Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Hasanah lancar Ruang Komuniti Warga Emas, dorong kehidupan aktif pada usia senja

Pendekatan sejajar dengan usaha pupuk kesejahteraan holistik, sokong keseimbangan fizikal, mental dan emosi jemaah
Dec 19, 2025 | 5:30 AM
Warga emas menikmati juadah sambil berinteraksi mesra di Ruang Komuniti Warga Emas (ECS) Masjid Hasanah, selepas menghadiri kelas dhuha dan menanti program seterusnya.
Warga emas menikmati juadah sambil berinteraksi mesra di Ruang Komuniti Warga Emas (ECS) Masjid Hasanah, selepas menghadiri kelas dhuha dan menanti program seterusnya. - Foto MASJID HASANAH

Masjid Hasanah kini bukan sekadar tempat beribadah, malah turut berperanan sebagai ruang membina kesejahteraan dan makna kehidupan melalui penubuhan Ruang Komuniti Warga Emas, atau Elderly Common Space (ECS).

Menyedari keperluan warga emas yang semakin meningkat, Masjid Hasanah mewujudkan ECS pada Julai 2025 sebagai ruang mesra buat individu berusia 60 tahun dan ke atas.

Ruang ini direka sebagai persekitaran yang selamat, selesa dan terangkum agar warga emas dapat berkumpul, berinteraksi serta terus menjalani kehidupan yang aktif dan bermakna.

Menurut Pengerusi Eksekutif Masjid Hasanah, Encik Mohamad Rafi Eusope, ECS diwujudkan bukan sekadar sebagai tempat bekegiatan bahkan sebagai satu ekosistem sokongan yang menyeluruh.

“Ruang ini diwujudkan untuk menyokong kesejahteraan fizikal, mental, sosial dan rohani warga emas, selari dengan lima domain Penuaan Aktif nasional iaitu sosial, kesihatan fizikal, kognitif, pembelajaran sepanjang hayat dan kesukarelawanan,” jelasnya.

Manfaat ECS

Melalui domain sosial, ECS menggalakkan interaksi dan mengurangkan rasa kesunyian dalam kalangan warga emas menerusi kegiatan berkumpulan seperti sesi minum pagi, permainan sosial dan kegiatan pergaulan yang santai.

Pendekatan ini membantu peserta membina persahabatan baru serta mengukuhkan hubungan sedia ada dalam suasana masjid yang mesra.

Bagi menyokong kesihatan fizikal, pelbagai kegiatan senaman ringan disediakan seperti Chair Zumba (zumba sambil duduk di kerusi) dan Stretch Band (tali atau getah senaman), yang disesuaikan dengan tahap keupayaan warga emas.

Kegiatan ini bukan sahaja membantu mengekalkan kecergasan, malah memberi keyakinan kepada peserta agar terus bergerak secara selamat.

Salah seorang peserta ECS, Cik Che Pun Said, 85 tahun, berkongsi kegembiraannya menyertai program tersebut.

“Saya suka dengan kegiatan yang disertai sambil belajar dapat buat pergerakan tangan juga dan bahagia dapat jumpa kawan-kawan.

“Saya rasa bagus masjid buka ruang untuk warga emas supaya kami sentiasa sihat dan cergas, selain dapat menimba ilmu,” katanya.

Aspek kognitif pula diperkukuh melalui kelas agama, kelas mengaji serta kegiatan seni halus seperti mengait, membuat bunga tisu, percetakan putik kapas (cotton bud printing) dan mewarna.

Selain pengajian agama, mereka turut didedahkan kepada kemahiran digital asas, termasuk penggunaan telefon bijak dan aplikasi harian, bagi membantu warga emas kekal berhubung serta lebih berdikari dalam kehidupan harian.

Dalam domain pembelajaran sepanjang hayat, ECS turut menganjurkan sesi ‘Senior Outing’ (lawatan warga emas) ke Muzium Negara dan Pusat Beli-Belah Jewel di Lapangan Terbang Changi.

Kegiatan luar ini bukan sahaja memperluaskan pengalaman peserta, malah memberi suntikan kegembiraan dan kenangan baru.

Bagi seorang lagi peserta, Cik Norasnah Ali, 78 tahun, pengalaman menyertai lawatan tersebut amat bermakna.

“Seronok dapat berjalan dan melihat tempat baru.

“Kami pergi ke Muzium Negara, satu pengalaman yang sangat menyeronokkan,” ujarnya.

Unsur yang paling menyentuh hati dalam ECS ialah domain kesukarelawanan, di mana warga emas bukan sekadar menjadi peserta, malah penyumbang aktif kepada masyarakat.

Antaranya, seorang peserta yang mahir dalam seni mengait tampil berkongsi kemahirannya dengan rakan sebaya untuk menghasilkan barangan kraf tangan.

Hasil tangan ini kemudian dijadikan hadiah penghargaan serta barangan kutipan dana kepada para penderma masjid.

Daya usaha ini bukan sahaja menyumbang kepada dana, malah mengembalikan rasa wujudnya tujuan, harga diri dan kebanggaan dalam kalangan warga emas.

Mereka diperingatkan betapa kemahiran dan pengalaman mereka masih bernilai serta terus memberi manfaat kepada masyarakat.

Sambutan ECS menggalakkan

Menurut Encik Mohamad Rafi, data mingguan menunjukkan sambutan yang sangat menggalakkan, dengan purata hampir 150 hingga 200 warga emas hadir setiap minggu.

“Melihat impak positif ini, Masjid Hasanah komited untuk terus memperkukuh ECS sebagai daya usaha perintis ke arah pembangunan masjid mesra warga emas,” tambahnya.

ECS beroperasi dari 9.30 pagi hingga 5 petang, dari Isnin hingga Jumaat, dan dikendalikan oleh Sukarelawan Eksekutif Masjid Hasanah (EV), yang diperkasa melalui latihan tersusun, termasuk pertolongan cemas dan penggunaan Peranti Defibrilator Luaran Automatik (AED), bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan peserta sentiasa terjaga.

Penggunaan AED adalah sebagai usaha memberi bantuan pernafasan kecemasan kepada mereka yang tiba-tiba dilanda serangan jantung sebelum paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) tampil membantu.

Masjid Hasanah mengalu-alukan warga emas, ahli keluarga serta masyarakat setempat agar berkunjung dan merasai sendiri suasana Ruang Komuniti Warga Emas.

Anak-anak yang bekerja juga boleh menghantar ibu bapa mereka ke ECS sebagai satu pilihan sokongan harian yang selamat dan bermakna.

SEKILAS

* Pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada pejabat Masjid Hasanah di talian 6561-7990 atau melalui e-mel info@hasanah.mosque.sg.

* Masjid Hasanah terletak di 492 Teban Gardens Road, Singapura 608878.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg