadan merupakan masa terbaik untuk memperbanyak sedekah, selaras dengan sifat Rasulullah saw yang paling murah hati setiap Ramadan.

Dengan meningkatkan budaya memberi, masyarakat dapat memainkan peranan besar dalam membangunkan masyarakat penyayang dan saling membantu.

SEKILAS:

Cara memberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:

– PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan “Infak MUP” dalam ruangan rujukan. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp kepada talian 9461-4306.

– Pemindahan akaun: OCBC Semasa 501-806368-001.

– Hantarkan cek atas nama ‘Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah’ ke alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg