USTAZ RUHAIZAN ABDULLAH
Masjid Darul Makmur yang sedang ditutup sepenuhnya kini masih giat mengumpulkan dana untuk kerja peningkatan. Warga kerja masjid mengharapkan sokongan dan juga sumbangan derma daripada masyarakat agar semua proses peningkatan berjalan dengan lancar.
Masjid yang sudah dibangunkan selama 37 tahun ini, memerlukan peningkatan agar ia dapat menerima lebih ramai lagi jemaah apabila ia siap dan juga memberi keselesaan kepada jemaah yang semakin bertambah. Ini lebih utama lagi kerana banyak flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru yang telah siap dan juga sedang dibangunkan di kawasan kejiranan Yishun dan Canberra.
Berkongsi rayuan bagi dana peningkatan masjid, Imam Eksekutif Masjid, Ustaz Mohamad Ghouse Khan Suratte, berkata dalam kesempatan yang ada pada 10 hari pertama bulan Zulhijah ini, kita harus mengejar peluang terbesar berpandukan daripada potongan hadis daripada Ibnu Umar ra, daripada Nabi saw baginda bersabda: Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah swt dan beramal pada-Nya lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah bertahlil, bertakbir dan bertahmid.
Beliau juga memberitahu jalan keluar terbaik untuk meraih keuntungan akhirat dengan bertindak segera berpandukan mutiara ilmu daripada Al-Quran.
Ada maklumat mutiara daripada Al-Quran memberitahu kita bahawa ahli kubur itu apabila diberi peluang balik ke dunia, mereka hanya ingin bersedekah sahaja, bukan menunaikan ibadah haji , bukan bersolat , bukan berpuasa dan melakukan ibadah ibadah lain, kemudian mereka meyakini jika mereka dapat berbuat demikian mereka akan masuk ke dalam golongan orang soleh di akhirat kelak.
Beliau juga berkongsi perihal sedekah itu terbahagi kepada tiga bahagian secara ringkas: Jika sedekah itu pengeluaran wang yang wajib namanya zakat, jika sedekah itu bagi perkara yang meninggikan agama Allah walaupun manfaatnya hanya sementara namanya infak atau derma, jika sedekah itu untuk mengekalkan bangunan masjid atau madrasah itu namanya wakaf.
Perkara kedua yang perlu kita ingat dalam bersedekah, jika kita membelanjakan harta atau wang kita untuk kepentingan dunia atau untuk keinginan nafsu sendiri, ia mengurangkan harta dan wang kita. Ini berbeza daripada sedekah untuk jalan Allah atau berwakaf.
Sabda junjungan besar kita baginda saw :
“Tidak akan berkurang harta kamu jika dikeluarkan dengan sedekah, malah ia menambahkan, malah ia menambahkan, malah ia menambahkan.”
Ketiga, orang yang mencintai rumah Allah swt dan sentiasa membantu menegakkannya dan menambahkan daripada hartanya apa yang terkurang di rumah Allah, akan mendapat ganjarannya dimasukkan ke dalam golongan orang yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid.
Ada hadis yang masyhur yang diriwayatkan Abu Hurairah ra mafhumnya, “Salah satu daripada tujuh golongan yang akan diberikan perlindungan Allah swt pada hari tiada terjumpa mana-mana perlindungan ketika itu melainkan perlindungan Allah ialah ‘para pemuda (pemudi) yang hatinya terpaut dengan masjid’.”
Perancangan apabila selesai peningkatan Masjid Darul Makmur, ruang yang lebih luas dan auditorium yang lebih selesa dapat dimanfaatkan oleh semua jemaah, terutama sekali golongan dewasa dan pelajar madrasah yang menghadiri kelas pengajian di masjid ini.
Antara tumpuan utama sewaktu peningkatan ini ialah menambah ruang dewan solat bagi keselesaan jemaah, membina dewan serba guna dan auditorium yang dapat menampung lebih ramai peserta apabila masjid menganjurkan acara dan program.
Bagi meneruskan lagi usaha pengumpulan dana, masjid ini akan mengadakan kutipan derma pada Jumaat 21 Jun, bermula 12 tengah hari hingga 2.30 petang di semua masjid di Singapura.
Sukarelawan masjid yang terdiri daripada golongan pelajar, belia dan dewasa telah membantu bagi acara yang diadakan setahun sekali ini pada tahun lalu. Mereka amat teruja apabila ramai yang menghulurkan sumbangan sewaktu mereka memegang tabung-tabung derma di semua masjid.
Antara yang membantu ialah Cik Shamsiah Ismail, 63 tahun, yang merupakan sukarelawan masjid ini. Beliau amat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada sukarelawan yang membantu mencari dana untuk peningkatan Masjid Darul Makmur.
Masjid ini masih mengalu-alukan penyertaan sukarelawan yang ingin membantu untuk kutipan yang akan diadakan pada 21 Jun 2024.
Masjid Darul Makmur berharap dapat mengumpulkan lagi baki $4 juta sehingga hujung tahun ini.
Bagi sebarang pertanyaan mengenai cara menderma bolehlah menghubungi masjid di talian 6752-1402 pada waktu pejabat.
HULUR DERMA
Sumbangan derma untuk Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur juga boleh dilakukan melalui:
1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001.
3. Kiriman cek atas nama: ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.
4. Hadir di pejabat sementara di Masjid Assyafaah di alamat 1 Admiralty Lane Singapura 757620, pada waktu pejabat.
5. Hubungi pejabat di talian 6752-1402 untuk pertanyaan atau pengambilan derma $500 ke atas dari rumah.
Penulis merupakan Pengurus di Masjid Darul Makmur.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg