Masjid Hasanah terus komited dalam usaha kebajikannya dengan memperkenalkan Komuniti Pantri@Hasanah. Ini merupakan daya usaha terbaru untuk membantu golongan yang memerlukan.
Pantri ini secara rasmi dilancarkan pada 28 Disember 2024, dengan kehadiran penerima manfaat serta wakil daripada Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), Rangkaian Penduduk (RN), dan Kelab Masyarakat Ayer Rajah.
Daya usaha ini diasaskan oleh Pengerusi Eksekutif Masjid Hasanah, Encik Mohamad Rafi Eusope, yang menzahirkan rasa syukur atas sokongan semua pihak.
Beliau turut menekankan bahawa Komuniti Pantri@Hasanah amat bermakna dalam menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup yang kian mencabar.
“Dengan adanya pantri ini, mereka yang memerlukan dapat mengakses barangan keperluan asas dengan lebih mudah tanpa perlu pergi jauh dari kawasan mereka,” kata Encik Mohamad Rafi.
Pantri ini menyediakan pelbagai barangan asas seperti beras, gula, minyak masak, makanan kering, serta produk keperluan harian.
Setiap individu dibenarkan mengambil barangan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai orang. Prosesnya melalui ‘mudah datang’ ke Komuniti Pantri@Hasanah, pilih barangan yang tersedia dan bawa pulang keperluan anda.
Seorang penerima manfaat, Cik Norhayati Abdullah, melahirkan rasa syukur atas keprihatinan Masjid Hasanah.
“Pantri ini bukan sekadar bantuan, bahkan usaha menyemai rasa kasih sayang dan memupuk semangat kebersamaan dalam masyarakat,” kata Cik Norhayati.
Masjid Hasanah juga menghargai peranan sukarelawan eksekutif masjid, yang telah diberi kepercayaan untuk menguruskan pantri komuniti ini dan memastikan kelangsungannya.
“Bersama-sama, kita membina komuniti yang lebih prihatin, selari dengan nilai Islam,” tambah Encik Mohamad Rafi.
Pada hari pelancaran, MTFA menyumbang $15,000 bagi menyokong Projek Naik Taraf Masjid Hasanah, yang masih memerlukan $2.2 juta untuk disiapkan.
Selain itu, pihak masjid mengalu-alukan sumbangan daripada individu, keluarga, pertubuhan, dan perniagaan dalam bentuk beras, gula, minyak masak dan barangan keperluan asas untuk pantri komuniti ini.
“Komuniti Pantri@Hasanah membawa semangat ‘daripada jemaah untuk jemaah’ – satu usaha kolektif dalam membina masyarakat yang saling membantu,” ujar Encik Mohamad Rafi.
“Dengan sokongan anda, Komuniti Pantri@Hasanah akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan. Mari bersama membina masyarakat yang lebih prihatin dan penyayang,’’ ujarnya.
SEKILAS
Cara menyumbang kepada Dana Naik Taraf Masjid Hasanah:
1. PayNow ke UEN: S70MQ0042B.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 591-070164-001. Isikan di ruang ‘rujukan’ dengan ‘wakaf’ atau ‘Infak’. Jika anda inginkan resit, sila isikan borang di www.linktr.ee/hasanahmosque
3. Cek atas nama ‘LPM Hasanah’. Tulis Nama, alamat dan nombor telefon di belakang cek. Poskan cek ke alamat Masjid Hasanah, 492 Teban Gardens Road, Singapura 608878.
* Untuk pertanyaan, sila hubungi pejabat Masjid Hasanah di talian 6561-7990, Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang, atau Sabtu dan Ahad dari 9 pagi hingga 1 petang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg