Masjid Darussalam perkukuh peranan holistik, jangkauan inklusif
Masjid Darussalam perkukuh peranan holistik, jangkauan inklusif
Masjid adalah nadi umat Islam; bukan sekadar tempat solat, malah pusat ilmu dan khidmat sukarelawan.
Kini, program masjid melangkaui batas, menyentuh kesejahteraan rohani, mental, dan emosi masyarakat secara menyeluruh.
Ketua Jabatan Kehidupan Beragama Masyarakat (CRL) di Masjid Darussalam, Ustaz Hariz Ramli, menjelaskan:
“Jangkauan masyarakat kian meluas. Usaha antara agama yang dulu terhad, kini menjadi keutamaan.
“Masjid Darussalam bekerjasama dengan institusi seperti Sekolah Tinggi Nan Hua dan Institut Kepimpinan Masyarakat Kebangsaan (Nacli) melalui dialog dan pertukaran pendidikan, memupuk persefahaman serta hormat.”
Selain kerjasama formal, Masjid Darussalam mengendalikan rumah terbuka, dengan daya usaha mendekati penghuni flat sewa, hospital, dan rumah penjagaan warga emas.
Bagi memudahkan akses ilmu Islam, media sosial turut dimanfaatkan melalui penstriman langsung, Zoom, podcast, dan Instagram.
Antara teras utama Masjid Darussalam ialah Siri Hikmah, bual bicara yang membincangkan isu semasa dan kontroversial secara berhemah.
Daya usaha Perkhidmatan Kasih pula memberi tumpuan kepada penjagaan rohani untuk warga emas dan pesakit tenat yang berada pada fasa akhir hayat.
Banyak masjid yang dibina pada akhir 1980-an dan 1990-an kini menghadapi kekangan ruang.
“Walaupun cabaran ini wujud, semangat kebersamaan kekal utuh.
“Jemaah bukan sahaja bersolat, malah turut menyumbang derma. Sumbangan awam, terutamanya kutipan tabung hari Jumaat dan Ramadan, amat membantu operasi masjid,” ujarnya.
Masjid Darussalam memainkan peranan penting dalam memastikan ruangnya selamat, kekal mesra, dan mudah diakses oleh semua.
“Kemudahan fizikal masjid penting dalam mengekalkan sifat inklusif.
“Beberapa tahun kebelakangan ini, kami beri tumpuan kepada kelestarian, keselesaan, dan kebolehcapaian.
“Ciri tanpa halangan seperti tanjakan dan lif memudahkan warga emas serta jemaah kurang upaya memasuki ruang solat.
“Kemudahan mesra keluarga, seperti bilik ibu dan ruang mesra kanak-kanak, turut meningkatkan keselesaan jemaah pelbagai peringkat usia,” tambah Ustaz Hariz.
Ustaz Hariz menghargai setiap sumbangan, sama ada derma ataupun kerja sukarela, kepada Masjid Darussalam.
“Sokongan sukarelawan, termasuk pemandu Persatuan Perpaduan Amal dan Ibadah (Padi), memudahkan kutipan tabung derma.
“Ini membolehkan pelbagai program Masjid Darussalam dilaksanakan. Masjid kekal selamat, dinamik sebagai pusat ibadah, menimba ilmu, dan interaksi.
“Menyokong masjid bererti melabur dalam kesejahteraan dan ketahanan masyarakat,” katanya.
Cara Menderma ke Masjid Darussalam:
1. PayNow: QR Code atau UEN S89MQ0032A.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC: 591-0705-45001 (Tulis ‘Ramadan’ atau ‘Donation’).
3. Untuk sumbangan menerusi kad kredit (Visa atau Mastercard), kad debit, eNETS, sila kunjungi pejabat Masjid Darussalam di 3002 Commonwealth Avenue West, Singapura 129579. Masa operasi dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5.30 petang.
4. Hubungi talian 6777-0028 atau WhatsApp 8993-4736.
5. E-mel kepada feedback@darussalam.mosque.org.sg atau lungsuri laman web, https://bh.sg/darussalam

