Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Darul Makmur sedia ruang solat tarawih di bekas bangunan sekolah

Feb 9, 2024 | 3:10 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (bersalaman menghadap kamera), bersama para jemaah di ruang sembahyang sementara Masjid Darul Makmur di Yishun Ring Road pada 9 Februari.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (bersalaman menghadap kamera), bersama para jemaah di ruang sembahyang sementara Masjid Darul Makmur di Yishun Ring Road pada 9 Februari. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pada bulan Ramadan ini, penduduk Islam di sekitar Yishun boleh menunaikan sembahyang tarawih berjemaah di ruang solat sementara di bekas tapak Sekolah Menengah North View di Yishun Ring Road, yang disediakan Masjid Darul Makmur.

Pihak masjid juga akan menyediakan ruang solat bagi warga emas, orang kurang upaya, berkerusi roda dan yang uzur untuk melakukan ibadah tarawih.

Ini sedang Masjid Darul Makmur ditutup bagi kerja-kerja naik taraf selama dua tahun.

Demikian diumumkan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, kepada para jemaah sebelum sesi sembahyang Jumaat di ruang solat sementara itu pada 9 Februari.

“Para penasihat akar umbi GRC Nee Soon telah mendapat permintaan daripada jemaah dan penduduk di sini untuk mengadakan sembahyang tarawih di ruang sementara Masjid Darul Makmur.

“Saya telah kemukakan permintaan ini kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan saya gembira mereka telah berikan sokongan.

“Selain pihak masjid dan Muis, saya juga amat berterima kasih kepada agensi-agensi dan para jemaah atas sokongan dan kerjasama anda,” kata Dr Faishal.

Ini kali pertama sembahyang tarawih akan diadakan di ruang sementara itu sejak ia dibuka pada 12 Mei 2023. Ruang tersebut akan dibuka dari jam 8 malam hingga akhir solat tarawih.

Sepanjang Ramadan ini, Masjid Darul Makmur akan mengadakan sembahyang Isyak berjemaah dan 8 rakat tarawih setiap malam.

“Kami telah lihat bagaimana tempat ini digunakan untuk kita menjalankan sembahyang Jumaat.

“Alhamdulillah, banyak penyesuaian telah dilakukan. Daripada satu tingkat, kini kita ada dua tingkat untuk jemaah lelaki dan wanita beribadah,” tambah Dr Faishal.

Ruang sementara Masjid Darul Makmur itu dapat menampung sehingga 1,500 jemaah setiap malam. Ini merangkumi 1,000 jemaah lelaki dan 500 jemaah wanita.

Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Izuan Mohd Rais, berkata pihak masjid akan menyediakan prasarana yang sesuai dan selesa untuk jemaah.

“Insya-Allah, jemaah wanita boleh menunaikan solat tarawih di kantin sekolah. Jemaah lelaki boleh solat di tingkat satu dan juga tingkat dua.

“Tempat mengangkat wuduk juga akan disediakan, namun kami amat menggalak para jemaah untuk berwuduk dari rumah untuk mengurangkan kesesakan,” kata Encik Izuan.

Beliau turut menambah, jamuan berbuka puasa, sembahyang Maghrib dan sesi Qiyamullail tidak dapat diadakan di ruang sementara tersebut.

Meskipun demikian, beliau berharap jemaah akan dapat memanfaatkan ruang tersebut setiap hari untuk menunaikan ibadah tarawih sepanjang bulan Ramadan.

“Tempat letak kenderaan di sini dapat menampung kira-kira 60 kereta. Amat terhad, justeru, pihak masjid berharap jemaah dapat menaiki kenderaan bersama atau carpool untuk mengelak dari sebarang kesesakan,” tambah Encik Izuan.

Sebelum ini, ruang sementara itu telah dibuka bagi solat Jumaat dan juga Solat Aidiladha. Ia juga dilengkapi dengan tanjakan, tandas, tempat mengambil wuduk dan tempat letak kereta.

Masjid Darul Makmur yang berusia sekitar 36 tahun ditutup sejak 2023 bagi kerja-kerja naik taraf selama dua tahun.

“Kerja naik taraf Masjid Darul Makmur sedang berjalan dengan lancar dan kami masih memerlukan kira-kira $4.6 juta bagi Projek Peningkatan Masjid.

“Kami berharap para jemaah dapat memanfaatkan ruang sementara ini sambil menyokong usaha pengumpulan dana masjid,” tambah Encik Izuan.

Bagi sembahyang Hari Raya Aidilfitri kelak, beliau berkata, Masjid Darul Makmur akan menyediakan dua sesi sembahyang di ruang sementara itu, buat kedua-dua jemaah lelaki dan wanita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg